Saturday, August 31, 2013

Doa Nabi Yunus a.s Untuk Kita

2 comments


(Petikan Surah Al-Anbiyaa' [21] Ayat 87)

Doa di atas ini telah dibacakan oleh Nabi Yunus a.s berulang-ulang kali ketika beliau berada dalam perut ikan paus yang gelap-gelita, untuk memohon keampunan daripada Allah S.W.T.

Berkat doa Nabi Yunus a.s ini, Allah telah menerima taubatnya dan mengeluarkan beliau dari perut ikan paus, melindunginya dan menyembuhkan rasa sakitnya.

Begitulah terdapatnya rahsia dan pengajaran yang boleh kita ambil dari sepotong ayat dalam Al-Quran yang diturunkan bagi memberi panduan cara hidup sebenar sepertimana yang dikehendaki Allah S.W.T.

Doa ini juga adalah doa yang dibacakan ketika di sujud terakhir dalam solat sunat hajat.

Bacalah doa ini ketika dalam ketakutan atau kesedihan, atau ketika kita tersedar yang kita telah melakukan kesilapan sama ada kecil mahupun besar.

Semoga Allah sentiasa merahmati perjalanan kita di atas muka bumi ini dan melindungi kita sepanjang masa sehingga ke akhirnya, amin.

Friday, August 30, 2013

Status 39

0 comments

Pada pandangan saya, 

Orang Melayu dan Orang Cina, tiada bezanya.

Kedua-duanya adalah bangsa yang bijak pandai dan kuat.

Cuma bezanya, Orang Cina cepat bertindak merebut peluang.

Manakala Orang Melayu suka tunggu dan lihat,

tidak mengambil tindakan yang sewajarnya.

Dan kesannya...

Kenapa Ya MLM dan Kenapa Tidak MLM Part 1

0 comments

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

 Multi Level Marketing, atau biasanya dipanggil MLM adalah satu jenis perniagaan bertingkat yang tidak asing di kalangan rakyat Malaysia. Sejak sekitar tahun sebilan pulahan (90's), ramai yang telah terlibat dengan bidang MLM tidak kira di bandar atau di kawasan kampung.

Multi Level Marketing

Secara asasnya, MLM ini adalah satu sistem yang membolehkan sesuatu perniagaan berkembang dengan progresif dan mencapah. Dengan adanya sistem MLM, mereka yang terlibat dengan sesuatu perniagaan itu mempunyai kumpulan-kumpulan tersendiri yang akan mendapatkan ahli-ahli bagi memperluaskan jaringan perniagaan dan keuntungan.

Saya dan MLM

Saya mula mengenali MLM ketika di zaman persekolahan lagi. Antara nama syarikat MLM yang saya kenali pada waktu itu adalah Zhulian, iaitu sebuah syarikat jual beli barang kemas. Syarikat Zhulian ini khabarnya amat berjaya dan ramai jutawan dapat dilahirkan.

Masa tu saya kecil lagi, jadi tak faham apa sangat. Begitu juga dengan syarikat-syarikat MLM yang menjual produk-produk kesihatan dan keperluan harian rumah seperti Cosway dan Elken. Tapi masa tu, tak nampak sangat orang kumpul-kumpul cakap pasal business plan MLM. Apa yang diangkat adalah produk yang mereka jual seperti penapis air dan supplemen.

Cerita Pengalaman Saya Sikit..

Ketika saya belajar di peringkat kolej matrikulasi dan ketika di Universiti Putra Malaysia (UPM) sekitar tahun 2005-2006, aktiviti mempromosikan MLM amat giat dilakukan oleh para pelajar Melayu.

Saya masih ingat dipelawa oleh sekumpulan belia lelaki di kedai Mamak. Mereka semua memakai kemeja yang kemas dan berkasut, sedangkan waktu itu saya cuma pakai t-shirt biasa dan berselipar sahaja. Syarikat yang mereka promosikan ketika itu adalah syarikat Luxor.

Mereka bercerita tentang keuntungan, financial freedom dan kemewahan yang mereka perolehi daripada aktiviti MLM yang mereka lakukan. Kalau anda berada di zaman itu, mungkin anda akan terbaca di majalah atau surat khabar yang seorang pelajar lelaki Melayu berjaya membeli dan memandu sebuah BMW 3 series sedangkan beliau masih lagi berstatus Mahasiswa di universiti.

Memang masa borak-borak tu, sesekali mereka akan menunjukkan deretan kereta BMW yang diparking di tepi jalan, katanya milik mereka. Masa diorg cakap-cakap pasal apa yang mereka lakukan dan apa yang mereka perolehi dan apa yang saya boleh perolehi jika menyertai mereka tu, fikiran saya kosong. Rasa sangsi dan memang tak percaya langsung apa yang cuba disampaikan.

Lama juga luangkan masa di kedai Mamak tu, beberapa jam. Sampai saya dah naik letih dan bosan. Tapi nak minta diri tu rasa susah sangat.

Macam diorg telah mengikat saya duduk di situ, mendengar apa saja yang mereka nak katakan. Soalan-soalan saya semua dijawab dengan yakin dan menunjukkan saya ini memang tidak tahu apa-apa.

Keluarkan Modal Besar RM2000!

Apa yang mereka mahukan ketika itu adalah, saya membuat keputusan untuk mengeluarkan modal RM2000 dan menyertai kumpulan mereka mempromosikan aktiviti mereka itu.

Masa tu saya masih belajar, mana lah ada duit RM2000 nak bagi kat mereka, kalau ada pun, confirm tak akan bagi mereka. Cadangan mereka adalah, pinjam duit daripada ibu bapa dan kawan-kawan. Mereka mendakwa, mereka mendapat kembali modal mereka selepas 2 minggu melakukan MLM tersebut dan berjaya membayar balik duit yang dipinjam.

Mereka suruh saya buat macam tu juga. Dalam hati, saya cakap, "gila!". Tak mungkin lah saya nak pinjam RM2000 daripada ibu bapa dan kawan-kawan macam tu saja.. Saya tak mahu melibatkan wang orang lain semudah itu.

Di akhirnya, saya menguatkan semangat untuk beredar tanpa memberikan apa-apa komitmen kepada mereka walaupun ada masanya mereka kelihatan sedikit menekan dan memaksa.

Begitulah salah satu pengalaman saya. Setakat berjumpa dan mendengar mereka menerangkan apa yang mereka mahu sampaikan. Sudah beberapa kali juga berlaku, tapi semuanya saya tidak sertai. Jadi boleh dikatakan, saya tidak pernah mengeluarkan apa-apa modal untuk menyertai mana-mana syarikat MLM. 

MLM Satu Isu Sensitif

Namun sehingga ke hari ini, saya masih lagi menerima undangan untuk menghadiri konvensyen-konvesyen dan table talk yang dianjurkan oleh syarikat-syarikat MLM. Apabila berbicara berkenaan dunia MLM, ada yang bersetuju dan ada juga yang tidak bersetuju.

Kadang kala perbezaan pendapat itu boleh menjadi satu perdebatan yang menyebabkan sahabat menjadi lawan atau sekurang-kurangnya tidak lagi bertegur sapa. Saya melihatnya satu isu yang sensitif. Di Facebook, ada kalanya saya menyuarakan juga pendapat saya berkenaan MLM dan membaca status beberapa kawan berkenaan persepsi mereka terhadap MLM.

Ini Bukan MLM, Ini Network Business..

Di satu sudut, nama MLM kian buruk dan menjadi kutukan sebahagian besar mereka yang tidak bersetuju dengan konsep MLM. Sejak itu juga, nama MLM kini kurang disebut, mereka menukar namanya kepada Networking Business untuk mengaburi pemikiran orang ramai. Hakikatnya, pada saya, ia tetap satu sistem yang sama, menjana pendapatan bertingkat-tingkat.

Sudah pasti saya punya pendapat yang tersendiri yang panjang lebar berkenaan MLM dan di sinilah medan yang sesuai untuk saya membentangkan pendapat saya ini.

Artikel ini adalah bertujuan berkongsi pendapat, terutamanya kepada mereka yang masih tidak nampak apa itu MLM dan bingung sama ada ianya sesuatu yang bermanfaat atau tidak untuk dilakukan. Jauh sekali untuk melabel sesiapa atau memburukkan sesiapa. Jadi kalau tak sependapat, tuliskan pendapat anda di ruangan komen ya. =)

Kenapa Ya, MLM?

Sebelum saya membentangkan kenapa saya tidak pernah bersedia atau ingin menyertai program MLM, suka untuk saya persembahkan beberapa kebaikan-kebaikan yang akan diperolehi jika anda melakukan MLM. Sudah pasti, bukan semuanya buruk pasal MLM, jadi apa yang baiknya?

