Saturday, March 23, 2013

Pilih Hanya Satu Di Antara Dua

0 comments

Dalam hidup ini, kita tidak dapat lari daripada membuat keputusan. Apatah lagi apabila umur sudah meningkat dewasa, kita perlu biasa membuat keputusan dan tidak lagi boleh bergantung pada orang lain.

Seringkali juga, kita gagal untuk memilih apabila pilihan yang ada hanya tinggal dua sahaja. Dilema akan membuatkan kita keliru dan keadaan tersebut pastilah amat menyulitkan.

Membuat pilihan berlaku sepanjang masa dalam hidup kita. Kita yang memilih untuk memakai baju apa, makan sarapan dan tengah hari di mana, memandu menggunakan jalan A atau jalan B, dan bermacam-macam keadaan lagi.

Dalam blog post kali ni, saya nak buat satu latihan yang dinamakan "Pilih Hanya Satu Di Antara Dua". Senang je latihan ni, iaitu saya akan diberi dua pilihan, dan saya hanya boleh memilih satu jawapan saja. Tapi, pilihan tersebut perlu diikuti dengan sebab atau alasan, kenapa saya memilihnya.

Tiada jawapan yang betul atau salah. Semuanya adalah pendapat dan kecenderungan sendiri apabila diberi pilihan. Anda juga punya pilihan tersendiri bukan? =)

Ok jom lihat antara pilihan-pilihan yang ada.

1. Hitam atau putih?

Jawapan: Putih. Saya pilih putih sebab putih itu nampak bersih dan suci. Putih juga melambangkan kelembutan dan putih boleh disesuaikan dengan kebanyakan warna-warna yang lain. Hitam pun ok juga, tapi saya lebih suka putih kalau perlu pilih di antara dua warna ni.

2. Mercedes atau BMW?

Jawapan: BMW. Saya pernah memandu kedua-dua kereta mewah ini. Kedua-duanya juga amat selesa dan prestasinya sangat memuaskan hati. Tapi saya memilih BMW kerana ianya nampak lebih mewah dan bergaya.

3. Sony Ericsson Xperia atau Iphone?

Jawapan: Semestinya Sony Ericsson Xperia! Walaupun bunyinya macam sayur peria.. Tapi,  smartphone ni best tau! Saya suka camera dan kemudahan mobile Internetnya. Malah harganya pun tak mahal sangat berbanding Iphone yang mahal tak bertempat. Dah lah design Iphone dari dulu sama je, kotak-kotak.. Bosan.. =p Saya tahu, ramai pengguna Iphone akan tak bersetuju dan marah saya, tapi tak pe.. Tak pe.. Hehe..

4. Apartment atau rumah teres?

Jawapan: Apartment. Menarik pilihan ni. Sejujurnya, saya lebih suka dengan rumah apartment, berbanding rumah teres. Salah satunya sebab apartment ni saiznya lebih kecik berbanding rumah teres. Jadi lebih mudah diuruskan dan lebih mudah kalau nak dibersihkan. Tapi jangan lah apartment buruk sangat. Kasilah apartment yang cantik dan selesa sikit. =D

5. Laju atau perlahan?

Jawapan: Laju. Dalam hidup ini, kelajuan memainkan peranan dalam mencapai kejayaan. Keperlahanan akan membuatkan kita ketinggalan. Lagi laju kita bergerak, lagi laju kita mencapai matlamat. Kerana itu juga ada pakar motivasi yang mengatakan Speed is equal to Result, tu dia. Ya, tapi laju, laju lah juga. Di setiap masa, kita perlu sentiasa berhati-hati, tidak kiralah ketika laju mahupun perlahan. =)

6. Gitar atau kamera?

Jawapan: Kamera. Mesti gitar-gitar saya tengah sedih, sebab saya pilih kamera berbanding gitar. Gitar ni best sebab kita boleh main lagu-lagu yang kita suka dan menyanyi bersamanya. Tapi, gitar tak boleh buat apa yang kamera boleh buat, iaitu merakam kenangan. Perkara yang telah berlaku tidak mungkin dapat dilihat kembali tetapi ianya menjadi boleh dengan adanya kamera. Kenapa kenangan lalu itu penting, bukankah ia telah berlalu, dan sepatutnya kita memandang ke hadapan? Yup, betul ianya telah berlalu, tapi kenangan lalu itulah yang telah membentuk diri kita pada hari ini. Sebab itu kamera bagi saya adalah sesuatu yang berharga.

