Friday, October 11, 2013

Downgrade Kereta, Satu Pilihan?


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Dah lama juga saya tak menulis artikel di Nizam Malek Blog ni, sementelah agak sibuk dengan beberapa urusan kerja serta masalah-masalah yang melanda. 

Jadi seminggu dua ni agak tiada mood untuk menulis di blog. Mesti anda semua tertunggu-tunggu update terbaru daripada saya kan? Huhu..

Baiklah, dalam blog post kali ini, saya nak menulis satu artikel berkenaan kereta. 

Yup, isu kereta ini menjadi satu isu yang boleh melibatkan sedikit emosi jika dibincangkan, namun bagi yang berfikiran terbuka dan bersedia menerima pendapat orang lain, pasti anda akan dapat melihat sesuatu sudut pandang yang mungkin sama dengan anda atau berbeza kali ini.

Tak kesah lah berbeza pendapat atau tak, saya tetap nak tulis juga. =D

Pagi tadi, di Facebook, saya update satu status yang berbunyi begini:

"Kalau dah biasa pandu kereta besar dan mewah, susah nak downgrade ke kereta kecil dan lebih ekonomi. Hakikat atau mitos?"
Terima kasih saya ucapkan kepada mereka yang telah LIKE dan sudi untuk menurunkan komen, memberikan pendapat dan pandangan yang bernas berkenaan persoalan yang cuba dilontarkan.

Kenapa saya update status di Facebook sebegitu? Pasti ada sebabnya.. Kereta kini menjadi satu isu yang meruncing dalam masyarakat Malaysia. 

Jika dulu sesiapa yang memiliki kereta dianggap orang kaya, kini kereta dilihat sebagai satu keperluan yang akan memudahkan urusan kita seharian untuk ke sana dan ke mari.

Namun, dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi sejak kebelakangan ini, antaranya lantaran kenaikan harga minyak 20 sen seliter yang diumumkan oleh Kerajaan baru-baru ini, memiliki kereta telah menjadi satu beban kepada rakyat Malaysia terutamanya golongan muda.

Sudah menjadi kelaziman golongan muda untuk membeli kereta yang selesa, agak mewah dan bergaya dalam tempoh 3 bulan pertama selepas mendapat pekerjaan. 

Antara kereta yang menjadi golongan muda ini adalah seperti Kia Forte 6 Speed, Honda City, Toyota Vios, Ford Fiesta dan seumpamanya yang berharga sekurang-kurangnya RM80k ke atas. 

Jumlah pinjaman yang perlu dibayar kepada pihak pula adalah sekitar RM800-1000 sebulan. Perbelanjaan untuk kereta tersebut tidak terhenti disitu kerana banyak lagi kos perlu diperuntukan untuk penggunaan minyak petrol dan servis.

Memang seronok memandu kereta baru, besar dan bergaya, tapi keseronokan tersebut hanya bertahan paling lama 3 bulan. Selepas itu, barulah ada sedikit timbul rasa menyesal kerana terbeban dengan kos yang amat tinggi untuk terus menggunakan kereta tersebut setiap bulan.

Bayangkan jika gaji seseorang sekitar RM3000, separuh daripada duit gajinya itu telah 'hilang' untuk 'memenuhi' keperluan kereta dan seseorang itu harus menempuh hari-hari sebelum gaji bulan hadapan masuk dengan jumlah wang separuh daripada gajinya. 

Jadi pembelian kereta yang sudah sedia maklum dilabelkan sebagai satu liabiliti telah menjadi beban yang amat ketara untuk golongan muda ini. 

Komitmen yang tinggi terhadap liabiliti kereta ini sahaja telah menjerat mereka dan membuatkan mereka tidak dapat menggunakan peluang masa muda dan kemampuan yang ada untuk melabur dalam sistem-sistem yang terbukti mampu memberikan masa depan yang lebih baik seperti Pelaburan Hartanah dan sebagainya.

Persoalannya, apakah yang boleh dilakukan oleh golongan ini? Sudah terlewatkah untuk memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan dengan mengambil liabiliti kereta ini? Semuanya bergantung kepada diri sendiri. 

Seperti update status saya di Facebook, adakah downgrade kereta satu pilihan? Bolehkah golongan muda ini menjual semula kereta besar dan bergaya mereka dan menukarkannya dengan sebuah kereta yang lebih kecil dan ekonomi seperti Myvi ataupun Viva?

Sudah semestinya, kesan psikologi dan emosi memberi kesan yang ketara dalam keputusan yang perlu dibuat. Jika sudah terbiasa memandu kereta mewah dan bergaya, sudah pasti terasa tergugat ego bila terpaksa memandu kereta lain yang lebih murah. Apa kata orang lain nanti? 