1) MLM adalah satu sistem yang dapat menggandakan wang anda sehingga ke peringkat infiniti.

Menurut Pakar Kewangan dan Pelaburan barat yang dikenali ramai, Robert T. Kiyosaki, MLM adalah satu sistem yang paling berkuasa di dunia jika matlamat menggandakan wang adalah yang paling utama. Ini kerana , program MLM dilakukan secara berkumpulan atau berjemaah dan menjadikan sesuatu organisasi MLM itu amat kuat dan berkuasa untuk menjana wang yang banyak secara berterusan. Jika dibandingkan dengan menjana pendapatan melalui pekerjaan makan gaji, orang yang melakukan MLM berpeluang untuk menjadi berkali-kali lebih kaya dalam masa yang lebih singkat. Secara asasnya, ia ada kebenaran di situ.

2) MLM melatih kemahiran modal insan seseorang.

MLM adalah satu sistem yang melibatkan orang yang ramai. Bagi mereka yang terlibat dalam dunia MLM, bercakap di khalayak ramai dan memimpin ahli kumpulan adalah satu perkara yang biasa. Setiap hari, malam ke malam, minggu ke minggu, bulan ke bulan, mereka yang melakukan MLM dilatih secara langsung atau tidak langsung untuk bercakap dengan yakin dan ianya akan menjadi sebahagian dari diri. Majoriti mereka yang melakukan MLM adalah orang yang berani ke hadapan dan yakin pada diri sendiri.

3) MLM membentuk motivasi diri yang tinggi dan berkobar-kobar.

Setiap sesi perjumpaan MLM (biasanya pada waktu malam), ahli-ahli MLM akan diberikan rangsangan untuk lebih berjaya dalam apa perkara yang mereka lakukan melibatkan MLM. Speaker-speaker hebat dijemput untuk berucap dan memberikan kata-kata motivasi kepada setiap ahli agar mereka sentiasa bersemangat untuk melakukan aktiviti-aktiviti MLM ini. Secara tidak langsung, ia membentuk sikap dan sifat positif dalam diri seseorang. Dan ini sebenarnya adalah amat penting. Di kelilingi oleh mereka yang bermotivasi tinggi dan tidak kenal erti putus asa.

4) MLM membuatkan kita ada ramai kenalan.

MLM disertai oleh semua lapisan masyarakat, sama ada orang biasa sehinggalah ke mereka yang berstatus professional seperti doktor perubatan. Dari situ membuatkan kita berpeluang mengenali mereka yang hebat-hebat dan kenalan ini akan dapat membantu kita dalam banyak keadaan dalam hidup ini.

5) MLM membantu kita keluar mengenali dunia luar.

Ada juga syarikat MLM yang menawarkan manfaat-manfaat seperti Travel Seminar yang biasanya diadakan di luar negara jika anda berjaya mencapai beberapa level dalam program MLM mereka. Dengan menyertai Travel Seminar seperti itu, anda berpeluang untuk melihat negara luar dan apa saja yang tidak terdapat di dalam negara kita. Ini adalah satu peluang yang menarik dan menyeronokkan bagi kebanyakan orang.

Ok sampai sini dulu cerita pasal MLM. 

Dalam post yang seterusnya, saya akan kongsikan, kenapa saya benar tidak bersetuju dengan program MLM dan kenapa saya membuat keputusan untuk tidak terlibat langsung dalam dunia MLM. 

Nak tahu kenapa? Nantikan post 'Kenapa Ya MLM dan Kenapa Tidak MLM Part 2.

Thursday, August 29, 2013

Apa Saja Untukmu | KRU | Live Cover by Nizam Malek

0 comments

Hi semua, salam!

Hari ni saya nak sharekan satu video terbaru saya.

Video ni special sikit, sebab ada rakam muka saya sambil nyanyi lagu Apa Saja Untukmu yang dipopularkan oleh kumpulan KRU.

Lagu lama ni, masa zaman saya sekolah kot?

Video dan lagu ni saya nyanyi di depan isteri saya di Sungai Petani, Kedah baru-baru ni, spontan je sebenarnya..



Apa saja untukmu
Tak ku hiraukan waktu
Katakan saja kan ku laksana
Permaisuri kau bertakhta di jiwa

Apa saja untukmu
Ke dasar lautan biru
Bertaruh nyawa andai kau kau damba
Mutiara... di hari lahirmu

Kita menuju gemilang asmara
Tiada cinta setanding kita
Ku rela sehingga ke akhirnya
Tunai segala mimpimu
Uhh... ratuku


Ok thanks for watching. =)

Sunday, August 25, 2013

[SurveyMonkey] Cara Membuat Aduan Kepada Farmasi

4 comments

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Terima kasih kerana masih setia membaca artikel-artikel yang saya tulis di sini.

Untuk artikel kali ini, saya akan menjawab satu soalan yang telah dimasukkan oleh pelawat Nizam Malek Blog ini di dalam kotak SurveyMonkey yang terdapat di bahagian bawah blog ini.

Soalan pertama yang diterima

Soalan yang masuk pada 21 Ogos 2013 (11.58pm) ini merupakan soalan pertama yang saya terima sejak kotak SurveyMonkey digunakan di blog ini. Terima kasih kepada yang bertanyakan soalan.

Begini soalannya:

"Salam, saudara tahu tak macam mana caranya untuk report bahan kosmetik tidak berdaftar, tiada nombor pendaftaran yang aktif dijual di Instagram kepada pihak Farmasi?"

Jawapan:

Untuk pengetahuan anda, produk kosmetik yang ingin dijual di Malaysia perlu mendapatkan kelulusan pendaftaran terlebih dahulu daripada pihak Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK).

Notifikasi Produk Kosmetik?

Pendaftaran notifikasi tersebut adalah mudah dan biasanya sampel produk akan diminta untuk tujuan ujian penyaringan kandungan bahan-bahan kimia yang terdapat dalam produk kosmetik tersebut sama ada berbahaya atau tidak jika digunakan.

Produk kosmetik yang telah didaftarkan akan mempunyai nombor pendaftaran notifikasi iaitu huruf NOT diikuti sembilan nombor dan huruf K, contohnya seperti ini 'NOT130703031K'.

Syarikat atau individu yang mendaftarkan produk kosmetik tersebut dipanggil pemegang lesen Notifikasi dan secara asasnya, mereka sahaja yang layak untuk mengimport kosmetik-kosmetik tersebut dari luar negara.

Nombor notifikasi yang diperolehi tersebut boleh dipamerkan pada kotak atau label produk kosmetik tersebut sebagai bukti pendaftaran notifikasi produk. Namun tiada masalah jika ia tidak dipamerkan pada produk, asalkan penjual adalah pemegang lesen notifikasi untuk tersebut.

Tanpa lesen notifikasi yang sah dari pihak BPFK, adalah menjadi kesalahan bagi sesiapa untuk memiliki atau menjual produk kosmetik tersebut di Malaysia.

Saluran Untuk Membuat Aduan

Seterusnya, jika anda mengetahui sesiapa sama ada individu atau perniagaan yang menjual produk kosmetik yang tidak bernotifikasi, anda boleh membuat aduan kepada pihak Bahagian Perkhidmatan Farmasi di negeri anda untuk membolehkan siasatan dilakukan.

Anda boleh mendapatkan no telefon pejabat Bahagian Perkhidmatan Farmasi setiap negeri melalui pautan ini:

http://www.pharmacy.gov.my/v2/ms/entri/bahagian-perkhidmatan-farmasi-negeri.html

Apa yang anda perlu lakukan adalah, anda perlu memberikan maklumat yang jelas dan detail berkenaan aktiviti penjualan produk kosmetik yang tidak bernotifikasi itu kepada Pegawai Farmasi yang menjawab panggilan aduan anda.

Pastikan Anda Mempunyai Maklumat Yang Lengkap

Jika penjualan itu dilakukan di Instagram, anda boleh cuba mendapatkan alamat penjual agar siasatan daripada Farmasi dapat dilakukan ke atas aktiviti penjualan tersebut.

Oleh kerana masih belum ada pengawasan khusus dikuatkuasakan terhadap lawan web yang menjual produk kosmetik tidak berdaftar, aduan dan informasi berkenaan alamat premis-premis yang menjadi tempat penyimpanan produk-produk kosmetik tidak berdaftar untuk tujuan penjualan itu adalah amat penting bagi membantu pihak Bahagian Perkhidmatan Farmasi membuat siasatan dan serbuan jika tersabit dengan kesalahan melanggar akta-akta Farmasi.