7. Luar Negara atau Malaysia?

Jawapan: Malaysia. Keadaannya boleh berbeza bagi pilihan ini, tapi dalam banyak keadaannya, saya memilih Malaysia adalah lebih baik berbanding negara-negara lain. Bagi saya, living in Malaysia is a bless. Sudah pasti ada sesuatu yang menarik dan hebat di luar negara sana, tapi Malaysia tetap di hati. Ibarat hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Pergilah ke negeri orang mengambil emas dan bawa balik ke negeri sendiri.. Hua hua..


Demikianlah antara latihan ringkas untuk membuat pilihan. Apa yang saya nak tekankan adalah:

  • Kita tidak pernah dapat lari daripada membuat keputusan, ia adalah satu proses untuk menjadi seorang dewasa.
  • Keputusan kita mungkin pelik di mata orang lain, tapi pilihlah bukan untuk sekadar memuaskan hati orang lain.
  • Apa yang kita pilih bukan bermakna yang tidak dipilih itu tidak baik atau buruk, tetapi kita tetap perlu membuat satu pilihan yang terbaik untuk diri kita.
  • Buat pilihan dengan rasional, dan berikan seberapa banyak sebab realistik yang dapat menyokong pilihan kita tersebut.
  • Jangan tamak dengan memilih kedua-duanya, kerana ia akan membuat kita lebih keliru dan tidak tetap pendirian.
  • Lakukanlah solat istikharah apabila kita tidak dapat membuat keputusan yang terbaik, InsyaAllah petunjuk daripada Allah akan membantu kita.

Ok sampai sini saja tulisan kali ini. Anda boleh mencuba latihan ini juga dan berlatih membuat keputusan yang baik untuk diri anda setiap masa.

Sekian, jumpa lagi! =)

Saturday, March 16, 2013

4 Tips Memilih Buku Rujukan Pelajar Jurusan Farmasi

11 comments

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Nizam Malek Blog ini masih menjadi antara media rujukan dalam bidang Farmasi di Malaysia. 

Saya sendiri mendapat banyak soalan-soalan berkaitan kursus Farmasi di Malaysia terutamanya daripada lepasan SPM dan matrikulasi malah para pelajar yang sedang menjalani kursus Farmasi ini di IPT awam dan swasta seluruh Malaysia.

Terima kasih kerana sudi membaca artikel di sini, semoga sentiasa bermanfaat dan membantu anda. Dan terima kasih juga kepada anda yang telah berkongsi link artikel-artikel berkaitan dunia Farmasi yang saya tulis dengan keluarga dan kawan-kawan anda. 

Ok dalam artikel kali ini, saya ingin berkongsikan beberapa tips untuk memilih buku rujukan bagi para pelajar jurusan Farmasi. Mesti anda nak tahu, buku apa yang terbaik dan dapat membantu proses pembelajaran dalam jurusan Farmasi yang sangat mencabar ini kan?

Sebelum saya berkongsi tips-tipsnya, suka untuk saya menekankan bahawa, buku rujukan adalah amat penting bagi seorang pelajar jurusan Farmasi. Jika anda tidak mempunyai buku rujukan yang baik, anda akan belajar secara syok sendiri. 

Bermakna, anda ingat anda sudah tahu banyak selepas keluar dari bilik kuliah dan tidak perlu membuat bacaan tambahan, tapi sebenarnya perasaan tersebut akan memakan diri anda ketika menjawab soalan peperiksaan nanti.

