Assalamualaikum dan salam hormat,
Pada 12 April 2013 yang lalu, saya ada menulis satu artikel di blog ini yang bertajuk 'Apakah Masa Depan Kerjaya Farmasi?'.
Artikel tersebut telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan saya menerima banyak komen dan soalan berkenaan kerjaya Farmasi.
Terima kasih kepada anda yang telah mengambil input dari artikel tersebut dan terima kasih juga kerana berkongsikan link artikel tersebut dengan keluarga dan kawan-kawan.
Saya dapat perhatikan terdapat peningkatan permintaan terhadap kerjaya Farmasi ini terutamanya dari lepasan SPM dan juga lepasan Diploma Farmasi.
Ramai yang berkongsikan dan menyuarakan rasa dukacita sebab:
- peluang untuk sambung belajar dalam bidang Farmasi kian menyulitkan.
- result SPM yang kurang memberangsangkan dan mungkin bukan dari aliran Sains Tulen.
- bimbang tiada peluang pekerjaan dalam sektor awam apabila tamat belajar di peringkat Ijazah Sarjana Muda Farmasi.
Persaingan makin sengit, kelayakan untuk sambung belajar dalam bidang Farmasi pun makin ketat.
Ditambah lagi dengan keputusan SPM yang kurang menyerlah seperti yang dikehendaki dalam permohonan ke bidang Farmasi.
Hurmm, sebenarnya saya nak komen terlalu banyak pun tak kena juga sebenarnya.
Mungkin anda lihat bahawa Farmasi adalah bidang yang insyaAllah dapat menjamin masa hadapan, jadi anda ingin sambung belajar dalam bidang Farmasi.
Hakikatnya, keadaan dan permintaan terhadap kerjaya berubah mengikut masa dan keadaan.
Apa yang boleh saya katakan adalah, kerjaya dalam bidang Farmasi bukanlah segala-galanya.
Jika keputusan SPM anda kurang memberangsangkan dan anda tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Farmasi, janganlah berputus asa dan terlalu kecewa.
Masih ada banyak lagi kursus-kursus lain yang boleh anda terokai dan mungkin juga lebih baik dari bidang Farmasi.
Yang penting anda perlu tahu apakah minat anda dan apakah kerjaya yang mempunyai peluang pekerjaan yang tinggi dalam tempoh 5 tahun akan datang.
Jika anda memikirkan berkenaan Farmasi, 5 tahun akan datang pun, akan berlaku keadaan lambakan graduan Farmasi, menyebabkan persaingan untuk mendapat perkerjaan meningkat.
Contohnya jika beberapa tahun sebelum ini, graduan Farmasi akan mendapat guaranteed job kerana selepas tamat belajar degree 4 tahun, mereka perlu menjalani latihan Provisionally Registered Pharmacist selama setahun di hospital kerajaan sebelum mendapat lesen sebagai Pegawai Farmasi Berdaftar Penuh.
Tapi mungkin saja 5-10 tahun akan datang, tiada lagi guaranteed job tersebut. Graduan jurusan Farmasi mungkin perlu bersaing dengan lebih gigih untuk mendapat pekerjaan terutamanya di sektor swasta.
Pada saya, walaupun kerjaya Farmasi tetap akan jadi kerjaya yang baik, tapi graduan Farmasi akan menghadapi kesukaran dalam mendapat pekerjaan 5-10 tahun akan datang jika mereka tidak melengkapkan diri mereka dengan kemahiran modal insan dan kemahiran komunikasi yang berkesan.
Itulah hakikatnya, dunia berubah pantas.
Apa yang saya boleh cadangkan bagi lepasan SPM yang masih lagi mencari kursus-kursus yang terbaik untuk sambung belajar adalah:
- ketahui minat sebenar anda.
- jangan fokus kepada satu bidang sahaja. Buka minda anda untuk menerima kursus lain.
- Jika keputusan SPM anda baik, saya cadangkan sambung belajar dalam bidang Dentistry.
- Jika benar tiada ruang lagi untuk sambung belajar dengan prospek kerjaya yang baik, anda boleh pertimbangkan untuk memulakan perniagaan.