Pengalaman Saya Dengan Penjual Online

Saya pernah ditanya oleh seorang perempuan melalui telefon baru-baru ini berkenaan kawalan terhadap penjualan produk-produk kosmetik di Internet. Kata beliau, kawalan daripada pihak Farmasi ini (pendaftaran notifikasi kosmetik) menyulitkan mereka yang ingin berniaga di Internet.

Beliau mempersoalkan tindakan pihak Farmasi yang menahan konsaimen-konsaimen yang mengandungi produk-produk kosmetik tidak bernotifikasi dari luar negara.

Beliau berpendapat, dengan adanya Internet, dunia perniagaan kini menjadi semakin mudah dan kos rendah kerana jualan dilakukan secara online, tetapi menjadi bermasalah dan tidak dapat dilakukan kerana disekat oleh pihak-pihak penguatkuasa seperti pihak Farmasi.

Kenapa Farmasi Mengawal Kosmetik?

Hakikatnya, produk kosmetik adalah tidak sama dengan produk-produk lain seperti pakaian, jam tangan, permaianan kanak-kanak dan sebagainya yang dijual di Internet.

Produk kosmetik adalah satu bahan yang mengandungi bahan kimia yang dapat memberikan kesan kepada para penggunanya. Malah dengan peningkatan permintaan terhadap produk kosmetik seperti produk mencerahkan kulit, menghilangkan parut dan jeragat, sabun herbal dan sebagainya telah menjadikan industri ini sesuatu yang amat menguntungkan.

Akibatnya, ada pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab dan mahukan keuntungan berlipat  kali ganda dengan segera bertindak menghasilkan produk kosmetik yang mengandungi bahan-bahan kimia terlarang yang dapat memberikan kesan yang diingini dengan lebih cepat, tetapi mengandungi kesan sampingan yang amat berbahaya seperti mengakibatkan kerosakan pada kulit manusia dan sesetengahnya boleh menyebabkan kecatatan kekal.

Sudah banyak kes kulit manusia di Malaysia dan seluruh dunia yang rosak disebabkan penggunakan produk kosmetik yang mengandungi bahan-bahan kimia yang berbahaya seperti Merkuri, Hydroquinone, Steroid dan bermacam-macam lagi.

Oleh sebab itu, adalah menjadi tanggungjawab pihak Farmasi untuk mengawal kemasukan dan penjualan produk-produk kosmetik yang tidak bernotifikasi agar keselamatan para pengguna dapat diutamakan.

Jangan kata pula, apabila banyak kes-kes kerosakan kulit manusia di Malaysia berlaku disebabkan produk kosmetik, pihak Penguatkuasaan Farmasi disalahkan kerana tidak mengawal penjualan dan penggunakan produk kosmetik di Malaysia.

Jangan Fikir Untung Saja..

Memang benar, Internet telah membolehkan ramai orang menjana pendapatan dengan lebih mudah pada kos yang lebih rendah, namun bukan semua produk boleh dijual sesuka hati dan jika ia perlu mendapatkan kelulusan/permit/surat kebenaran daripada pihak tertentu, sudah pasti ia ada sebabnya.

Nak untung menjual di Internet tu, untunglah juga, tapi perlu dilihat kesannya yang lebih besar, sama ada akan membahayakan pengguna atau tidak.

Kepada anda yang membuat aduan kepada pihak Farmasi berkenaan informasi penjualan produk-produk kosmetik tidak berdaftar atau bernotifikasi, anda sebenarnya telah membantu pihak Farmasi untuk menyelamatkan lebih ramai rakyat Malaysia daripada menjadi mangsa kesan buruk/sampingan yang mungkin berlaku disebabkan penggunakan produk kosmetik yang tidak selamat.

Ok, sekian artikel kali ini, jemput share dengan kawan-kawan anda informasi yang saya kongsikan kali ini. =)

Saturday, August 24, 2013

Personal Coaching Pelaburan Hartanah 1

2 comments

Dalam post ini saya nak kongsikan gambar kertas-kertas A4 yang saya gunakan untuk buat Personal Coaching berkenaan Pelaburan Hartanah semalam.

Biasanya saya spend masa 1-3 jam untuk terangkan asas dan strategi Pelaburan Hartanah yang menguntungkan.

Sila klik pada gambar untuk paparan yang lebih besar dan jelas.









Kalau berminat nak belajar, boleh contact saya.

P/S: Ini bukan cakap kosong. =)

Friday, August 23, 2013

5 Tips Cara Menyimpan Wang

0 comments

Hi, Assalamualaikum kawan-kawan,

Hari ini saya nak menulis satu lagi artikel berkenaan pengurusan kewangan selalu kita dengar iaitu berkenaan cara-cara untuk menyimpan wang.

Kenapa menyimpan wang itu penting? Menyimpan wang adalah amat penting kerana dengan menyimpan wang, wang yang anda peroleh akan menjadi lebih kuat dan bertenaga. Tak percaya?

Benar, wang itu boleh menjadi kuat dan lemah. Wang yang lemah apabila ia berada berasingan, sebaliknya wang menjadi amat kuat apabila ia berkumpul. Apabila wang anda berkumpul pada satu tempat, anda akan dapat melihat nilainya menjadi lebih besar berbanding jika anda meletakkan wang anda di merata-rata tempat.

Jika anda mempunyai hanya satu keping duit RM10, ia adalah tidak kuat. Tetapi apabila 100 keping duit RM10 dikumpulkan, ia akan menjadi RM1000 dan anda sendiri dapat melihat bagaiman wang itu memberikan kesan yang kuat kepada diri anda.

Oleh itu, untuk menjadikan wang anda kuat dan bertenaga, anda perlu mengumpul dan menyimpan sedikit wang yang anda ada secara konsisten dari semasa ke semasa.

Tapi ada juga yang berkata "Saya tak boleh lah nak menyimpan wang. Duit sentiasa tidak cukup untuk dibelanjakan. Kalau berjaya menyimpan pun, sekejap saja duit terkumpul tu akan habis kerana digunakan. Bila ada duit banyak saja, mesti ada kecenderungan untuk berbelanja lebih besar. Apa perlu saya buat?"

Sebenarnya, amalan menyimpan wang adalah asas kepada pengurusan kewangan seseorang. Jika menyimpan wang pun tidak mampu dilakukan, ia akan mencerminkan ketidakbolehan untuk menahan diri daripada berbelanja mengikut nafsu, ketidaksanggupan untuk membayar balik hutang apatah lagi untuk menggandakan wang anda melalui apa-apa medium pelaburan yang ada.

Jika anda mempunyai masalah untuk menyimpan wang, apa kata anda gunakan tips yang saya kongsikan ini:

1. Buka satu akaun khas untuk simpanan.

Untuk menyimpan dengan efektif, anda perlu mempunyai satu akaun simpanan yang khas. Jangan campurkan wang simpanan anda dengan wang yang anda gunakan untuk keperluan seharian kerana ia akan menyebabkan anda terguna semua wang yang ada.

Jika anda menggunakan akaun Maybank untuk kegunaan perbelanjaan anda, apakata anda buka satu akaun lain untuk simpanan anda, contohnya buka satu akaun CIMB pula. Akaun CIMB dikhaskan sepenuhnya untuk simpanan anda. Banyak atau sikit itu tidak penting, yang penting anda memasukkan wang ke akaun tersebut untuk tujuan simpanan.

Tips pertama ini sesuai dilakukan walaupun anda kini sedang belajar di kolej atau universiti.

2. Tetapkan matlamat simpanan.

Ramai yang tidak dapat menyimpan dengan banyak secara konsisten kerana tidak mempunyai matlamat simpanan. Hakikatnya, apabila kita menyimpan wang tanpa sebab-sebab yang jelas, kita akan cenderung untuk menggunakannnya apabila jumlah wang tersebut kelihatan banyak.

Dengan mempunyai matlamat simpanan, anda akan lebih fokus untuk menyimpan wang dan tidak akan dengan mudahnya mengeluarkan wang simpanan anda untuk tujuan yang tidak sepatutnya.

Malah dengan mempunyai matlamat simpanan yang spesifik dan jelas, anda akan mengutamakan perancangan simpanan anda agar anda mencapai matlamat anda dengan lebih cepat.

Anda akan dapat lihat yang menyimpan RM100 sebulan adalah tidak cukup cepat, dan anda akan mempunyai motivasi yang lebih tinggi untuk menambah jumlah simpanan yang lebih, contohnya RM200 sebulan atau RM300 sebulan. Semuanya disebabkan anda nampak matlamat simpanan anda.

