Tuesday, November 22, 2011

Pingat Emas Bola Sepak Sukan SEA 2011 Milik Malaysia!


Malam tadi seluruh Malaysia gegak gempita menyaksikan anak-anak muda Malaysia memenangi pingat emas perlawanan bola sepak di Sukan SEA 2011 yang telah berlangsung di Gelanggang Olahraga (GELORA) Bung Karno, Indonesia.


Kaca TV tertumpu di 3 saluran utama yang membawakan siaran langsung perlawanan final tersebut iaitu TV1, TV3 dan juga Stadium Astro dengan harapan menggunung agar pasukan bola sepak Malaysia dapat mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada Sukan SEA 2 tahun lepas di Laos.

Alhamdulillah, berkat kesungguhan usaha, iringan doa dan izin Allah S.W.T, Malaysia berjaya mengalahkan tuan rumah, Indonesia dengan jaringan penalti 4 berbalas 3 selepas permainan berkesudahan seri 1-1 dalam tempoh permainan sebenar dan masa tambahan.

Pemain Malaysia kelihatan tertekan dan sedikit gugup pada permulaan permainan sehingga membenarkan jaringan daripada pemain pertahanan Indonesia, Gunawan yang menanduk masuk gol selepas menerima hantaran daripada sepakan sudut ketika permainan hanya memasuki minit ke 5.

Walaubagaimanapun, pemain Malaysia mendapat keyakinan semula dan berjaya menguasai bahagian tengah dan seterusnya merencanakan beberapa gerakan serangan yang berjaya mencemaskan kubu pertahanan Indonesia yang dikawal rapi oleh penjaga gol mereka, Meiga.

Meiga pada saya telah beraksi agak baik di sepanjang perlawanan dengan melakukan beberapa gerakan menyelamat yang berjaya menidakkan peluang Malaysia untuk menjaringkan gol penyamaan.

Namun, beberapa minit sebelum tempoh separuh masa pertama berakhir, kapten Malaysia, Baddrol Bakhtiar berjaya menyelinap masuk melepasi pertahanan Indonesia dan membuat hantaran silang ke bahagian hadapan pintu gol Indonesia.

Hantaran beliau tersebut menemui Asraruddin Putra Omar yang telah merebahkan badan untuk melakukan tandukan unik sekaligus menjaringkan gol penyamaan bagi Malaysia menewaskan Meiga yang telah pun terkeluar daripada posisi.

Pada separuh masa pertama, bahagian serangan Malaysia yang diterajui oleh Fakri Shaarani dan Thamil Arasu dilihat kurang memberikan tekanan yang bermakna terhadap barisan pertahanan Indonesia.

Sebaliknya, pemain-pemain Indonesia kelihatan lebih aktif bergerak terutamanya di bahagian sayap kiri mereka dan melakukan beberapa cubaan berbahaya ke pintu gol Malaysia. Namun Alhamdulillah, banyak percubaan mereka berjaya dipatahkan oleh penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat.

Malaysia dan Indonesia terikat 1-1 sehingga ke rehat separuh masa pertama.

Separuh masa kedua bermula dengan kedua-dua pasukan tidak melakukan sebarang pertukaran pemain. Indonesia sekali lagi bermula garang dan memberikan tekanan kepada Malaysia dengan melakukan gerakan pantas memecah benteng pertahanan.

Perlawanan menjadi semakin panas dan sengit apabila Indonesia berjaya meletakkan bola di belakang pintu gol Malaysia menewaskan Khairul Fahmi Che Mat, namun gol tersebut dibatalkan kerana pemain Indonesia jelas berada di kedudukan offside ketika melakukan rembatan tersebut.

Malaysia juga berjaya mendapat peluang mendahului Indonesia melalui Fakri Shaarani yang ghairah menewaskan Meiga namun gol juga dibatalkan kerana beliau berada di kedudukan offside. Namun beliau tidak dikenakan amaran kad kuning dengan alasan tidak mendengar tiupan wisel yang dibayangi oleh gelombang bunyi membingit daripada penyokong-penyokong Indonesia yang berada di stadium.

Perlawanan kemudiannya menjadi kurang pantas di pertengahan dan akhir separuh masa kedua apabila para pemain kedua-dua pasukan mula kelihatan kepenatan dan ada yang mengalami kecederaan.

Jurulatih Indonesia, Rahmad Dermawan segera melakukan beberapa pertukaran pemain dan percaturan beliau dilihat berjaya apabila gerakan permainan Indonesia lebih kemas dan pantas dengan kehadiran pemain baru yang masih segar dan bertenaga.

