Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Hari ini saya nak luangkan sedikit masa untuk menjawab 2 lagi soalan yang telah dihantar oleh pembaca Nizam Malek Blog berkaitan masa depan kerjaya Farmasi di Malaysia.
Soalan pertama telah dihantar pada 22 Mac 2013, pukul 5.08pm dan berbunyi seperti ini;
1) "Salam En Nizam, nak tanya, saya merupakan lepasan SPM, kalau saya ambil kursus Diploma in Pharmacy, apa hala tuju saya selepas itu?"
Jawapan: Salam kepada anda yang bertanya, berkenaan dengan Diploma in Pharmacy (DIP), kebiasaannya anda akan belajar selama 3 tahun dan selepas tamat belajar, kelulusan yang anda dapat membolehkan anda untuk bekerja di sektor awam sebagai Penolong Pegawai Farmasi (PPF) bermula dengan gred U29.
Di hospital, secara asasnya PPF bertugas sebagai pembantu kepada Pegawai Farmasi untuk tugas pre-packing, stock recording, cytotoxic drugs reconstitution, total parenteral nutrition dan bermacam-macam lagi yang membolehkan proses kerja di Jabatan Farmasi menjadi lebih teratur dan efisyen.
Walaubagaimanapun, tugas PPF terhad berbanding Pegawai Farmasi untuk sesuatu tugas. Contohnya, PPF tidak terlibat dengan proses mengeluarkan ubat-ubat psikotropik (Dangerous Drugs), pembelian ubat bagi kegunaan hospital, patient counselling dan kebanyakan masanya, tugas untuk mendispens ubat kini lebih banyak diserahkan kepada Pegawai Farmasi Provisional U41.
Selain bekerja di hospital, terdapat juga PPF yang bekerja di Bahagian Penguatkuasa Farmasi dan tugasnya juga adalah untuk membantu Pegawai Penguatkuasa Farmasi mengikut unit-unit tertentu.
Berkenaan dengan gred pula, kenaikan jawatan adalah berdasarkan senioriti dan bukanlah mengikut masa (time-based) seperti yang berlaku dalam jawatan Pegawai Farmasi.
Namun, kerjaya sebagai PPF tidak terhenti di situ. Anda boleh menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Farmasi yang diambil dalam tempoh 4 tahun. Kelulusan tersebut membolehkan anda naik ke taraf Pegawai Farmasi.
Memang masa yang diambil adalah lebih panjang, namun ia tetap adalah satu opsyen yang baik.
Soalan kedua pula diterima pada 26 Mac 2013 pada pukul 3.19pm;
2) "Betul ke ahli Farmasi akan saturated???"
Jawapan: Soalan ini adalah antara soalan yang agak popular. Ramai yang ingin mengetahui, benarkah bahawa kerjaya dalam bidang Farmasi ini sudah atau akan tepu. Dengan kata lain, adakah bilangan ahli Farmasi berdaftar di Malaysia telah mencapai jumlah sasaran yang ditetapkan oleh World Health Organization (WHO)?
Secara tepatnya, saya tidak mempunyai perangkaan yang sebenar berkenaan jumlah Pegawai Farmasi di Malaysia dan apakah ianya telah mencapai sasaran ataupun belum. Jadi saya tidak dapat memberikan komen sama ada benar atau tidak jumlah ahli Farmasi di Malaysia telahpun atau akan tepu pada masa akan datang.
Cuma apa yang saya perhatikan adalah, memang betul, jumlah Pegawai Farmasi di sektor awam terutamanya di hospital kerajaan telah bertambah dengan banyak berbanding beberapa tahun sebelum ini.
Jika sebelum ini, sebuah hospital kerajaan cuma mempunyai seorang Pegawai Farmasi yang menyusun atur pengurusan berkaitan penggunaan ubat-ubatan hospital, kini hampir ke semua hospital telah mempunyai secara kasarnya 40-50 orang Pegawai Farmasi yang bertugas mengikut unit-unit tertentu seperti Klinikal, Farmasi Pesakit Dalam, Farmasi Pesakit Luar dan lain-lain.
Perkembangan sihat ini telah membolehkan Jabatan Farmasi memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada para pesakit di hospital.
Walaubagaimanapun, sejajar dengan pertambahan populasi masyarakat, sudah semestinya beban kerja di Jabatan Farmasi akan bertambah, malah dengan perancangan untuk memberi perkhidmatan nilai tambah kepada para pesakit menjadi faktor keperluan untuk menambah jumlah Pegawai Farmasi setiap tahun.