Apa itu matlamat simpanan? Matlamat simpanan bermaksud anda menetapkan sesuatu tujuan yang ingin dicapai melalui amalan simpanan yang anda buat. Contohnya, anda menyimpan RM500 sebulan untuk target membeli rumah pada akhir tahun.

Matlamat simpanan setiap orang adalah berbeza. Begitu juga anda. Jangan ikut orang lain. Orang nak beli kereta, anda pun nak beli kereta. Orang nak beli rumah, anda pun nak beli rumah. Pastikan anda kumpul duit untuk membeli sesuatu yang anda mahukan, dan pastikan apa yang anda beli itu adalah aset, dan bukannya liabiliti.

3) Teknik 'Pay Yourself First'.

Salah satu cara yang betul untuk menyimpan wang adalah dengan menggunakan teknik 'Pay Yourself First'. Setiap kali apabila anda menerima wang (gaji, bonus dan sebagainya..), pertama sekali yang anda perlu lakukan adalah, anda menolak 10% daripada jumlah yang anda terima itu ke akaun simpanan anda.

Jadikan tabiat untuk menolak 10% dahulu. Bayar diri anda terlebih dahulu sebelum membayar hutang-hutang atau perbelanjaan anda.

Jika anda tidak mampu untuk membuat teknik yang mudah ini, selamanya anda tidak akan berjaya untuk menyimpan wang dengan betul. Akibatnya, duit anda tidak pernah dapat terkumpul, kebanyakannya akan berkeliaran ke tempat-tempat lain yang tak sepatutnya.

Ingat, setiap kali anda terima wang, 'Pay Yourself First', ok?

4) Alihkan yang tidak perlu kepada simpanan!

Sebagai manusia yang normal, kita ada kemahuan dan keinginan. Kita selalu rasa nak makan yang sedap-sedap atau membeli terutamanya apabila menerima tawaran yang menarik.

Cuma, tahu kah anda, hampir 60-70% wang yang kita keluarkan untuk membeli barang itu kita gunakan untuk membeli barang-barang yang kita sebenarnya tidak perlukan langsung.

Pernahkah anda beli sesuatu yang anda rasa bermanfaat, akhirnya ia menjadi sampah kerana tidak digunakan? Ia mungkin CD lagu penyanyi kegemaran kita, basikal baru, ataupun casing handphone yang cantik-cantik tu?

Selalunya, kita terlalu menurut emosi ketika membeli. Akhirnya kita rasa menyesal kerana membeli sesuatu yang kita tidak perlukan.

Jadi untuk itu, setiap kali anda bercadang untuk membeli sesuatu barang, pastikan yang ianya memang akan digunakan.

Sebaliknya, sebagai contoh, jika anda mendapat satu tawaran pembelian yang menarik berharga RM100, cantas emosi membeli anda itu dan terus salurkan RM100 yang anda rancang untuk digunakan untuk membeli itu ke akaun simpanan anda!

Lakukan teknik ini setiap kali anda ingin membeli sesuatu. Jika tidak perlu saja, duit itu telah menjadi milik akaun simpanan anda.

Anda akan lihat, dengan menggunakan teknik menyimpan versi Nizam Malek ini, rumah anda tidak akan bersepah atau bersemak dengan barang-barang yang anda tidak perlukan, malah akaun simpanan untuk matlamat kewangan masa hadapan anda akan bertambah dengan mendadak!

Teknik ini tidak mustahil. Cuba dulu dan jadikan tabiat. Baru anda tahu hebatnya kuasa menyimpan wang dengan cara yang betul. =)

5) Menyimpan menggunakan online banking!

Ohya, sebelum kita pergi terlalu jauh, pastikan anda menggunakan sistem online banking untuk menyimpan wang.

Jika anda sudah ada satu akaun penggunaan harian, dan satu akaun simpanan, saya galakkan anda agar memasukkan wang melalui online transfer dari akaun penggunaan harian (contohnya Maybank) ke akaun simpanan anda (contohnya CIMB).

Ini adalah penting kerana anda perlu merasakan bahawa amalan menyimpan wang ini tidak susah. Ia sebenarnya amat mudah, hanya di hujung jari jemari anda yang halus itu.

Jika anda terpaksa ke Cash Deposit Machine (CDM) setiap kali anda ingin menyimpan wang, anda akan terasa menyimpan wang itu adalah susah dan akhirnya anda akan membuat alasan terlupa ke CDM untuk menyimpan wang.

Gunakan online transfer kerana ia memudahkan anda menyimpan dan anda tidak perlu menghabiskan masa dan petrol untuk keluar mencari CDM. Lagipun, kos transfer dari akaun bank berlainan kini hanyalah RM0.10 sahaja. Murah sangat untuk memudahkan usaha anda menyimpan wang bukan?


Demikianlah 5 tips cara menyimpan wang yang dapat saya kongsikan dalam artikel kewangan pada kali ini. Cubalah amalkan tips-tips yang saya kongsikan ini kerana ia adalah teknik-teknik yang mudah dan praktikal.

Yang paling best, anda akan dapat belajar menguruskan kewangan anda dengan lebih baik bermula dari amalan menyimpan wang dengan cara yang betul.

Semoga artikel kali ini bermanfaat dan jemputlah SHARE artikel ini dengan keluarga dan kawan-kawan anda.

Monday, August 19, 2013

Cara Download Video Youtube ke mp3 Online!

1 comments

Hi, hari ini saya nak share dengan anda semua, satu cara untuk download video dari youtube ke mp3.

Caranya mudah saja, ada dua step, A dan B.

A) Download video dari youtube:

1. Anda masuk ke youtube, dan search video yang anda mahukan.

2. Kemudian anda klik pada link URLnya dan masukkan 'ss' selepas 'www.'.

Contohnya, link video yang anda mahukan adalah:

'http://www.youtube.com/watch?v=DwxKCwho9zA'

3. Anda masukkan 'ss' di link tersebut, jadi macam ni:

'http://www.ssyoutube.com/watch?v=DwxKCwho9zA', kemudian klik saja enter.

4. Anda akan sampai ke sebuah website ini:

(Klik pada gambar untuk paparan yang lebih besar dan jelas)

5. Anda boleh memilih kualiti video yang ingin anda download di ruangan 'Download links' di sebelah kanan website tersebut. Klik saja satu pilihan.

6. Kemudian satu frame pengesahan akan keluar dan anda boleh terus mendownload tersebut ke komputer anda, tanpa ragu-ragu.


B) Cara convert video ke mp3 online!

1. Selepas anda siap mendownload file video dari youtube, anda perlu masuk ke website ini http://media.io/

2. Anda akan nampak interface seperti ini:
(Klik pada gambar untuk paparan yang lebih besar dan jelas)

3. Klik pada butang 'Browse' dan cari file video yang telah anda download tadi.

4. Kemudian anda boleh pilih format audio yang anda mahukan seperti mp3, wav, ogg mahupun wma.

5. Anda juga boleh memilih kualiti audio. Saya cadangkan anda mengambil Extreme (320kbit/s) untuk kualiti yang paling baik. Tapi saiz file nya akan jadi lebih besar dan masa untuk download akan menjadi lebih panjang.

6. Selepas selesai membuat pilihan, klik saja butang 'Convert' dan tunggu sehingga siap.

7. Setelah proses convert selesai, akan keluar satu lagi butang untuk download di page tersebut. Anda boleh klik butang 'Download' tersebut dan download terus ke komputer anda. Selesai!

Semoga tips kali ini membantu anda untuk mendownload video di youtube dan convert file tersebut dalam bentuk mp3. Boleh lah layan lagu kegemaran masa driving kan? =p

Ok jumpa lagi, klik LIKE dan SHARE! =)

Thursday, August 15, 2013

Skim Pencen Vs Skim KWSP

34 comments

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Hari ini saya nak tulis satu artikel berkaitan kewangan yang lebih khusus kepada anda yang kerja kerajaan iaitu nak pilih yang mana satu di antara Skim Pencen mahupun Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pilih Satu Di Antara Dua

Salah satu skim di atas perlu dipilih, kebiasaannya semasa hendak mengesahkan jawatan dan tidak boleh ditukar apabila satu keputusan telah dibuat.

Bermaksud, ia adalah satu keputusan yang amat penting perlu dibuat kerana ia menentukan apa yang akan terjadi pada sebahagian wang gaji anda pada masa ini dan juga pada umur pencen nanti. Tersalah pilih, nanti anda akan rasa menyesal.

Apa-apapun, satu pilihan tetap perlu dibuat untuk diri sendiri. Bagaimana nak pilih?