Malaysia juga tidak ketinggalan melakukan beberapa pertukaran pemain untuk menyaingi permainan Indonesia. Antara pertukaran pemain yang dilakukan adalah dengan mengeluarkan Thamil Arasu digantikan oleh pemain dari Kuala Lumpur, Yong. Kemudian pemain berpengalaman, Gurusamy ditukarkan dengan pemain paling muda berusia 17 tahun, Nazmi Mansor.

Permainan Yong biasa-biasa saja dan beliau dilihat kurang menyerlah di bahagian sayap kanan. Jarang sekali dapat melihat beliau membawa bola di sebelah kanan padang dan melakukan hantaran kepada pemain striker. Namun usahanya tetap perlu diberikan pujian.

Berbeza dengan Nazmi Mansor. Beliau mempamerkan kemahiran kawalan bola dan hantaran yang amat berkualiti. Permainan beliau amat menarik dan tidak disangka bahawa beliau baru berusia 17 tahun. Melihat beliau bermain ibarat menyaksikan Cesc Fabregas atau Samir Nasri di tengah padang. Namun, disebabkan fizikalnya yang agak kecil, beliau sering tewas dalam perebutan udara dan permainan agresif yang diamalkan oleh pemain-pemain Indonesia.

Di akhir separuh masa pertama, Malaysia dilihat lebih banyak bertahan dan menyerap asakan pemain Indonesia. Barisan pertahanan Malaysia yang dikemudi oleh Muslim Ahmad dan Fadli Shaas telah bertindak cemerlang dengan menutup segala ruang yang ada. Jika mereka gagal mengekang serangan Indonesia, pintu gol Malaysia tetap terselamat dengan adanya penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat yang beraksi cemerlang.

Permainan memasuki masa tambahan. Para pemain dilihat semakin kepenatan selepas terpaksa bertarung melebihi 90 minit. Beberapa pemain Malaysia mengalami kecederaan apabila diasak lawan walaupun ketika wisel telah pun dibunyikan. Penjaring gol Malaysia, Asrarudin Putra Omar yang bermain di bahagian sayap kiri digantikan dengan Fandi Othman.

Walaupun rata-rata pemain berada dalam keadaan tekanan fizikal yang memuncak, mereka masih lagi memberikan tumpuan dan fokus semaksimum yang mungkin. Kedua-dua pasukan dapat menjaring gol walaupun kedua-duanya juga dibatalkan kerana kedudukan offside.

Inilah final yang amat menarik dan mendebarkan bagi para penyokong yang mengharapkan kemenangan pasukan masing-masing. Malah ianya berlanjutan sehingga ke penentuan sepakan penalti.

Berikut adalah highlight penentuan sepakan penalti:

1. Indonesia menjaringkan gol walaupun Khairul Fahmi berjaya membaca arah gerakan bola dan menyentuhnya.

2. Mahali Jasuli juga berjaya menjaringkan gol pertama buat Malaysia mudah menewaskan Meiga.

3. Penjaring gol Indonesia pada minit ke 5, Gunawan gagal menjaringkan gol kedua Indonesia apabila sepakan beliau menuju tepat ke arah kanan tiang gol dan terkeluar. Tekanan buat pasukan Indonesia.

4. Tendangan kaki kiri Fandi Othman berjaya menewaskan Meiga. Kedudukan Malaysia 2, Indonesia 1.

5. Penendang penalti ketiga Indonesia berjaya menjaringkan gol. Khairul Fahmi gagal membaca arah gerakan bola dan tertewas.

6. Tatkala pemain Malaysia kelihatan positif dan yakin akan memenangi penentuan sepakan penalti tersebut, pemain penyerang Fakri Shaarani yang diberi tanggungjawab sebagai penendang ke 3 gagal menjaringkan gol apabila tendangan lemah beliau berjaya diselamatkan oleh Meiga. Kedudukan kembali terikat 2-2.

7. Pemain Indonesia memanfaatkan kedudukan yang kembali seimbang dengan menjaringkan gol ketiga dengan hanya menendang ke arah tengah ketika Khairul Fahmi bergerak ke arah kiri pintu gol.

8. Fadli Shaas kelihatan tenang dan bersahaja ketika menjaringkan gol ke 3 buat Malaysia.

9. Pemain ke 5 Indonesia berdepan tekanan yang memuncak apabila beliau seharusnya menjaringkan gol untuk memastikan survival pasukan Indonesia. Namun tendangan beliau berjaya dibaca oleh Khairul Fahmi yang melayangkan badan ke arah kanan pintu gol dan menafikan peluang Indonesia.

