Sunday, November 17, 2013

10 Sebab, Kenapa Anda Perlu Menyimpan Wang!


Menyimpan wang adalah amat penting. Menyimpan wang adalah asas kepada pengurusan kewangan. Dan menyimpan wang akan memberikan anda kuasa.

Ramai orang masih lagi belum tahu kepentingan dan faedah menyimpan wang. Bagi kebanyakan orang, menyimpan wang secara konsisten adalah amalan kuno, hanya untuk kanak-kanak dan tidak tidak praktikal untuk dilakukan.

Mereka percaya, wang yang ada perlulah dibelanjakan untuk keperluan hidup dan apa saja urusan yang memerlukan wang.

Sebenarnya, menyimpan wang adalah amat penting. Bagi orang yang tahu kepentingan menyimpan wang, mereka akan berkata seperti ini:

"All days are not the same. Save for a rainy day. When you don't work, savings will work for you." -M.K. Soni

Dalam artikel kali ini, saya akan bentangkan 10 sebab, kenapa anda perlu menyimpan wang!

1. Sebagai Tabung Kecemasan.

Seperti petikan ungkapan M.K Soni di atas, hidup tidak sentiasa mudah, ada harinya, kita akan diuji dengan dugaan-dugaan tertentu dan saat-saat kecemasan seperti jatuh sakit atau kereta rosak dan sebagainya.

Oleh itu, dengan memiliki duit simpanan, ianya akan dapat membantu mengurangkan masalah yang dihadapi tersebut tanpa perlu meminta-minta pertolongan daripada orang lain.

Dengan memiliki wang simpanan sendiri, anda lebih tenang dan cekal menghadapi saat-saat kecemasan jika ianya berlaku pada bila-bila masa.


2. Sebagai Deposit Untuk Tujuan Membeli Harta.

Pada masa-masa tertentu, sudah pasti anda akan berhajat untuk memiliki rumah atau kereta. Harta-harta ini akan memberikan nilai tambah dalam kehidupan anda dan memenuhi keperluan hidup anda.

Dengan memiliki wang simpanan sendiri, anda boleh membayar deposit atau wang pendahuluan untuk membeli rumah atau kereta. Bayangkan jika anda tidak mempunyai wang simpanan, sudah pasti anda hanya mampu melihat orang lain bergembira kerana dapat membeli rumah dan kereta idaman mereka.

Menyimpan wang membolehkan anda membeli sesuatu yang anda ingini dan mahukan.


3. Memberi Ketenangan Fikiran.

Tidak dinafikan lagi bahawa, dengan memiliki sejumlah wang dalam akaun simpanan, fikiran anda akan menjadi lebih tenang. Ini kerana, anda tidak akan merasa risau jika tiba-tiba anda perlu menggunakan wang bagi tujuan-tujuan tertentu.

Orang yang memiliki RM500 dalam akaun simpanannya akan merasa tenang berbanding orang yang tidak memilliki wang simpanan sebanyak RM500.

Orang yang memiliki RM5,000 dalam akaun simpanannya akan sentiasa merasa kuat dan bersedia untuk berdepan dengan urusan-urusan yang memerlukan pembayaran menggunakan wang.

Seterusnya, orang yang memilki RM50,000 dalam akaun simpanannya akan sentiasa mereka sihat dan berani untuk mengambil apa-apa risiko terutamanya berkaitan pelaburan.

Sudah pasti anda dapat melihat perbezaan antara ketiga-tiga orang di atas ini. Keadaan dan cara mereka berfikir serta bertindak adalah berbeza disebabkan faktor jumlah simpanan yang mereka miliki.

Dengan memilliki wang simpanan yang lebih banyak, secara tidak langsung ia akan memberi lebih ketenangan fikiran kepada anda.


4. Membolehkan Anda Membantu Keluarga.

Dalam satu keluarga, bukan semua ahlinya senang. Mungkin ada di kalangan adik beradik, sepupu, ayah dan mak saudara kita berada dalam kesusahan dan memerlukan pertolongan.