Nasihat Yang Biasa Didengari

Saya tahu, ramai akan kata, nak pilih skim ini bergantung pada perancangan seseorang, kalau nak stay lama di government, Skim pencen adalah lebih baik, manakala kalau nak quit goverment lebih awal dan bekerja di sektor swasta, pilihlah Skim KWSP.

Itu adalah nasihat biasa dan saya pun tak berapa nampak signifikannya atau manfaat-manfaat di sebalik nasihat ringkas seperti itu dari aspek perancangan kewangan. Ironinya, ramai orang Melayu memilih Skim Pencen manakala bukan Bumiputera cenderung untuk memilihi skim KWSP.

Perbezaan Skim Pencen & Skim KWSP

Sebelum itu, adakah anda tahu apakah perbezaan Skim Pencen dan Skim KWSP ini? Berikan saya peluang untuk menerangkan apa yang saya faham berkenaan 2 skim ini. Saya start dengan Skim KWSP dulu:

1. Skim KWSP adalah satu skim yang akan menolak sejumlah wang gaji anda setiap bulan sebanyak 11% dicampur dengan caruman daripada pihak majikan sebanyak 13% sehinggalah ke umur anda yang ke 55 tahun. Bentuk simpanan yang hebat dan berterusan setiap bulan dan tahun ini boleh membuatkan anda mendapat sejumlah wang yang amat banyak secara 'lump sum' di akhir umur persaraan anda nanti.

2. Skim Pencen pula adalah satu skim di mana wang gaji anda tidak dipotong setiap bulan. Dan di penghujung tempoh perkhidmatan anda iaitu pada umur 58 atau 60 (mengikut pilihan anda), anda akan menerima duit pencen iaitu separuh daripada jumlah gaji pokok terakhir anda. Contohnya kalau gaji pokok terakhir anda adalah RM5000, maka anda akan mendapat duit pencen RM2500 setiap bulan selepas pencen nanti.

Berdasarkan perbandingan di atas, skim yang mana satu kah lebih baik pada pandangan anda?

Pandangan Peribadi Saya

Saya bukanlah pakar, namun artikel ini adalah pandangan peribadi saya berkenaan perbandingan kedua-dua skim ini.

Skim KWSP akan menolak 11% daripada gaji total anda setiap bulan secara automatik dan boleh dilihat pada slip gaji.

Bermakna, katakan gaji total anda sebulan adalah RM4000, sebanyak RM440 akan ditolak daripada gaji anda setiap bulan untuk dimasukkan ke dalam akaun KWSP anda. RM440 tersebut akan dicampur dengan RM520 (13% caruman daripada pihak majikan anda), menjadikan keseluruhan RM960 yang akan masuk ke akaun KWSP anda setiap bulan.

Katakan anda mula bekerja pada umur 25 tahun dan bersara pada umur 55 tahun, bermakna anda berkhidmat selama 30 tahun. Jadi, apabila RM960 di darab dengan 12 bulan (setahun), ia menjadi RM11,520. Apabila didarabkan dengan 30 tahun, ia akan menjadi RM345,600.

Mungkin terdapat sedikit faedah daripada simpanan ini, maka jumlah yang anda akan dapat adalah sekitar RM500,000. Atau jika gred gaji anda naik, mungkin paling banyak anda akan dapat RM750,000!

Kenapa Tidak Skim KWSP?

Daripada perkiraan di atas, saya dapat melihat beberapa masalah yang akan timbul jika Skim KWSP di pilih, iaitu:

1. Anda akan 'kehilangan' RM440 (atau lebih apabila setiap kali gaji naik) setiap bulan dan membuatkan anda perlu 'survive' dengan jumlah gaji yang lebih sedikit setiap bulan. Bayangkan komitmen sara hidup yang tinggi hari ini, pendapatan yang kecil akan membantutkan banyak perancangan anda.

2. Caruman 13% setiap bulan daripada pihak majikan adalah jumlah yang amat besar, namun, jika dikira-kira, anda tidak pun mencapai status jutawan pada umur persaraan.

Mungkin ada yang kata, boleh saja jadi jutawan kalau berstatus pegawai, kerana kenaikan gaji adalah banyak dan silap-silap, akaun KWSP akan mencecah jumlah RM satu juta!

Memang betul, tapi jika dilihat dari segi masa, dalam tempoh 30 tahun daripada sekarang, RM satu juta akan menjadi lebih kecil daripada sekarang kerana faktor inflasi. Jika jadi jutawan pada umur persaraan nanti pun, ia ibarat tiada guna kerana nilainya sudah menjadi kecil.

3. Wang simpanan dari akaun KWSP adalah bertujuan untuk membuat satu tabung wang yang boleh digunakan di hari tua (55 tahun ke atas). Namun hakikatnya, pada umur sedemikian, wang bukanlah kepentingan utama berbanding kesihatan.

Pada waktu itu, ada wang yang terlalu banyak pun tidak berguna, kerana ia tidak dapat dinikmati. Pada pendapat saya, wang yang banyak adalah perlu di waktu muda kerana komitmen dan keperluan adalah lebih tinggi.

4. Menerima sejumlah wang yang banyak memang seronok, tapi apabila ia digunakan, sekelip mata saja ia boleh dihabiskan. Keadaan ini dinamakan 'gelap mata'.

Katakan jumlah wang terkumpul di akaun KWSP anda pada umur persaraan ada sebanyak RM1,000,000, mungkin pada waktu itu anda ingin membeli rumah idaman, harganya mungkin sekitar RM900,000 ke RM1,000,000.

Jika anda beli rumah itu sebagai tempat kediaman anda, anda sudah hampir kehabisan ke semua wang yang anda ada dari akaun KWSP yang dikumpul sejak anda mula bekerja.

Kenapa Ya, Skim Pencen?

Sebaliknya, saya melihat Skim Pencen sebagai satu pilihan yang lebih baik kerana beberapa faktor.

1. Jika anda mengambil Skim Pencen, gaji bulanan anda tidak dipotong. Jika dibandingkan dengan mereka yang mengambil Skim KWSP, anda mempunyai lebihan gaji bulanan RM440 setiap bulan.

Setahun anda mempunyai lebihan RM5280 berbanding mereka yang mengambil Skim KWSP. Setiap bulan, anda mempunyai lebih banyak wang tunai berbanding mereka yang mengambil Skim KWSP.

Adakah itu baik atau tidak? Anda perlu menjawabnya sendiri.

2. Jumlah wang yang tidak dipotong ke akaun KWSP itu boleh digunakan untuk perbelanjaan atau membayar komitmen-komitmen anda.

Namun, jika anda menggunakannya untuk berbelanja, ianya akan habis dan anda tidak memperolehi apa-apa manfaat kewangan. Lebih baik anda menyimpannya sendiri dan menyalurkannya ke dalam bentuk-bentuk pelaburan kewangan yang boleh menggandakan wang anda secara pasif dan berterusan.

3. Melalui Skim Pencen, anda akan menerima wang pencen selepas anda bersara nanti, iaitu separuh daripada gaji akhir anda untuk setiap bulan. Bermakna, jika gaji anda telah naik ke RM10k pada waktu itu, anda akan mendapat RM5k setiap bulan walaupun anda tidak lagi bekerja.

Walaupun pada waktu itu jumlah tersebut tidaklah banyak, tapi ia cukuplah untuk anda menjalani kehidupan asas seperti makan, bayar bil dan perubatan jika perlu.

4. Jika anda menggunakan lebihan wang setiap bulan yang anda ada tadi pada jalan pelaburan yang betul, anda akan menjana pendapatan pasif secara berterusan.

 Bermakna, anda akan ada sekurang-kurangnya 2 sumber pendapatan apabila bersara nanti, iaitu duit pencen dan juga pendapatan pasif daripada pelaburan yang anda lakukan.

Pelaburan apa yang boleh memberikan pendapatan pasif? Jawapan saya sudah pastilah Pelaburan Hartanah. Tidak tahu macam mana nak buat? Sebab tu lah kena belajar, baca buku dan perlu bertanya kepada yang tahu. =)

Kesimpulannya..

Jadi kesimpulannya, setiap orang ada matlamat pengurusan kewangan yang berbeza. Sudah pasti bukan semua orang bersetuju dengan pendapat saya berkenaan perbandingan Skim Pencen dan Skim KWSP di atas ini.

Namun apa yang nak saya tekankan adalah, dalam membuat keputusan yang melibatkan status kewangan anda, anda perlu mempunyai sebab yang kuat di sebalik setiap pilihan yang anda lakukan.