Itulah masalahnya, pandangan, kata-kata dan persepsi orang lebih diambil perhatian berbanding kesesakan kewangan yang dihadapi. Dan kerana itu jugalah ada pepatah mengatakan 'Biar Papa Asal Bergaya' itu wujud, khas buat mereka. Downgrade kereta tidak mungkin wujud dalam kamus hidup.

Apa-apapun, semuanya bergantung kepada pilihan masing-masing. Sama ada untuk terus berada dalam situasi kesesakan kewangan ataupun bertindak untuk memperbaikinya dan mendapatkan ruang kewangan yang lebih selesa dan sihat.

Sebaliknya, bagi mereka yang masih belum sampai ke fasa seperti ini, contohnya golongan Mahasiswa dan Mahasiswi di universiti serta kolej, perkembangan semasa serta masalah-masalah yang dihadapi oleh generasi terdahulu perlu dikaji. 

Jangan ulangi kesilapan pengurusan kewangan yang telah dilakukan oleh generasi abang dan kakak anda. Bermulalah dengan kereta kecil yang lebih ekonomi dan di bawah kemampuan. Mungkin setelah naik pangkat dan mempunyai lebihan wang simpanan, baru lah upgrade kepada kereta yang lebih selesa dan bergaya. 

Akhir kata, jangan jadikan downgrade kereta sebagai satu pilihan.

2 comments:

Unknown on October 11, 2013 at 4:45 PM said...

Banyak perlu difikirkan untuk downgrade kete, kos hutang yg ditanggung antara perjalanan yg perlu dikaji dahulu. Saya pernah meminta pendapat orang2 yg berpengalaman. Ada yg berpendapat merugikan kerana bebanan hutang yg lama masih ditanggung. Contoh downgrade vios kpd viva. Hasilnya bayar viva dgn hutang vios. Mungkin After trade in hutang vios telah dibayar sebahagian. Bakinya adakah berbaloi? Ini sekadar pendapat. Jika ada cara yg lebih baik, sila la share....
Ariff Arshad

Nizam Malek on October 11, 2013 at 6:46 PM said...

Memang banyak hal yang perlu dipertimbangkan jika nak downgrade kereta.

Sebab tu perlu elakkan beli kereta mahal-mahal pada waktu muda, sebab akan terikat dengan komitmen yang tinggi menyebabkan banyak masalah.

Jika sudah terbeli, apa nak buat? Adakah downgrade satu pilihan yang terbaik?

Masih belum tentu. Seperti yang anda perkatakan, kos-kos pinjaman kereta yang sebelum tu masih perlu diselesaikan.

Jika itulah masalahnya, terpaksalah teruskan dengan kereta yang mahal tu, tetapi kita boleh adjust beberapa perkara, contohnya:

1. Kurangkan penggunaan kereta tersebut. Terpaksalah kurang pergi jalan-jalan cuci mata. Kalau tak mahu kurangkan penggunaan kereta, sendiri lah menanggung beban.

2. Pakai apa yang ada, tak perlu sibuk-sibuk nak modify kereta tu sana sini. Tukar sport rim, tambah spoiler, cuci kereta setiap minggu, semua tu akan menyebabkan pengaliran wang keluar.

3. Tambah pendapatan! Kalau pendapatan berkurangan disebabkan perlu menampung perbelanjaan yang telah terlebih ini, apa yang boleh dilakukan adalah dengan menambah pendapatan, daripada RM3k kepada RM4k kepada RM5k atau sebanyak mana yang anda boleh. Hal ini melibatkan usaha yang lebih, tapi kalau tak nak usaha, memang tak dapat apa, dan teruslah terbelenggu dengan masalah kewangan.

Begitulah antara perkara yang boleh dilakukan untuk menampung kesilapan yang telah dilakukan.

Downgrade kereta memang bukan satu pilihan yang terbaik. Tapi kalau ada peluang, sanggupkah kita untuk downgrade?

Jika idea untuk downgrade itu tidak munasabah, sanggupkah kita lakukan sesuatu untuk mengurangkan kesesakan kewangan yang sedang dihadapi?

Akhirnya, semuanya bergantung kepada pilihan diri sendiri.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

 

Nizam Malek Blog. Copyright 2010 All Rights Reserved Revolution theme by Brian Gardner Ft Bloganol dot com | Distributed by Deluxe Templates

Create your free online surveys with SurveyMonkey , the world's leading questionnaire tool.