Antara tips yang boleh anda gunakan untuk memilih buku rujukan adalah:


1. Gunakan buku rujukan yang digunakan oleh pensyarah anda!

Belajar di sekolah adalah berbeza dengan belajar di peringkat kolej mahupun universiti. Kebiasaannya, pensyarah yang mengajar anda adalah orang yang akan membuat soalan-soalan peperiksaan dan mereka jugalah orang yang akan menanda kertas jawapan anda. 

Oleh itu, secara ringkasnya, anda perlu tahu, apakah buku rujukan yang mereka gunakan dan anda perlu gunakan buku yang sama. Ini adalah cara termudah untuk belajar dengan lebih efektif.


2. Pilih buku mengikut keselesaan anda.

Anda pasti tahu bahawa, terdapat banyak buku yang berbeza dalam topik yang sama. Contohnya, untuk subjek Pharmacology sahaja, terdapat banyak jenama buku yang popular seperti Lippincort's, Rang & Dale, Katzung's dan Medical Pharmacology at Glance. Jadi macam mana nak pilih buku yang terbaik?

Jawapannya adalah, pilih buku yang paling sesuai pada diri anda. Ada buku yang penuh dengan tulisan dari muka surat satu sehingga muka surat akhir. Ada juga buku yang mempunyai banyak gambarajah yang menarik dan berwarna-warni. 

Pilih buku yang membuatkan anda mudah memahami topik yang ingin disampaikan. Jika sekali imbas sahaja anda sudah boleh memahami beberapa baris ayat, itu satu petanda buku itu sesuai dengan anda. Sebaliknya, jika beberapa kali anda membacanya dan lihat gambar pun anda masih tidak faham, mungkin buku itu bukan yang terbaik untuk anda. 


3. Beli atau pinjam di library?

Secara idealnya, memiliki buku sendiri adalah lebih baik kerana anda boleh menggunakannya pada bila-bila masa. Malah anda boleh mencontengnya (membuat catatan ringkas) diruang-ruang yang ada apabila perlu. 

Walabagaimanapun, sudah pasti harga buku-buku rujukan tersebut adalah agak mahal. Jika anda boleh berjimat dan mengumpul duit sedikit demi sedikit atau mendapatkan bantuan, sudah pasti membeli buku adalah satu langkah yang bijak. 

Namun, jika anda masih belum berkemampuan untuk membelinya, mendapatkan buku di library masih satu pilihan yang baik. Cuma anda perlu cepat mendapatkannya kerana bilangannya juga pasti terhad.

Pilihan terakhir adalah dengan membeli buku second hand daripada senior-senior anda. Sdah pasti mereka tidak menggunakannya lagi dan ianya masih releven untuk anda. Dapatkan pada harga diskaun, mungkin 50% lebih murah daripada harga pasaran. 

Apapun, anda mesti ada buku rujukan. Jangan belajar tanpa buku rujukan ya. 


4. Buku mesti ada bagi pelajar Farmasi?

Polisi kerjaya Farmasi di Malaysia masih lagi ke arah klinikal. Selepas tamat belajar nanti, graduan Farmasi akan berkhidmat  di hospital-hospital kerajaan. Jadi, asas klinikal yang baik adalah amat perlu.

Jadi saya mencadangkan agar anda mesti memiliki atau biasa menggunakan buku-buku rujukan klinikal yang utama seperti Drug Information Handbook dan juga Dipiro Pharmacotherapy Handbook. 

Jika ada yang latest version lebih baik, sebab anda akan mendapat informasi terkini berkenaan dunia klinikal.


Sekian dulu tips memilih buku rujukan untuk pelajar jurusan Farmasi. Jika ada sebarang soalan, jangan segan masukkan di ruangan komen ya. =)

Wednesday, March 13, 2013

Kehilangan (Firman) Cover by Nizam Malek

2 comments

Hi, apa khabar?

Dah lama rasanya saya tak post video muzik saya.

Mesti para peminat dah lama tertunggu-tunggu.. 

Hehe, ada peminat ke?

Ok, malam ni saya sempat rakam satu video ketika saya berjamming-jamming sendiri dengan gitar Akustik Levinhand saya.