Isunya adalah, penghasilan graduan Farmasi setiap tahun adalah amat banyak melebihi kekosongan jawatan yang dapat ditawarkan di hospital-hospital kerajaan. Bayangkan 16 institusi pengajian tinggi awam dan swasta menghasilkan kira-kira 1500 orang graduan Farmasi setiap tahun untuk ditempatkan dalam jawatan di sektor awam, tidak ditambah lagi dengan graduan Farmasi dari luar negara seperti Indonesia, Australia dan lain-lain.
Sudah pasti perkara ini menjadi kerisauan bagi mereka yang sedang menjalani kursus Farmasi atau berkira-kira untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Farmasi. Persoalannya, apakah masa depan kerjaya Farmasi di Malaysia? Adakah dalam tempoh 5 tahun dari sekarang, graduan lepasan Farmasi akan menganggur sama seperti graduan lepasan kursus-kursus lain?
Pada pendapat saya, ketepuan jumlah ahli Farmasi di Malaysia bergantung kepada beberapa faktor besar seperti faktor politik semasa dan kekosongan jawatan. Bidang Farmasi adalah satu bidang yang amat penting dan perkhidmatan Farmasi menjadi tulang belakang kepada kesihatan manusia. Perkhidmatan Farmasi tidak boleh tepu kerana permintaan terhadapnya sentiasa tinggi dan bertambah setiap tahun.
Malah, kerjaya Farmasi menawarkan pelbagai cabang yang tidak kurang menarik selain perkhidmatan di hospital kerajaan.
Pada masa ini juga, kebanyakan hospital swasta di Malaysia sekadar mempunyai 1 atau 2 orang Pegawai Farmasi yang mengurus semua urusan berkaitan Jabatan Farmasi. Kekosongan besar ini mungkin menjadi satu peluang buat Pegawai Farmasi untuk berkhidmat di hospital swasta. Sudah pasti cabarannya berbeza dengan berkhidmat di hospital kerajaan, tapi ia tetap adalah satu pilihan yang baik.
Selain berkhidmat di hospital, ahli Farmasi juga boleh mencari peluang pekerjaan di rangkaian Farmasi retail. Pada masa kini, permintaan terhadap ahli Farmasi berdaftar adalah amat tinggi terutamanya daripada e-Cosway.
Walaupun terdapat banyak khabar mengatakan bahawa menceburi dunia rangkaian Farmasi retail melalui e-Cosway bukanlah satu langkah yang terbaik, tapi ia tetap adalah satu pilihan yang boleh dipertimbangkan.
Kepada yang tidak meminati Farmasi retail atas alasan-alasan tertentu, mereka boleh mencabar diri mereka untuk mencari peluang pekerjaan di sektor industri iaitu di kilang-kilang penghasilan ubat-ubatan.
Khabarnya juga, jumlah pendapatan yang diberikan untuk Pegawai Farmasi di sektor industri adalah yang tertinggi berbanding di hospital ataupun Farmasi retail. Cuma pastilah, beban kerja dan ekspektasinya lebih tinggi. Stress juga pasti lebih tinggi.
Secara umumnya, memang benar, tiada jaminan bahawa bidang Farmasi dapat memberikan pekerjaan kepada para graduan lepasan Farmasi seperti tahun-tahun sebelum ini. Malah polisi dalam bidang Farmasi juga dilihat bertukar-tukar dengan amat drastik dari semasa ke semasa.
Namun, sekali lagi pada pendapat saya, bidang Farmasi masih lagi adalah satu pilihan kerjaya yang amat baik untuk diceburi. Jika alasan jumlah Pegawai Farmasi di sektor awam telahpun mencapai tahap ketepuan, graduan lepasan Farmasi masih boleh mendapatkan peluang pekerjaan di sektor swasta yang masih lagi dikira berpermintaan tinggi.
Apa yang penting bagi anda yang sedang mengikuti kursus Farmasi atau bercadang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Farmasi adalah, anda perlu mempersiapkan diri anda dengan kemahiran soft-skill/modal-insan yang terkini untuk membolehkan anda bersaing mendapatkan pekerjaan.
Secara peribadi, saya masih lagi berpendapat bidang Farmasi adalah satu pilihan yang baik dan bidang Farmasi memerlukan lebih ramai ahli Farmasi berkualiti yang dapat mengembangkan perkhidmatan Farmasi di Malaysia untuk sepanjang masa.
Cuma jika benar suatu hari nanti kursus Farmasi di Malaysia tidak lagi dianggap satu kursus kritikal, pilihan seterusnya yang terbaik adalah untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang doktor pergigian.
Jika anda ada ruang untuk mendapatkan lebih info berkenaannya, anda akan dapat melihat perbandingan terhadap kedua-dua bidang kerjaya ini.
Semoga perkongsian kali ini memberi gambaran terhadap pandangan berkenaan masa depan kerjaya Farmasi di Malaysia kepada anda.
Sebarang soalan/komen adalah amat-amat dialukan.