Friday, August 30, 2013

Kenapa Ya MLM dan Kenapa Tidak MLM Part 1


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

 Multi Level Marketing, atau biasanya dipanggil MLM adalah satu jenis perniagaan bertingkat yang tidak asing di kalangan rakyat Malaysia. Sejak sekitar tahun sebilan pulahan (90's), ramai yang telah terlibat dengan bidang MLM tidak kira di bandar atau di kawasan kampung.

Multi Level Marketing

Secara asasnya, MLM ini adalah satu sistem yang membolehkan sesuatu perniagaan berkembang dengan progresif dan mencapah. Dengan adanya sistem MLM, mereka yang terlibat dengan sesuatu perniagaan itu mempunyai kumpulan-kumpulan tersendiri yang akan mendapatkan ahli-ahli bagi memperluaskan jaringan perniagaan dan keuntungan.

Saya dan MLM

Saya mula mengenali MLM ketika di zaman persekolahan lagi. Antara nama syarikat MLM yang saya kenali pada waktu itu adalah Zhulian, iaitu sebuah syarikat jual beli barang kemas. Syarikat Zhulian ini khabarnya amat berjaya dan ramai jutawan dapat dilahirkan.

Masa tu saya kecil lagi, jadi tak faham apa sangat. Begitu juga dengan syarikat-syarikat MLM yang menjual produk-produk kesihatan dan keperluan harian rumah seperti Cosway dan Elken. Tapi masa tu, tak nampak sangat orang kumpul-kumpul cakap pasal business plan MLM. Apa yang diangkat adalah produk yang mereka jual seperti penapis air dan supplemen.

Cerita Pengalaman Saya Sikit..

Ketika saya belajar di peringkat kolej matrikulasi dan ketika di Universiti Putra Malaysia (UPM) sekitar tahun 2005-2006, aktiviti mempromosikan MLM amat giat dilakukan oleh para pelajar Melayu.

Saya masih ingat dipelawa oleh sekumpulan belia lelaki di kedai Mamak. Mereka semua memakai kemeja yang kemas dan berkasut, sedangkan waktu itu saya cuma pakai t-shirt biasa dan berselipar sahaja. Syarikat yang mereka promosikan ketika itu adalah syarikat Luxor.

Mereka bercerita tentang keuntungan, financial freedom dan kemewahan yang mereka perolehi daripada aktiviti MLM yang mereka lakukan. Kalau anda berada di zaman itu, mungkin anda akan terbaca di majalah atau surat khabar yang seorang pelajar lelaki Melayu berjaya membeli dan memandu sebuah BMW 3 series sedangkan beliau masih lagi berstatus Mahasiswa di universiti.

Memang masa borak-borak tu, sesekali mereka akan menunjukkan deretan kereta BMW yang diparking di tepi jalan, katanya milik mereka. Masa diorg cakap-cakap pasal apa yang mereka lakukan dan apa yang mereka perolehi dan apa yang saya boleh perolehi jika menyertai mereka tu, fikiran saya kosong. Rasa sangsi dan memang tak percaya langsung apa yang cuba disampaikan.

Lama juga luangkan masa di kedai Mamak tu, beberapa jam. Sampai saya dah naik letih dan bosan. Tapi nak minta diri tu rasa susah sangat.

Macam diorg telah mengikat saya duduk di situ, mendengar apa saja yang mereka nak katakan. Soalan-soalan saya semua dijawab dengan yakin dan menunjukkan saya ini memang tidak tahu apa-apa.

Keluarkan Modal Besar RM2000!

Apa yang mereka mahukan ketika itu adalah, saya membuat keputusan untuk mengeluarkan modal RM2000 dan menyertai kumpulan mereka mempromosikan aktiviti mereka itu.

Masa tu saya masih belajar, mana lah ada duit RM2000 nak bagi kat mereka, kalau ada pun, confirm tak akan bagi mereka. Cadangan mereka adalah, pinjam duit daripada ibu bapa dan kawan-kawan. Mereka mendakwa, mereka mendapat kembali modal mereka selepas 2 minggu melakukan MLM tersebut dan berjaya membayar balik duit yang dipinjam.

Mereka suruh saya buat macam tu juga. Dalam hati, saya cakap, "gila!". Tak mungkin lah saya nak pinjam RM2000 daripada ibu bapa dan kawan-kawan macam tu saja.. Saya tak mahu melibatkan wang orang lain semudah itu.

Di akhirnya, saya menguatkan semangat untuk beredar tanpa memberikan apa-apa komitmen kepada mereka walaupun ada masanya mereka kelihatan sedikit menekan dan memaksa.

Begitulah salah satu pengalaman saya. Setakat berjumpa dan mendengar mereka menerangkan apa yang mereka mahu sampaikan. Sudah beberapa kali juga berlaku, tapi semuanya saya tidak sertai. Jadi boleh dikatakan, saya tidak pernah mengeluarkan apa-apa modal untuk menyertai mana-mana syarikat MLM. 

MLM Satu Isu Sensitif

Namun sehingga ke hari ini, saya masih lagi menerima undangan untuk menghadiri konvensyen-konvesyen dan table talk yang dianjurkan oleh syarikat-syarikat MLM. Apabila berbicara berkenaan dunia MLM, ada yang bersetuju dan ada juga yang tidak bersetuju.