Lagu Kehilangan nyanyian asal Firman.
Chord asal lagu ni adalah guna chord family Bm sebenarnya.

Tapi saya buat modification sikit, guna chord family Am.

Nak sesuaikan dengan suara dan tune gitar.

Harap-harapnya oklah.

Ok sampai sini saja.

Semoga terhibur.. Huahua.. =p

Monday, March 11, 2013

Review : Rock Oo! Rimba Bara Kembali

6 comments

Hi, hari ini saya nak buat review pasal filem yang telah saya tonton seminggu dua yang lepas. Filem tersebut bertajuk Rock Oo! Rimba Bara Kembali yang merupakan filem sequel daripada filem Rock yang telah dihasilkan oleh pengarah Mamat Khalid lapan tahun yang lalu.

AMARAN: KEPADA SESIAPA YANG TIDAK BOLEH MENERIMA PENDAPAT DAN PANDANGAN ORANG LAIN DENGAN MATANG BERKENAAN KRITIKAN FILEM, SILA JANGAN BACA ARTIKEL INI. KOMEN MEMBINA DAN PERKONGSIAN PENDAPAT ADALAH AMAT DIALUKAN-ALUKAN. TERIMA KASIH.

Filem Rock yang dipertontonkan pada tahun 2005 itu telah menggegar arena filem komedi di Malaysia apabila komedi jenis situasi dan skrip yang kuat berjaya menarik perhatian peminat-peminat filem komedi melayu (sayalah tu antaranya.. =p)..

Bagi saya sendiri, komedi yang dipersembahkan filem Rock tersebut telah berjaya memberi kesan yang kuat sehinggakan filem sambungannya amat dinanti-nantikan. Namun tidak dinafikan, pasti filem Rock dan filem Rock Oo! Rimba Bara Kembali ini akan dibanding-bandingkan kerana ianya satu sambungan.

Nak tahu apa pandangan saya pasal filem Rock Oo! Rimba Bara Kembali ni? Jom!


Watak dan Pelakon

Sebelum ditayangkan, aura filem Rock Oo! Rimba Bara Kembali ini sangat kuat kerana hampir semua pelakon-pelakon asalnya dikekalkan. Jika ada pelakon yang berubah, pasti penonton akan merasa perbezaannya. Walaubagaimanapun, bagi saya, walaupun para pelakonnya berjaya dikekalkan, kekuatan watak pada setiap pelakon ada sedikit goyah.

Contohnya watak Amy Mat Piah yang dilakonkan oleh Que Haidhar, terasa lain. Ada sedikit perbezaan walaupun tak nampak ketara dan kadang kalanya  jelas kaku. Ia menjejaskan kekuatan filem ini kerana watak Amy Mat Piah diangkat menjadi watak utama berbanding filem Rock yang terdahulu.

Begitu juga dengan watak Zul Kapan lakonan Soffi Jikan yang kembali bersama dengan band Malaikat Maut. Watak tersebut nampak kurang menyengat berbanding filem Rock dan gerun terhadap watak Zul Kapan ini tidak nampak di sepanjang jalan cerita, ibarat helang yang kehilangan taring kuku. (taring datang dari mana plak ni... =p).

Watak yang masih sama dan berjaya dikekalkan moodnya adalah watak Jijoe lakonan Khir Rahman. Gaya dan caranya tetap sama pada kedua-dua filem. Jika pelakon-pelakon lain berjaya melakonkan watak mereka sama dengan filem Rock, saya berpendapat filem ini akan menjadi lebih kuat dan bertenaga.
Perkembangan Cerita

Berkenaan dengan perkembangan cerita pula, terdapat elemen-elemen yang lebih kurang sama dengan filem Rock, tetapi dilihat tidak digarap dengan baik menjadikan sesuatu babak itu kadang kala tergantung begitu saja.

Ada masanya, pening dan pelik melihat sesuatu babak itu datang dan pergi begitu saja. Hal ini membuatkan penonton merasa penat untuk memikirkan babak sebelum itu apabila cerita telah pun masuk ke babak seterusnya.