Pilihan anda mungkin berbeza dengan orang lain, tapi anda perlu tahu kenapa anda memilih keputusan berpandukan point-point yang nyata boleh dibentangkan oleh anda sendiri.

Jika anda sendiri ragu-ragu dengan pilihan anda, masa depan kewangan anda akan bergantung kepada skim yang anda pilih, dan bukan anda yang berkuasa menentukan status kewangan anda sendiri.

Terima kasih kerana meluangkan masa membaca artikel ini.
Dijemput masukkan komen atau soalan berkenaan artikel ini di ruangan komen di bawah. =)

Seperti Dulu | Forteen | Cover by Nizam Malek

0 comments

Salam, hi!

Hari ni saya nak share lagi satu muzik video yang saya baru buat pagi tadi.

Lagu yang dipilih adalah lagu Seperti Dulu, single ke dua dari kumpulan Forteen.

Slow sikit lagu ni, tapi kalau sape yang tengah feeling2 tu boleh lah layan.. =p

Untuk video kali ini juga, saya just buat demo, iaitu saya cuma ambil 2 verse pertama saja.

Sebabnya, lagu ni bila masuk part chorus, chord dia ada sikit susah, macam kena main chord F#, Bm, dan C#m.. Payah tu..

Yang sebenarnya, sebab suara saya tak sampai.. Hahahah..

Oklah, boleh dengar demo lagu ni di bawah ok..




Lirik & Chord:

Am Dm

Sehari terasa bagai seminggu

E Am
Sebulan terasa bagai setahun
F Dm
Mencari cinta yang gugur

E
Dari genggamanku


Am Dm
Sejengkal terasa bagai sebatu

E Am
Saujana bagai tiada penghujung

F Dm
Namunku tak putus harapan

E
Untuk berdampingan lagi


Video recorded by Sony Ericsson Xperia Pro.

Wednesday, August 14, 2013

Status 38

0 comments



"Cinta itu sementara saja,

Tapi sayang,

Kasih itu sampai bila-bila.."

Monday, August 12, 2013

Raya 2013 di Ipoh, Perak

2 comments

Salam, hi semua, masih mood raya ke? =p

Alhamdulillah, selesai sudah cuti raya saya pada tahun ini.
Raya kali ini agak bermakna bagi saya kerana dapat beraya 
dengan keluarga belah isteri di Ipoh, Perak.

Kalau sebelum ni, selalunya saya beraya dengan keluarga sendiri di Johor Bahru.
Kadang kala ada juga pulang beraya di kampung mak di Kuala Terengganu.
Jadi raya kali ini sudah pasti amat berbeza dan menggamit pengalaman baru yang mengujakan.

Tak banyak yang saya dapat ceritakan di sini, tapi secara eksklusifnya, 
saya nak sharekan beberapa gambar raya 2013 kami, have a look!
Malam raya, pergi beli makanan banyak-banyak kat Mydin..
Baju sama, wife lah punya idea ni.. =p
Alhamdulillah, berpeluang menyempurnakan Solat Sunat Aidilfitri di Surau Al-Adha.
Tu dia, baju melayu merah membara~
Bersiap untuk beraya.
Tahun pertama beraya sebagai pasangan suami dan isteri.
On the way untuk menziarah kubur dan sanak saudara keluarga.
Aktiviti malam, main bunga api dengan budak-budak.
Bunga api saya, dan bunga api kamu..
Edryan, JJ dan Aina. 
Untunglah korang boleh masuk Nizam Malek Blog.. =p
Dah bosan sangat, moh ler kite main monopoli.. 
Excited nak beli property banyak-banyak.. =p
My new big family.
Thanks for the Raya 2013 memories..
Get ready balik ke Sungai Petani, Kedah, kemudian ke Johor Bahru.

Paling penting, Alhamdulillah, sebab perjalanan selamat untuk semua. 
Sangat bersyukur terutamanya apabila tiba di destinasi selepas menempuh 
perjalanan jauh yang mengambil masa lebih 10 jam.

Cuti raya dah berakhir.
Kini perlu kembali fokus kepada kerja dan projek-projek yang telah tergendala sebelum ni.

Ok jumpa lagi dalam blog post seterusnya.

Terim kasih semua!
Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin!

Pelaburan Paling Bernilai!

3 comments

Hari ini, semakin ramai orang bercakap tentang pelaburan. Ada yang bercakap tentang pelaburan emas, pelaburan silver, pelaburan saham, pelaburan amanah saham dan juga pelaburan hartanah. Semuanya dikhabarkan boleh mendatangkan keuntungan berlipat kali ganda jika dilakukan dengan cara yang betul.


Namun apakah sebenarnya itu pelaburan? Tahukah anda, apakah maksud sebenar pelaburan? Benarkan wang kita boleh bertambah jika kita melakukan pelaburan? Masih kabur tentang pelaburan?

Pelaburan secara asasnya adalah bermaksud tindakan yang diambil dengan mengeluarkan sesuatu jumlah wang untuk mendapatkan keuntungan atau pulangan yang bernilai untuk diri sendiri.

Jika anda mengeluarkan wang anda dan anda mendapat manfaat daripadanya, secara asasnya anda telah melakukan pelaburan dan menjana keuntungan daripada tindakan tersebut.

Jika anda menghabiskan masa anda (berjam-jam, berminggu-minggu, berbulan-bulan atau bertahun-tahun) untuk mengusahakan sesuatu dan anda mendapat hasilnya di kemudian hari, bermakna anda telah membuat pelaburan masa anda untuk mencapai keseronokan atau kejayaan tersebut.

Namun, apakah bentuk pelaburan yang paling menguntungkan? Ramai yang nak buat pelaburan, tapi nak untung paling besar dalam masa yang singkat. 

Jika anda hendak tahu, bentuk pelaburan yang paling bernilai dan menguntungkan adalah pelaburan pada diri sendiri. Jika anda sanggup mengeluarkan sejumlah wang dan menghabiskan sedikit masa terhadap ilmu, sudah pasti ia akan amat menguntungkan anda. Malah keuntungan tersebut boleh menjadi infiniti jika anda praktikkan ilmu yang betul.

Salah satu cara untuk menambah ilmu adalah dengan membaca. Ramai rakyat Malaysia mengaku tidak suka membaca. Tapi hakikatnya, kita akan mendapat banyak ilmu yang berguna dengan membaca buku.

Sebaliknya, ramai juga yang mendakwa mereka suka membaca buku. Setiap hari mereka membaca buku, tapi nampaknya ilmu tidak nampak berkembang pun, banyak benda lagi yang tidak diketahui?
Itulah silapnya. Ramai orang suka membaca, tapi mereka banyak membaca buku yang salah. Mereka membaca buku yang tidak dapat membantu mereka dari segi kewangan dan pelaburan.

Mereka banyak membaca buku-buku atau artikel-artikel di surat khabar yang sekadar membincangkan kisah-kisah cinta ataupun isu semasa yang merunsingkan pemikiran mereka. Mereka membaca sesuatu yang langsung tidak memberi nilai tambah kepada mereka.

Kerana itu jugalah antara kita banyak berbeza pendapat. Pandangan kita berbeza mengikut apa mazhab pembacaan dan pendedahan yang kita terima dan masukkan ke minda kita.

Oleh itu, untuk melakukan satu bentuk pelaburan yang paling bernilai dan menguntungkan, keluarkan duit anda untuk membeli buku-buku berkaitan kewangan dan pelaburan yang akan membukan minda anda terhadap aspek pengurusan kewangan yang sihat dan membuka minda anda untuk membina tahap ekonomi sendiri serta keluarga yang lebih baik.

Mentor saya, yang juga seorang Jurulatih Jutawan No 1 Malaysia, Tuan Azizi Ali menulis dalam bukunya yang berbunyi lebih kurang begini, "Jika anda hendak mahir dalam sesuatu bidang, anda perlu baca sebanyak buku berkenaan bidang tersebut. Lebih banyak lebih bagus. Sekurang-kurangnya 50 buah buku.".

Bayangkan kalau anda sekadar membaca satu atau dua buah buku berkenaan kewangan dan pelaburan, sudah pasti ianya belum mencukupi.

Saya sendiri banyak membeli dan membaca buku-buku berkenaan motivasi, kewangan serta pelaburan hartanah kerana saya meminatinya dan ingin menceburkan diri dalam bidang-bidang tersebut. 

Biasanya saya akan membeli buku sebulan sekali. Kini saya cuba membuat teknik speed reading agar saya dapat membaca dengan lebih cepat dan dapat membaca lebih banyak buku. Buku-buku yang saya beli berharga lebih kurang RM30-RM50 senaskah dan saya beli tanpa rasa ragu.