Kadang kala perbezaan pendapat itu boleh menjadi satu perdebatan yang menyebabkan sahabat menjadi lawan atau sekurang-kurangnya tidak lagi bertegur sapa. Saya melihatnya satu isu yang sensitif. Di Facebook, ada kalanya saya menyuarakan juga pendapat saya berkenaan MLM dan membaca status beberapa kawan berkenaan persepsi mereka terhadap MLM.

Ini Bukan MLM, Ini Network Business..

Di satu sudut, nama MLM kian buruk dan menjadi kutukan sebahagian besar mereka yang tidak bersetuju dengan konsep MLM. Sejak itu juga, nama MLM kini kurang disebut, mereka menukar namanya kepada Networking Business untuk mengaburi pemikiran orang ramai. Hakikatnya, pada saya, ia tetap satu sistem yang sama, menjana pendapatan bertingkat-tingkat.

Sudah pasti saya punya pendapat yang tersendiri yang panjang lebar berkenaan MLM dan di sinilah medan yang sesuai untuk saya membentangkan pendapat saya ini.

Artikel ini adalah bertujuan berkongsi pendapat, terutamanya kepada mereka yang masih tidak nampak apa itu MLM dan bingung sama ada ianya sesuatu yang bermanfaat atau tidak untuk dilakukan. Jauh sekali untuk melabel sesiapa atau memburukkan sesiapa. Jadi kalau tak sependapat, tuliskan pendapat anda di ruangan komen ya. =)

Kenapa Ya, MLM?

Sebelum saya membentangkan kenapa saya tidak pernah bersedia atau ingin menyertai program MLM, suka untuk saya persembahkan beberapa kebaikan-kebaikan yang akan diperolehi jika anda melakukan MLM. Sudah pasti, bukan semuanya buruk pasal MLM, jadi apa yang baiknya?

1) MLM adalah satu sistem yang dapat menggandakan wang anda sehingga ke peringkat infiniti.

Menurut Pakar Kewangan dan Pelaburan barat yang dikenali ramai, Robert T. Kiyosaki, MLM adalah satu sistem yang paling berkuasa di dunia jika matlamat menggandakan wang adalah yang paling utama. Ini kerana , program MLM dilakukan secara berkumpulan atau berjemaah dan menjadikan sesuatu organisasi MLM itu amat kuat dan berkuasa untuk menjana wang yang banyak secara berterusan. Jika dibandingkan dengan menjana pendapatan melalui pekerjaan makan gaji, orang yang melakukan MLM berpeluang untuk menjadi berkali-kali lebih kaya dalam masa yang lebih singkat. Secara asasnya, ia ada kebenaran di situ.

2) MLM melatih kemahiran modal insan seseorang.

MLM adalah satu sistem yang melibatkan orang yang ramai. Bagi mereka yang terlibat dalam dunia MLM, bercakap di khalayak ramai dan memimpin ahli kumpulan adalah satu perkara yang biasa. Setiap hari, malam ke malam, minggu ke minggu, bulan ke bulan, mereka yang melakukan MLM dilatih secara langsung atau tidak langsung untuk bercakap dengan yakin dan ianya akan menjadi sebahagian dari diri. Majoriti mereka yang melakukan MLM adalah orang yang berani ke hadapan dan yakin pada diri sendiri.

3) MLM membentuk motivasi diri yang tinggi dan berkobar-kobar.

Setiap sesi perjumpaan MLM (biasanya pada waktu malam), ahli-ahli MLM akan diberikan rangsangan untuk lebih berjaya dalam apa perkara yang mereka lakukan melibatkan MLM. Speaker-speaker hebat dijemput untuk berucap dan memberikan kata-kata motivasi kepada setiap ahli agar mereka sentiasa bersemangat untuk melakukan aktiviti-aktiviti MLM ini. Secara tidak langsung, ia membentuk sikap dan sifat positif dalam diri seseorang. Dan ini sebenarnya adalah amat penting. Di kelilingi oleh mereka yang bermotivasi tinggi dan tidak kenal erti putus asa.

4) MLM membuatkan kita ada ramai kenalan.

MLM disertai oleh semua lapisan masyarakat, sama ada orang biasa sehinggalah ke mereka yang berstatus professional seperti doktor perubatan. Dari situ membuatkan kita berpeluang mengenali mereka yang hebat-hebat dan kenalan ini akan dapat membantu kita dalam banyak keadaan dalam hidup ini.

5) MLM membantu kita keluar mengenali dunia luar.

Ada juga syarikat MLM yang menawarkan manfaat-manfaat seperti Travel Seminar yang biasanya diadakan di luar negara jika anda berjaya mencapai beberapa level dalam program MLM mereka. Dengan menyertai Travel Seminar seperti itu, anda berpeluang untuk melihat negara luar dan apa saja yang tidak terdapat di dalam negara kita. Ini adalah satu peluang yang menarik dan menyeronokkan bagi kebanyakan orang.

Ok sampai sini dulu cerita pasal MLM. 

Dalam post yang seterusnya, saya akan kongsikan, kenapa saya benar tidak bersetuju dengan program MLM dan kenapa saya membuat keputusan untuk tidak terlibat langsung dalam dunia MLM. 

Nak tahu kenapa? Nantikan post 'Kenapa Ya MLM dan Kenapa Tidak MLM Part 2.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

 

Nizam Malek Blog. Copyright 2010 All Rights Reserved Revolution theme by Brian Gardner Ft Bloganol dot com | Distributed by Deluxe Templates

Create your free online surveys with SurveyMonkey , the world's leading questionnaire tool.