Mood penonton jadi terganggu dengan perubahan babak yang kadang kala terlalu perlahan, dan kadang kala terlalu laju. Ibarat seseorang amatur yang mengedit video menggunakan software iMovie di Macbook.

Terdapat juga watak-watak yang timbul tenggelam dalam filem ini seperti pengurus mereka Abang Man dan watak yang dilakonkan oleh Saiful Apek. Malah penonton bagai tidak dapat menangkap, siapakah mereka sebenarnya. Ironinya, kedua-dua watak tersebut 'dibunuh' untuk menunjukkan band Rimba Bara tidak memiliki pengurus yang baik sebelum Amy Mat Piah diangkat menjadi pengurus mereka.

Selain itu, sebagai satu filem komedi yang cuba menyelimuti realiti (perh bahasa, tinggi tu..), filem Rock Oo! Rimba Bara Kembali ini menjadi sedikit janggal apabila band Rimba Bara dikaitkan dengan kejayaan di Anugerah Juara Lagu dan juga peristiwa pahit dunia rock iaitu rambut panjang perlu dipotong.

Ending filem ini sedikit spoil dan membuatkan penonton keluar panggung dengan perasaan 'kurang puas'.


Filem Melodrama

Berbeza dengan filem Rock, filem sequel ini lebih banyak menggunakan muzik dan lagu untuk membina mood dan suasana dalam kebanyakan situasi. Kebanyakkan babak dimasukkan lagu-lagu yang bersesuaian.

Namun bila terlalu banyak sangat lagu retro dimainkan, ada kalanya, terasa macam sedang mendengar radio Sinar fm di pawagam..

Walaubagaimanapun, permainan gitar daripada watak Slash lakonan Pekin Ibrahim memberikan kekuatan sementara kepada filem ini. Babak ini membuatkan ramai jejaka akan berangan menggoreng gitar sehebat itu.. =p
Elemen negatif dipertontonkan

Dalam filem Rock, elemen negatif seperti band Black Metal melalui figura band Malaikat Maut dapat dipertontonkan dengan cara komedi dan tidak nampak negatif. Ianya tidak menyakitkan mata.

Tetapi dalam filem Rock Oo! Rimba Bara Kembali ini, banyak elemen-elemen negatif tidak dikawal dengan baik dalam unsur komedi, contohnya babak yang menunjukkan pemain gitar meminum arak yang secara terang-terangan. Walaupun ia cuba dikomedikan, namun ia kurang menjadi, malah mungkin memberikan kesan negatif kepada para penonton.

Selain itu, terdapat satu babak yang menunjukkan bentuk badan wanita (sebelum band Rimba Bara jamming lagu Teratai di dalam studio) juga bukanlah satu perkara yang elok dimasukkan ke dalam sebuah filem komedi seperti ini.

Mungkin teknik marketing seperti 'Sex Sells' cuba dipergunakan dalam filem ini untuk menarik perhatian dan minat penonton, namun sedikit sebanyak ia boleh menjatuhkan kredibiliti pembikin filem yang mempunyai pengaruh dan pengikut yang tersendiri.


Secara keseluruhannya, sebagai peminat filem Rock, saya berpendapat, filem sequel Rock ini agak mengecewakan dari beberapa aspek dan ianya seharusnya boleh dibuat dengan lebih baik lagi.

Apa-apapun, dari aspek komedinya, filem Rock Oo! Rimba Bara Kembali ini mempunyai elemen komedi yang tersirat. Jika anda tidak gelak semasa menontonnya buat kali pertama, anda akan tergelak besar apabila menontonnya sekali lagi sendiri. Itulah yang berlaku dalam filem-filem komedi arahan Mamat Khalid seperti Rock dan Zombie Kampung Pisang.

Sekian review filem kritikal daripada saya buat kali ini.

Terima kasih. Senyum selalu, peace!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

 

Nizam Malek Blog. Copyright 2010 All Rights Reserved Revolution theme by Brian Gardner Ft Bloganol dot com | Distributed by Deluxe Templates

Create your free online surveys with SurveyMonkey , the world's leading questionnaire tool.