10. Malaysia kembali beroleh peluang untuk memenangi penentuan sepakan penalti tersebut dan kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar hadir menyahut cabaran. Baddrol Bakhtiar mengambil jalan mudah dengan menendang ke arah tengah pintu gol. Meiga yang bergerak sedikit ke kanan berjaya menghalang bola dengan menggunakan kaki beliau, namun momentum sepakan terus menolak bola tersebut berguling-guling masuk ke dalam gawang gol dan memberikan sejuta kelegaan kepada Baddrol Baktiar dan seluruh penyokong Malaysia!

Begitulah berakhirnya perlawanan yang penuh debaran dan mengasyikkan. Malaysia berjaya mempertahankan pingat emas bola sepak yang dimenangi dua tahun lalu di Laos. Penyokong Malaysia jelas gembira dan berpuas hati melihat para pemain dan pasukan pengurusan Malaysia meraikan kejayaan yang amat dinanti-nantikan tersebut.

Gelora Bung Karno akhirnya senyap dan diratapi oleh para penyokong Indonesia yang pastinya kecewa melihat Garuda Muda ditewaskan 2 kali oleh Harimau Muda di stadium keramat kebanggaan mereka.

Pujian dan penghargaan memang perlu dicurahkan kepada anak-anak muda Malaysia yang telah berusaha keras sepanjang kejohanan dan komitmen mereka amat membanggakan seluruh rakyat Malaysia.

Antara pemain yang menarik perhatian saya sepanjang perlawanan akhir tersebut adalah

1. Baddrol Bakhtiar yang cemerlang dengan kawalan bola di tengah padang
2. Irfan, pemain tengah berjersi no 7 yang bijak membuat hantaran kepada pemain penyerang dan pantas turun membantu pemain pertahanan.
3. Khairul Fahmi, cemerlang di hadapan gawang gol walaupun kelihatan gugup seketika di awal permainan. Sumbangan beliau ketika penentuan sepakan penalti sememangnya sudah dijangka. Tahniah!
4. Mahali Jasuli, Zubir Ali, Fadli Shaas dan Muslim Ahmad. Gandingan empat pemain yang membentuk rangkaian pertahanan Malaysia sepanjang perlawanan amat mengkagumkan dan membanggakan.
5. Asrarudin Putra Omar. Sumbangan beliau hampir 80% permainan sebelum dikeluarkan akibat kecederaan amat bermakna. Malah gol yang dihasilkan beliau pada separuh masa pertama menjadi 'turning point' bagi membangkitkan semangat Harimau Muda secara keseluruhan.

Di Facebook, ucapan tahniah dan kebanggaan rakyat Malaysia terpamer mencurah-curah tidak kira daripada lelaki, perempuan, muda tua. Meraikan kejayaan secara online terutamanya di Facebook sudah menjadi trend semasa di zaman ini.

Namun tidak kurang juga yang masih terikut-ikut dengan emosi kenegaraan apabila mengeluarkan komen berunsur nasionalis yang sekadar memburukkan keadaan. Antaranya ada yang kurang matang apabila memberikan komen negatif tidak berasas berkenaan Garuda Muda yang sekadar hanya membangkitkan amarah penyokong Indonesia.

Bagi saya tidak perlulah sampai begitu. Bola sepak hanya permainan dan tidak perlu difanatikkan. Cukuplah sekadar bersyukur atas kejayaan dan memberikan ucapan tahniah. Malulah dengan Harimau Muda yang berjaya mengawal emosi sepanjang perlawanan dan kita tidak melihat anak-anak muda kita bertindak di luar batasan ketika diasak teruk dalam perlawanan.

Konsep fair play yang diamalkan oleh pemain Malaysia dan Indonesia sepanjang perlawanan perlu dicontohi oleh rakyat kedua-dua negara dan inilah salah satu cara untuk menjernihkan kembali hubungan di antara kedua negara melalui sukan.

Baiklah, sampai sini dahulu coretan saya berkenaan cerita kejayaan pasukan Malaysia memenangi pingat emas bola sepak di Sukan SEA 2011 Indonesia.

Tahniah, tahniah dan tahniah buat semua! =)

-Nizam Malek

1 comments:

Hanz Malek on November 22, 2011 at 2:33 PM said...

I like this post! Your report are informative , interesting and complete; not skip the exciting part of the competition..! Yeah, best!! Nice work! ;)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

 

Nizam Malek Blog. Copyright 2010 All Rights Reserved Revolution theme by Brian Gardner Ft Bloganol dot com | Distributed by Deluxe Templates

Create your free online surveys with SurveyMonkey , the world's leading questionnaire tool.