Dengan memiliki wang simpanan, kita menjadi orang yang berkemampuan untuk membantu mereka. Jika bukan kita sendiri yang membantu keluarga, tak kan nak harapkan orang lain?

Oleh kerana itu, apabila kita sentiasa bersedia dengan wang simpanan kita, kita dapat menunaikan tanggungjawab kita untuk membantu ahli keluarga kita.

Pasti anda tertanya-tanya, jika wang simpanan kita digunakan untuk membantu keluarga, sudah pasti sia-sia sahaja usaha kita menyimpannya, malah orang lain pula yang menggunakannya.

Sebenarnya, jika kita berniat ikhlas untuk membantu orang lain terutamanya keluarga sendiri, insyaAllah akan memulangkan kembali wang kita dalam bentuk dan cara yang lain.

Hal itu usah kita risaukan. Yang penting kita dapat membantu keluarga kita dan lihatlah ikatan kekeluargaan akan menjadi lebih erat dan insyaAllah apabila kita pula dilanda kesusahan satu hari nanti, keluarga kitalah yang akan datang untuk membantu kita pula. =)


5. Sebagai Alat Untuk Tujuan Pelaburan.

Menyimpan wang semata-mata memang tidak akan dapat memberikan apa-apa kesan kepada anda. Sebaliknya, jika wang simpanan yang terkumpul itu dilaburkan kepada medium pelaburan yang selamat dan meyakinkan, wang anda akan bertambah berlipat kali ganda.

Terdapat dua jenis pelaburan yang utama iaitu pelaburan pada ilmu dan satu lagi adalah pelaburan untuk menggandakan wang.

Kedua-dua jenis pelaburan ini memerlukan wang untuk dilaburkan terlebih dahulu dan jika anda memilih untuk melaburkan wang untuk ilmu, anda akan menjadi lebih bijak untuk membuat pelaburan lain yang akan menghasilkan pulangan wang yang lebih besar untuk anda.

Pokok pangkalnya, ia bermula dengan wang simpanan yang anda ada.


6. Wang Sebagai Alat Untuk Membeli Kebahagiaan.

Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan poin di atas. Memang benar, wang bukanlah segala-galanya dan ia tidak sepatutnya diletakkan terlalu tinggi sehingga dijunjung untuk membeli kebahagiaan.

Wang perlu diletakkan pada tempat yang betul. Jika wang digunakan dengan sebaiknya, ia akan memberi banyak manfaat dan membolehkan kita membeli kebahagiaan yang kita mahukan.

Orang yang tidak memiliki wang masih boleh mengecapi kebahagiaan, tapi kebahagiaan tersebut adalah pada had-had tertentu sahaja.

Sebaliknya, bagi orang yang memiliki wang simpanan, kebahagiaannya adalah lebih dan mereka boleh memilih untuk mendapatkan kebahagiaan yang lebih besar.

Anda bebas untuk tidak bersetuju dengan pendapat ini, tapi sudah pasti pendapat anda juga akan berubah sekiranya anda memiliki sejumlah wang yang besar dalam akaun simpanan anda, hasil daripada usaha menyimpan wang yang anda lakukan.


7. Untuk Persediaan Perkahwinan.

Perkahwinan adalah sesuatu yang halal dan menjadi sunnah nabi junjungan kita, Muhammad S.A.W. Dengan berkahwin, kita menjadi insan yang lebih terkawal dan insyaAllah hidup kita akan menjadi lebih sempurna.

Tapi umum mengetahui, soal perkahwinan memerlukan kos yang agak tinggi. Walau seringkas manapun sesuatu majlis, ia tetap memerlukan wang untuk dibelanjakan contohnya untuk menjamu orang makan di majlis walimatulurus.

Dengan memiliki wang simpanan sendiri, anda boleh merancang untuk berkahwin dan tidak perlu menangguhkan hasrat suci tersebut ataupun terjebak dengan jerat pinjaman peribadi (personal loan) yang akan mengikat kewangan anda setiap bulan sehingga ke hari tua.

