Saturday, January 23, 2010

Anda tahu apa itu respect?


Semalam saya telah ke Masjid MMU, Cyberjaya untuk menunaikan solat jumaat. Terdapat banyak isu semasa yang telah dibincangkan oleh khatib sehingga tempoh khutbah melepasi pukul 2.05pm. Ironinya, saya ingin memetik salah satu topik yang telah diutarakan oleh khatib, iaitu berkenaan penghormatan atau respect.

Antara fakta pertama yang perlu kita fahami berkaitan respect ini ialah, kita tidak boleh memaksa orang lain untuk tunduk dan hormat pada kita. Walaupun kita mempunyai nama, pangkat, kuasa dan senioriti, semua itu belum mampu membuatkan setiap orang di hadapan kita untuk dengar dan ikut cakap kita.

Fakta kedua daripada saya ialah, kita tidak boleh membeli respect dengan harga. Walaupun kita orang kaya, kita ada duit banyak. Kita tidak akan mampu membuatkan orang di sekeliling kita benar-benar menghormati dan menghargai diri kita. Malahan, mungkin saja kita yang akan dipergunakan.

Jika kita hayati dan dalami dua fakta di atas, jangan kita berharap orang akan tiba-tiba hormat pada kita, bercakap baik dengan kita dan mendahulukan kita dalam apa sahaja urusan walaupun kita mempunyai jawatan yang lebih tinggi daripada mereka.

Tapi semua orang mahu dihormati, disegani dan dihargai. Kita akan rasa nilai kita amat rendah bila orang bawahan kita, tidak dengar cakap kita, mengutuk di belakang kita dan sebagainya. Bila jadi begitu, kita cuma pandai tanya kenapa, kenapa? dan kita cenderung untuk menyalahkan orang di sekeliling itu kerana tidak pandai menghormati kita.

Sebenarnya, perkara yang perlu difahami ialah orang tidak melihat siapa kita untuk dihormati. Tapi nilai-nilai murni dalam diri kita lah yang akan diperhatikan.

Dalam khutbah tersebut, khatib telah berkata bahawa salah satu nilai yang diperlukan ialah, menepati janji. Cubalah kita sedaya upaya untuk mengotakan semua janji kita. Seterusnya, kita akan dapati, orang sekeliling kita akan respect kepada kita tanpa disuruh. Mereka bersedia bekerja dengan kita dan memberikan komitmen bila mendengar arahan kita.

Khatib juga menambah, jika kita dapat memberikan yang lebih baik daripada apa yang kita janjikan, maka kita dapat menarik perasaan hormat dalam diri orang di sekeliling kita. Kenyataan itu saya nilaikan sebagai amat penting, dan terlalu ramai antara kita yang tidak mampu, atau sengaja tidak mahu menepati janji-janji. Akibatnya, orang akan menjauhkan diri daripada kita.

Bagaimana lagi caranya, untuk membuatkan orang hormat pada kita? Di bawah merupakan idea dan pendapat saya sendiri berkaitan isu ini:

  • Cara bercakap. Siapa yang suka dimarahi? Siapa yang suka berdepan dengan orang yang panas baran? Siapa yang tidak kesah diherdik di depan orang ramai? Mungkin sebelum ini kita bercakap lantang dan selalu menyakitkan hati orang lain. Kita tidak tahu berbudi bila berbicara. Tapi fahamilah, jika kita mahu orang hormati kita, kita perlu terlebih dahulu menghormati orang lain.
  • Berlapang dada. Selalunya orang yang tidak dihormati ialah orang yang terlalu ego dengan kehebatan diri sendiri. Kita selalu menganggap kita lebih superior daripada yang lain, dan tiada sebab untuk kita tidak dihormati. Sebenarnya, jika kita lebih merendah diri, serta menghargai kebolehan orang lain di hadapan kita, mereka akan rasa lebih selesa untuk bersama atau bekerja dengan kita.
  • Berilmu. Pesan ibu saya, orang berilmu akan disanjung dan orang yang berilmu itu berbeza dengan orang yang tidak berilmu. Tapi, perasan tak, setiap tahun, berpuluh-puluh ribu lepasan SPM berjaya dengan straight A's, dan begitu ramai juga lepasan universiti. Cuma, adakah ilmu yang kita ada itu menjamin bahawa kita akan dihormati? Jawapannya belum tentu. Sebenarnya begini. Ilmu yang kita ada adalah tidak ternilai. Tetapi, jika kita mahu ilmu itu menjadi pengantara untuk kita dihormati, kita perlu gunakan ilmu itu untuk kebaikan orang lain. Tidak guna kita sendiri saja yang pandai, tapi orang sekeliling menderita. Jika kita ada ilmu, kongsikan, dan ajarkan kepada orang sekeliling. Bila kita jadi dermawan ilmu, orang akan sayang dan hormat pada kita. Percayalah.
  • Jangan tunjuk sangat?. Kita manusia biasa. Tidak lari daripada perasaan tidak suka dan benci. Mungkin dalam ramai-ramai orang di sekeliling kita, ada 2 3 orang yang kita tidak ngam atau kita meluat betullah. Bila kita berdepan dengan situasi begitu, jangan tunjuk sangat perasaan kita. Kawallah emosi dan tindakan kita. Caranya, jangan entertain/fikirkan perkara yang membelenggu itu. Buat biasa saja, focus pada kerja dan orang yang membuatkan kita rasa ok.
Walau berapa banyak nilai murni yang kita praktikkan, kita tidak mampu memuaskan hati semua pihak. Jadilah orang yang berfikiran realistik, dan matang.

Namun, setelah kita cuba sedaya upaya mempraktikkan tips di atas, sampai masa, kita tidak perlu lagi menjaja atau cuba membeli respect daripada orang lain. Tapi orang lain sendiri yang akan tunduk dan hormat pada kita.

2 comments:

UstazCahaya on January 23, 2010 at 2:25 PM said...

Salam Ziarah, Saudaraku Nizam Malek..

Perkongsian dan tips yang baik. Semalam, saya bersolat Jumaat bersama TPM, kerana beliau di Bintulu, Sarawak, dan solat Jumaat di masjid tempat saya biasa berjumaat. Khutbah kami semalam tajuknya, 'Hidup Lebih Manis Tanpa Gula';-)

Nizam Malek on January 23, 2010 at 3:53 PM said...

Salam UstazCahaya,

Thanks for your comment.

Alhamdulillah teknologi semasa banyak membantu kita untuk berdakwah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

 

Nizam Malek Blog. Copyright 2010 All Rights Reserved Revolution theme by Brian Gardner Ft Bloganol dot com | Distributed by Deluxe Templates

Create your free online surveys with SurveyMonkey , the world's leading questionnaire tool.