Saudara saya melihat buku-buku saya yang banyak dan beliau berkata, "Memang baca buku adalah pelaburan paling bernilai dan menguntungkan, tapi sebelum tu, duit kita dah habis sebab beli buku.."

Itu adalah satu pemikiran yang salah. Galakan untuk membaca adalah perlu dan ia adalah amat positif. Mungkin hari ini kita lihat duit kita keluar kerana membeli buku-buku yang agak mahal. Tapi sebenarnya secara tidak langsung ia membina minda kita untuk lebih berjaya dan ke hadapan.

Beli buku, baca dan terima hasil tidak asing bagi saya. Contohnya ketika zaman belajar di CUCMS dulu, saya banyak membaca buku-buku berkenaan Perniagaan dan Pemasaran Internet, malah saya keluarkan juga wang untuk menghadiri seminar-seminar atau workshop berkenaan Perniagaan dan Pemasaran Internet. 

Mungkin beratus-ratus atau beribu-ribu ringgit saya laburkan. Hasilnya saya berjaya menjana wang melalui Internet dengan cara yang betul dan selamat berbanding orang lain yang langsung tidak tahu apa yang saya buat untuk menjana wang di Internet.

Adakah ianya ballik modal? Sudah pasti, malah lebih lagi.. Tapi saya buat senyap-senyap saja, underground.. ;)

Sudah pasti, pelaburan pada diri sendiri terhadap ilmu yang betul akan membezakan diri kita dengan orang lain dan membuatkan kita mencapai sesuatu yang kita tidak sangka dapat capai.

Ramai orang ingin membuat pelaburan emas, silver dan hartanah kerana inginkan keuntungan, tapi tidak mahu membuat pelaburan ilmu terhadap diri sendiri. Akibatnya, risiko pelaburan dan kerugian menjadi tinggi dan mendedahkan mereka terhadap masalah kewangan yang amat rumit.

Kesimpulannya, jika anda ingin tahu di manakah tempatnya untuk melaburkan wang anda untuk menjana keuntungan paling lumayan, ia adalah pelaburan ilmu pada diri sendiri!

-Artikel ini kredit kepada mentor perniagaan Internet saya, Dr Irfan Khairi.

Sunday, August 4, 2013

Perkongsian Tentang Pinjaman MARA

142 comments

Assalamualaikum, hi, salam sejahtera,

Hari ini saya nak respond satu soalan yang telah diajukan kepada saya di laman social Facebook berkenaan pinjaman MARA. Soalan ini telah diajukan oleh saudari Najihah Zahir pada 3 Ogos 2013. Soalannya berbunyi begini:

"Salam abang..

Saya harap abg sudi kongsi dgn saya pengalaman abg n kwn2 abg terutamanya pelajar medic yg membuat pnjmn mara.. 

Saya harap abg boleh kongsi pasal bayaran mara lepas tamat belajar.. Maksudnye berapa banyak kene bayar untuk stdnt medic(CUCMS).. dan sebagainya.. 

Terime kaseh bnyk2 ;)"


Terima kasih kerana bertanyakan soalan. Ok berkenaan pinjaman MARA untuk kos pembelajaran di CUCMS, kami membuat permohonan melalui Student Affairs CUCMS secara beramai-ramai.

Semua dokumen dan sijil-sijil yang diperlukan disiapkan terlebih dahulu dan apabila lengkap, permohonan tersebut diserahkan pada pihak CUCMS untuk dihantar secara pukal kepada pihak MARA.

Cara ini adalah lebih baik kerana kita membuat permohonan yang rasmi melalui CUCMS dan kecenderungan untuk mendapat perhatian daripada pihak MARA adalah lebih tinggi berbanding jika membuat permohonan secara berasingan atau bersendirian.

Pinjaman MARA ni ada pinjaman penuh dan pinjaman separa. Pihak MARA akan menentukan sama ada kita dapat pinjaman penuh atau pinjaman separa mengikut status socioekonomi keluarga kita.

Kalau dapat pinjaman penuh, anda akan mendapat duit poket untuk belanja selain tanggungan kos yuran pembelajaran, manakala jika mendapat pinjaman separa sahaja, anda cuma akan mendapat tanggungan kos yuran pembelajaran sahaja, kos sara diri perlu ditanggung sendiri atau oleh ibubapa.

Berkenaan dengan pembayaran balik pinjaman MARA ini, kita akan bayar balik selepas kita mula bekerja nanti. Beberapa bulan setelah mendapat pekerjaan, pihak MARA akan menghantar surat untuk memaklumkan kepada anda berkenaan jumlah pembayaran balik yang perlu anda lakukan berserta jadual pembayaran.

Jadual pembayaran ini adalah fleksibel dan tidak membebankan. Contohnya, untuk beberapa tahun pertama, anda cuma perlu membayar RM100 sebulan sahaja, dan jumlah tersebut bertambah dari semasa ke semasa tanpa sebarang interest.

Selain itu, jika CGPA anda adalah baik, (3.0 ke atas), anda boleh cuba untuk menghantar surat permohonan pengurangan bayaran balik pinjaman MARA tersebut. Biasanya pihak MARA akan meluluskan pengurangan sebanyak 90%. Bermakna anda hanya perlu membayar balik sebanyak 10% sahaja daripada total pinjaman MARA yang anda perolehi sepanjang tempoh pembelajaran anda.

Pinjaman MARA untuk tujuan belajar ini adalah lebih baik berbanding PTPTN kerana ia tidak meletakkan sebarang interest bagi bayaran balik. Anda hanya perlu bayar semula apa yang anda pinjam.

Oleh itu, anda perlu berusaha untuk mendapatkan pinjaman MARA bagi membantu menampung kos pembelajaran anda di peringkat ijazah sarjana muda. Pastikan CGPA anda baik dan anda dapat membayar balik jumlah pinjaman yang anda perlu bayar mengikut jadual yang telah dibuat.

Semoga perkongsian kali ini membantu anda!

For Better Malaysia

2 comments

Baru-baru ini, Malaysia digemparkan dengan beberapa berita yang mungkin boleh menimbulkan perselisihan kaum dan agama di kalangan rakyat Malaysia seperti gambar ucapan selamat berbuka puasa dengan Bak Kut Teh oleh Alvin Tan dan Vivien Lee, serta video sambutan hari raya seseorang bersama dengan tiga ekor anjing oleh seorang perempuan bernama Maznah Yusof atau dikenali dengan nick name Chetz.

Isu seperti ini menjadi hangat kerana mereka yang berbuat demikian mendakwa tidak berniat untuk menghina atau mempermainkan sensitiviti umat Islam di negara ini. Ramai yang mengutuk apa yang mereka lakukan, ramai juga yang berpendapat mereka tidak bersalah dan ramai juga sebenarnya yang tidak ambil kesah atau menganggapnya satu isu yang hanya digempar-gemburkan oleh sesetengah pihak.

Namun hakikatnya, perlakuan-perlakuan sebegini secara halus boleh memberikan kesan kepada kerenggangan hubungan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Kebebasan bersuara yang dijunjung tidak seharusnya dipergunakan untuk kepentingan sendiri, malah jika ia boleh memberi kesan buruk kepada negara, ia sewajarnya tidak dilakukan oleh seorang rakyat yang cintakan negara.

Saya tertarik dengan satu video yang saya tonton pagi ini, iaitu satu video yang dihasilkan oleh seorang orang Cina bernama Jo yang mencuba untuk berpuasa selama sehari untuk merasai pengalaman orang-orang Islam yang telah melakukannya bertahun-tahun lamanya.

Jo telah menghasilkan video yang sangat baik dari perspektif beliau berkenaan puasa dan beliau juga memberikan ucapan di akhir video tersebut yang dapat menggalakkan masyarakat majmuk di Malaysia agar saling hormat-menghormati di antara satu sama lain.

Mari tonton video ini:

Sebagai rakyat Malaysia yang matang dan cintakan tanah air ini, sepatutnya kita menggunakan teknologi yang ada untuk menyebarkan nilai-nilai murni yang dapat mengeratkan lagi hubungan sesama kita yang berbilang bangsa.

Jo adalah satu bukti masih ada rakyat Malaysia yang sentiasa mengharapkan keamanan di Malaysia berbanding mereka yang sentiasa mencari jalan membuat kontroversi murahan. Saya pasti video Jo ini telah tersebar secara viral di media sosial seperti Facebook dan Twitter. Saya pun berkongsi video ini kerana ia membawa mesej-mesej yang baik dan positif, malah dipersembahkan dengan cara yang murni.

