Sunday, August 25, 2013

[SurveyMonkey] Cara Membuat Aduan Kepada Farmasi


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Terima kasih kerana masih setia membaca artikel-artikel yang saya tulis di sini.

Untuk artikel kali ini, saya akan menjawab satu soalan yang telah dimasukkan oleh pelawat Nizam Malek Blog ini di dalam kotak SurveyMonkey yang terdapat di bahagian bawah blog ini.

Soalan pertama yang diterima

Soalan yang masuk pada 21 Ogos 2013 (11.58pm) ini merupakan soalan pertama yang saya terima sejak kotak SurveyMonkey digunakan di blog ini. Terima kasih kepada yang bertanyakan soalan.

Begini soalannya:

"Salam, saudara tahu tak macam mana caranya untuk report bahan kosmetik tidak berdaftar, tiada nombor pendaftaran yang aktif dijual di Instagram kepada pihak Farmasi?"

Jawapan:

Untuk pengetahuan anda, produk kosmetik yang ingin dijual di Malaysia perlu mendapatkan kelulusan pendaftaran terlebih dahulu daripada pihak Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK).

Notifikasi Produk Kosmetik?

Pendaftaran notifikasi tersebut adalah mudah dan biasanya sampel produk akan diminta untuk tujuan ujian penyaringan kandungan bahan-bahan kimia yang terdapat dalam produk kosmetik tersebut sama ada berbahaya atau tidak jika digunakan.

Produk kosmetik yang telah didaftarkan akan mempunyai nombor pendaftaran notifikasi iaitu huruf NOT diikuti sembilan nombor dan huruf K, contohnya seperti ini 'NOT130703031K'.

Syarikat atau individu yang mendaftarkan produk kosmetik tersebut dipanggil pemegang lesen Notifikasi dan secara asasnya, mereka sahaja yang layak untuk mengimport kosmetik-kosmetik tersebut dari luar negara.

Nombor notifikasi yang diperolehi tersebut boleh dipamerkan pada kotak atau label produk kosmetik tersebut sebagai bukti pendaftaran notifikasi produk. Namun tiada masalah jika ia tidak dipamerkan pada produk, asalkan penjual adalah pemegang lesen notifikasi untuk tersebut.

Tanpa lesen notifikasi yang sah dari pihak BPFK, adalah menjadi kesalahan bagi sesiapa untuk memiliki atau menjual produk kosmetik tersebut di Malaysia.

Saluran Untuk Membuat Aduan

Seterusnya, jika anda mengetahui sesiapa sama ada individu atau perniagaan yang menjual produk kosmetik yang tidak bernotifikasi, anda boleh membuat aduan kepada pihak Bahagian Perkhidmatan Farmasi di negeri anda untuk membolehkan siasatan dilakukan.

Anda boleh mendapatkan no telefon pejabat Bahagian Perkhidmatan Farmasi setiap negeri melalui pautan ini:

http://www.pharmacy.gov.my/v2/ms/entri/bahagian-perkhidmatan-farmasi-negeri.html

Apa yang anda perlu lakukan adalah, anda perlu memberikan maklumat yang jelas dan detail berkenaan aktiviti penjualan produk kosmetik yang tidak bernotifikasi itu kepada Pegawai Farmasi yang menjawab panggilan aduan anda.

Pastikan Anda Mempunyai Maklumat Yang Lengkap

Jika penjualan itu dilakukan di Instagram, anda boleh cuba mendapatkan alamat penjual agar siasatan daripada Farmasi dapat dilakukan ke atas aktiviti penjualan tersebut.

Oleh kerana masih belum ada pengawasan khusus dikuatkuasakan terhadap lawan web yang menjual produk kosmetik tidak berdaftar, aduan dan informasi berkenaan alamat premis-premis yang menjadi tempat penyimpanan produk-produk kosmetik tidak berdaftar untuk tujuan penjualan itu adalah amat penting bagi membantu pihak Bahagian Perkhidmatan Farmasi membuat siasatan dan serbuan jika tersabit dengan kesalahan melanggar akta-akta Farmasi.

Pengalaman Saya Dengan Penjual Online

Saya pernah ditanya oleh seorang perempuan melalui telefon baru-baru ini berkenaan kawalan terhadap penjualan produk-produk kosmetik di Internet. Kata beliau, kawalan daripada pihak Farmasi ini (pendaftaran notifikasi kosmetik) menyulitkan mereka yang ingin berniaga di Internet.

Beliau mempersoalkan tindakan pihak Farmasi yang menahan konsaimen-konsaimen yang mengandungi produk-produk kosmetik tidak bernotifikasi dari luar negara.

Beliau berpendapat, dengan adanya Internet, dunia perniagaan kini menjadi semakin mudah dan kos rendah kerana jualan dilakukan secara online, tetapi menjadi bermasalah dan tidak dapat dilakukan kerana disekat oleh pihak-pihak penguatkuasa seperti pihak Farmasi.

Kenapa Farmasi Mengawal Kosmetik?

Hakikatnya, produk kosmetik adalah tidak sama dengan produk-produk lain seperti pakaian, jam tangan, permaianan kanak-kanak dan sebagainya yang dijual di Internet.