InsyaAllah jika anda berusaha menyimpan wang dengan konsisten untuk tempoh masa tertentu, anda akan bersedia untuk berkahwin dan membina keluarga sakinah untuk kemakmuran masyarakat Islam khususnya dan negara amnya.


8. Memberi Peluang Untuk Keluar Melancong.

Melancong ke luar negara bukan lah sesuatu yang tidak mampu kita lakukan. Malah dengan teknologi dan kemudahan terkini, melancong ke luar negara menjadi lebih mudah dan pada harga yang berpatutan.

Apabila kita keluar melancong ke luar negara, kita akan mendapat ilmu baru, pengalaman baru serta mendapat kenalan baru.

Ia akan meluaskan lagi pandangan kita tentang kehidupan dan menjadikan kita insan yang lebih matang dan sentiasa insaf akan kebesaran Allah S.W.T yang Maha Kuasa mencipta alam ini.

Dengan memiliki wang simpanan, kita berpeluang untuk keluar melancong dan tidak hanya terperap di negara sendiri umpama seekor katak di bawah tempurung.


9. Boleh Membalas Jasa Kedua-dua Ibu Bapa.

Sehebat mana pun diri kita, dan setinggi mana pun kita diangkat, janganlah dilupa 2 orang yang amat penting dalam hidup kita, iaitu ibu bapa kita.

Mereka lah yang membolehkan kita lahir di dunia ini dan melihat keindahan alam, dan mereka jugalah yang sanggup berkorban apa saja untuk membesarkan kita serta melihat kita berjaya.

Pengorbanan dan kasih sayang yang mereka curahkan kepada kita tiada tolok bandingnya di dunia ini dan tidak mungkin kita dapat membalas segala-galanya yang datang daripada mereka.

Dengan memiliki wang simpanan, kita boleh gunakannya untuk membalas jasa dan budi mereka terhadap kita.

Memang wang yang kita berikan tidak bernilai langsung kepada mereka, tapi dengan memberi sedikit wang kepada mereka atas tanda berterima kasih, ia sudah cukup untuk menggembirakan hati mereka.

Jadilah anak yang soleh dan solehah dengan menyayangi ibu bapa kita dengan sepenuh hati. Bantu mereka ketika mereka sudah tua dengan menggunakan wang yang kita ada dan doakan kesejahteraan mereka sentiasa. InsyaAllah hidup kita akan diberkati Allah S.W.T.


10. Sebagai Satu Persediaan Untuk Hari Tua.

Jika boleh, simpan wang dan jangan keluarkan untuk apa sebab sekalipun. Wang simpanan yang terkumpul ini akan boleh digunakan untuk hari tua anda nanti.

Oleh kerana itu, slogan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah Simpanan Hari Tua Anda.

Simpanan untuk hari tua adalah amat penting supaya apabila sampai masa itu, kita sudah tua dan tidak kuat untuk bekerja, kita masih mempunyai wang untuk digunakan untuk perbelanjaan harian tanpa perlu mengharapkan belas ehsan daripada orang lain walaupun anak-anak kita sendiri sekiranya mereka sendiri tidak berkemampuan.


Demikian 10 sebab, kenapa anda perlu menyimpan wang. Akhir kata, saya ingin berkongsikan kata-kata hikmah daripada Nelson Mandela:

"Money Won't Create Success, The Freedom To Make It Will."

Ingin tahu 5 tips cara-cara menyimpan wang?

Ikuti artikel saya di http://www.nizammalek.com/2013/08/5-tips-cara-menyimpan-wang.html

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

 

Nizam Malek Blog. Copyright 2010 All Rights Reserved Revolution theme by Brian Gardner Ft Bloganol dot com | Distributed by Deluxe Templates

Create your free online surveys with SurveyMonkey , the world's leading questionnaire tool.