Akhir kata, saya percaya..

Ada Melayu baik, ada Melayu jahat,
Ada Cina baik, ada Cina jahat,
Ada India baik, ada India jahat,
Ada lain-lain baik, ada lain-lain jahat.

Yang baik, memang lah baik, yang jahat tu, bukan disebabkan kaum, tapi disebabkan masalah peribadi sendiri. Mungkin belum matang, mungkin ada penyakit hati dan sebagainya.

Mari bersama menjadikan Malaysia negara yang lebih sihat dan positif.

Saturday, August 3, 2013

Cerita Puasa & Raya 2013

2 comments

Assalamualaikum pembuka bicara,

Hi, apa khabar anda semua? Hope masih sihat bertenaga berpuasa di bulan Ramadhan Al-Mubarak ini. 

Hari ini hari sabtu, dan saya ada masa lapang sikit untuk menulis di blog ni. Kali ni saya nak cerita-cerita sikit pasal puasa dan raya saya pada tahun ni. Boleh? ;)


Awal Ramadhan yang Mendugaku

Ok, bulan Ramadhan tahun ni kita sambut bermula pada 10 Julai 2013 yang lalu, iaitu pada hari rabu. 2, 3 hari sebelum mula berpuasa tu, saya telah ditimpa musibah dan terlantar kerana diserang penyakit demam denggi. Baru semangat nak sambung Ramadhan, tapi dugaan pula menimpa.

Saya mula demam pada pagi 8 Julai 2013, masa tu rasa demam lain macam, dan badan ada naik merah-merah sikit. Mula-mula saya ingat allergic biasa je.. So saya pun rilek je lah pergi kerja macam biasa.. 

Cuma masa tengah kerja tu, demam makin teruk, dan badan saya naik merah-merah, sampai ke leher dan muka. Kawan pun nampak pelik. Saya ada juga ambil Panadol 2 biji setiap 4 jam.. Tapi demam macam tak surut.. Sakit kepala lagi.. Memang meletihkan..

So lebih kurang pukul 4pm tu saya dah tak tahan, saya pun pergilah klinik, jumpa doktor. Doktor cakap temperature 38.5 degree celcius even saya dah ambil 6 biji panadol seharian tu.. Jadi doktor pun prescribe ubat dan antibiotik, suruh saya balik.. Tapi saya tak makan pun antibiotik tu.. Pahit sangat.. =p

Positive Dengue Fever in Ramadhan?

2 hari lepas tu, (1st Ramadhan), lepas berbuka puasa, saya terlantar, tak boleh nak bangun.. Demam, sakit kepala teruk.. So parents saya pun decide untuk bawa saya ke hospital di Regency Specialist Hospital, Seri Alam, Johor Bahru untuk buat further check up. Hasil pemeriksaan darah, didapati saya positive Dengue Fever dan terus ditahan di wad untuk mendapatkan rawatan.

4 hari juga lah duduk kat wad, masuk air drip kat tangan kiri ni. Masa tu memang tak selesa lah badan. Selera makan memang out.. Rasa tak boleh nak makan apa-apa, minum air kosong pun tak boleh, bayangkanlah.. Rasa nauseated dan nak vomit mengalahkan perempuan mengandung.. Hehehe..

Sakit kepala pun tak boleh tahan.. Then doktor pakar tu prescribe Arcoxia (Etoricoxib 120mg) sekali, terus hilang sakit kepala, best..

Demam Denggi ni apa? Bahaya ke?

Demam denggi adalah sejenis demam yang terjadi disebabkan jangkitan virus denggi yang dibawa oleh nyamuk dari species Aedes, atau biasa disebut nyamuk Aedes (kaki dia ada jalur belang hitam putih). 

Pathophysiology demam denggi secara ringkasnya macam ni, first kita akan demam teruk dan sakit kepala, lepas demam dah surut, platelet kita akan start drop.. Time tu akan ada tendency bleeding.. 

Sebab tu pesakit demam denggi akan diambil darah setiap pagi untuk monitor platelet levelnya.. Kalau drop terlalu banyak, risiko akan menjadi lebih tinggi dan boleh menyebabkan kematian.

Tapi kalau dapatkan rawatan segera, insyaAllah by time, demam denggi tu akan resolve dengan baik. Tapi lepas tu, seluruh badan akan terasa sakit sampai ke tulang untuk beberapa hari sebelum ia surut sepenuhnya.. Siapa yang pernah kena demam denggi akan tahu apa rasanya..

Begitulah minggu awal saya dalam bulan Ramadhan kali ini. 'Berpuasa' di wad.. Heheheh..

Tapi alhamdulillah, sekarang saya dah sembuh dan kembali 'segar' untuk terus bekerja dan berpuasa seperti biasa. Terima kasih Allah atas nikmat kesihatan ini. Bila dah sihat, semua makanan rasa sedap dan nikmat.. Nasi briyani, ikan pari bakar, air kathira, fuh, sedapp.. Eh, apa cakap pasal makanan ni.. Puasa kot.. =p

Puasa dan Kerja

Kemudian dalam bulan puasa ini juga, saya sibuk dengan kerja-kerja kertas siasatan saya. Setiap hari pergi ke pejabat Permai untuk siapkan kes yang diberikan kepada saya. 

Best jugalah sebenarnya, belajar cara dan protokol yang betul untuk mendakwa individu-individu yang melakukan kesalahan mengikut akta-akta yang terdapat dalam undang-undang Farmasi seperti Akta Racun 1952 dan Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Alhamdulillah juga, saya dapat mencapai target QAP saya dan saya berjaya menyelesaikan tugas-tugas yang berkaitan mengikut masa yang ditetapkan. Sibuk tu memang sibuk, tapi saya rasa saya dapat belajar sesuatu yang menarik dan bermanfaat untuk perkembangan kerjaya saya pada masa hadapan.

Kenangan Berpuasa Zaman Belajar

Tahun ni, saya berpuasa bersama-sama dengan keluarga di rumah. Rindulah juga zaman belajar dulu. Bersahur dengan housemates (medical students) dan kebanyakan masanya pergi berbuka di Masjid Besi Putrajaya. 

Seronok juga pergi cari juadah berbuka puasa di Bazaar Ramadhan Putrajaya, besar gila dan macam-macam jenis makanan yang ada. Tapi semua itu telah berlalu dan menjadi kenangan. Kini lebih dekat dengan keluarga dan keluarga lebih diutamakan, cewah.

Beraya di mana tahun ini?

Pada raya tahun ini, saya akan bercuti bermula 5 Ogos 2013 sehingga 11 Ogos 2013. Terima kasihlah pada boss yang meluluskan cuti saya setelah kerja-kerja saya selesai dibuat.. Sebab tu lah saya kejar juga nak siapkan kerja-kerja saya, nanti tak dapat cuti raya, tak ke susah..


InsyaAllah saya akan ke Sungai Petani, Kedah 2, 3 hari sebelum raya untuk menemani isteri saya yang berada di sana. Kemudian InsyaAllah kalau tiada aral melintang, saya akan beraya di rumah mertua pada hari raya pertama. 

Wah, first time nak beraya bersama keluarga belah isteri. Tak tahulah macam mana rasanya. Harap-harap oklah. Bukan apa, saya masih segan-segan sebenarnya.. =p

Ada yang cakap, wah baiknya, raya pertama as husband and wife boleh terus beraya kat belah isteri. Errm, bagi saya, ok je.. Saya tak kesah mana-mana.. Berebut nak raya kat mana bukan boleh dapat apa pun.. 

Tapi yang penting, raya tahun depan dan seterusnya, mesti raya kat belah family saya lah.. Hahaha.. =p

Amacam shopping raya sakan?

Pasal shopping-shopping ni, saya tak lah bermewah-mewah sangat. Tiada baju baru pun. Baju lama yang tak pernah pakai lagi adalah. Jadi saya sekadar bersederhana raya tahun ini. 

Makan, pakai apa yang ada. InsyaAllah apa yang kita ada lebih diberkati bila kita sentiasa bersyukur. Malah Allah akan tambah lagi nikmat dan kurniaan, InsyaAllah.

Oklah, sampai sini dulu coretan saya pasal bulan puasa dan Raya 2013, hati-hati kepada anda yang akan menempuh perjalanan dekat dan jauh untuk pulang berhari raya! 

Salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

 

Nizam Malek Blog. Copyright 2010 All Rights Reserved Revolution theme by Brian Gardner Ft Bloganol dot com | Distributed by Deluxe Templates

Create your free online surveys with SurveyMonkey , the world's leading questionnaire tool.