Produk kosmetik adalah satu bahan yang mengandungi bahan kimia yang dapat memberikan kesan kepada para penggunanya. Malah dengan peningkatan permintaan terhadap produk kosmetik seperti produk mencerahkan kulit, menghilangkan parut dan jeragat, sabun herbal dan sebagainya telah menjadikan industri ini sesuatu yang amat menguntungkan.

Akibatnya, ada pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab dan mahukan keuntungan berlipat  kali ganda dengan segera bertindak menghasilkan produk kosmetik yang mengandungi bahan-bahan kimia terlarang yang dapat memberikan kesan yang diingini dengan lebih cepat, tetapi mengandungi kesan sampingan yang amat berbahaya seperti mengakibatkan kerosakan pada kulit manusia dan sesetengahnya boleh menyebabkan kecatatan kekal.

Sudah banyak kes kulit manusia di Malaysia dan seluruh dunia yang rosak disebabkan penggunakan produk kosmetik yang mengandungi bahan-bahan kimia yang berbahaya seperti Merkuri, Hydroquinone, Steroid dan bermacam-macam lagi.

Oleh sebab itu, adalah menjadi tanggungjawab pihak Farmasi untuk mengawal kemasukan dan penjualan produk-produk kosmetik yang tidak bernotifikasi agar keselamatan para pengguna dapat diutamakan.

Jangan kata pula, apabila banyak kes-kes kerosakan kulit manusia di Malaysia berlaku disebabkan produk kosmetik, pihak Penguatkuasaan Farmasi disalahkan kerana tidak mengawal penjualan dan penggunakan produk kosmetik di Malaysia.

Jangan Fikir Untung Saja..

Memang benar, Internet telah membolehkan ramai orang menjana pendapatan dengan lebih mudah pada kos yang lebih rendah, namun bukan semua produk boleh dijual sesuka hati dan jika ia perlu mendapatkan kelulusan/permit/surat kebenaran daripada pihak tertentu, sudah pasti ia ada sebabnya.

Nak untung menjual di Internet tu, untunglah juga, tapi perlu dilihat kesannya yang lebih besar, sama ada akan membahayakan pengguna atau tidak.

Kepada anda yang membuat aduan kepada pihak Farmasi berkenaan informasi penjualan produk-produk kosmetik tidak berdaftar atau bernotifikasi, anda sebenarnya telah membantu pihak Farmasi untuk menyelamatkan lebih ramai rakyat Malaysia daripada menjadi mangsa kesan buruk/sampingan yang mungkin berlaku disebabkan penggunakan produk kosmetik yang tidak selamat.

Ok, sekian artikel kali ini, jemput share dengan kawan-kawan anda informasi yang saya kongsikan kali ini. =)

4 comments:

Anonymous said...

Totally agree.. I xsaba nk call unit farmasi esk.. curious with some cosmetics products

Nizam Malek on December 4, 2013 at 2:01 PM said...

Terima kasih Anonymous. Semoga bermanfaat, dan jemput share artikel ini dengan kawan-kawan anda ya. =)

Anonymous said...

Salam. Nak tnya:

Company X ada jual bbrapa produk ubatan tradisional dgn ada MAL number cth MALxxxxxxxxxTC dan dikotak ubat tertulis manufactured by kilang yg ada gmp license. Sedangkan produk tersebut sebenarnya:

1. Dimasak atau diproses dirumah atau dikediaman tokey sesuka hati tanpa pengawasan cara/proses n bahan yg digunakan (sedangkan kotak tulis manufactured by kilang berdaftar)

2. Setelah siap masak tokey akan hantar ke rumah siapa2 yg telah ambil upah utk tolong isikan kedalam botol tanpa menggunakan cara n instrument yg x btl takut xbersih n xmemenuhi spesifikasi sebenar. N disimpan ditempat yg xsesuai sprt dlm store rumah yg kotor bersawang

3. Setelah siap diisi dlm botol, akan dikumpul dihantar ke kilang gmp yg sebenar2nya utk melalui proses penampalan sticker produk n printing batch no n exp date. Di sini kilang akan membantu mencipta record pengilangan yg sebenarnya tidak wujud. Seolah2 kilang tersebut membuat n memproses ubat tersebut sedangkan tidak.

Soalannya:
1. Bolehkah sy membuat aduan kpd bpfk tentang produk tersebut?

2. Adakah sy berhak mmbuat aduan n adakah sy perlu menyediakan bukti2 yg sepatutnya?

3. Adakah apa yg telah mereka aplikasikan ini salah?

Nizam Malek on June 14, 2015 at 10:23 PM said...

Salam Anonymous,

1. Anda boleh buat aduan berkenaan maklumat tersebut ke pihak Farmasi cawangan negeri anda.

2. Anda berhak membuat aduan dan disarankan anda dapat menyediakan maklumat yang lengkap berkenaan aduan tersebut. Bukti-bukti aduan juga boleh disalurkan sekiranya ada.

3. Secara asasnya apa yang diaplikasikan tersebut adalah salah dan tidak mengikut prosesur yang betul. Siasatan perlu dilakukan dan sekiranya didapati bersalah iaitu melanggar akta atau peraturan Farmasi yang berkuatkuasa, pesalah akan diambil tindakan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

 

Nizam Malek Blog. Copyright 2010 All Rights Reserved Revolution theme by Brian Gardner Ft Bloganol dot com | Distributed by Deluxe Templates

Create your free online surveys with SurveyMonkey , the world's leading questionnaire tool.