Saturday, December 22, 2012

[Qualaroo] Tips Pengurusan Kewangan Bagi Yang Baru Memulakan Kerjaya


Ini merupakan blog post kedua dalam kategori Qualaroo. Dah lama juga saya tak respond pada soalan-soalan anda di ruangan Qualaroo ini. Yang terakhir pun pada 14 Oktober 2012 yang lalu.

Terima kasih kepada anda yang telah sudi memasukkan soalan atau apa saja respond ke dalam kotak Qualaroo tu, sekurang-kurangnya, ada juga idea untuk saya menulis. Biasalah, kadang-kadang kering juga idea.. Heheh..

Ok, untuk post kali ini, saya akan menulis satu artikel sebagai respond kepada cadangan tajuk yang telah disampaikan oleh seorang pelawat/pembaca Nizam Malek Blog. Cadangannya adalah, untuk saya menulis berkenaan pengurusan kewangan bagi yang baru memulakan kerjaya. Oh, cadangan ini sangat bagus dan saya memang suka untuk menulis berkenaan tajuk-tajuk sebegini.

Alam kerjaya adalah satu alam yang amat berbeza dari alam belajar. Semuanya akan berubah dan berbeza. Di alam kerjaya lah, seseorang itu akan diuji untuk lebih berdikari dan menguruskan dirinya sendiri. Antara bab yang amat penting dalam di alam kerjaya adalah pengurusan kewangan!

Memang seronok apabila mempunyai kerja. Walaupun terpaksa berpenat dan bersusah payah, perlu bangun awal pagi dan balik lewat petang. Kadang-kadang tu pula, kena marah dengan bos atau rakan sekerja yang lebih senior, tapi kesakitan dan kesedihan itu hilang apabila menerima gaji pada akhir bulan.

Apabila mula bekerja, kita kan jadi kelabu mata melihat jumlah wang yang banyak dalam akaun bank kita yang sentiasa tiada duit sebelum ini.. Disebabkan itu juga, kita cendurung untuk menggunakan wang yang tiba-tiba banyak itu untuk berbelanja sesuka hati kita..

Sehinggalah satu keadaan, duit tiada lagi untuk menyara hidup diri sendiri, malah terbeban dengan hutang sana sini yang tidak mampu dibayar pada waktunya.. Masalah besar mula timbul..

Pada 12 Oktober 2012 yang lalu, Berita Harian melaporkan lebih 50,000 orang muda berusia bawah 34 tahun di negara ini diisytiharkan muflis sepanjang tempoh 5 tahun lalu menjadikan ia satu isu yang amat penting untuk diperhalusi.

Bagaimana cara terbaik untuk menguruskan wang? Adakah dengan menyimpan di bank? Adakah dengan melabur wang yang ada di mana-mana dengan harapan mendapat pulangan yang lebih besar?

Sukar untuk menjawab persoalan-persoalan di atas secara terus dan terang, kerana teknik pengurusan wang ini boleh dikatakan agak kompleks. Dan yang paling penting sekali, untuk menguasai teknik pengurusan wang, anda perlu membuang semua stigma-stigma atau kepercayaan yang salah berkenaan wang yang mungkin selama ini berada di minda anda.

Di sini, saya akan kongsikan beberapa tips yang mungkin dapat membantu anda yang baru memulakan kerjaya untuk mengurus wang dengan lebih cekap dan berhemah demi kesejahteraan sendiri dan keluarga.


1. Pay Yourself First. 

Ini adalah satu teknik yang amat penting dan bakal mengubah cara pengurusan wang anda secara menyeluruh. Apabila mendapat gaji, jadikan amalan untuk menolak terlebih dahulu sekurang-kurangnya 10% untuk simpanan peribadi anda. 

Anda boleh membuka satu lagi akaun bank yang khas untuk tujuan ini. Apabila anda sudah terbiasa, anda tidak akan rasa susah untuk menyimpan lebih banyak wang dan memastikan sasaran simpanan anda tercapai. 

Belajar menyimpan adalah perkara asas dalam pengurusan kewangan. Lakukan teknik Pay Yourself First ini setiap kali anda menerima gaji.


2. Berbakti pada kedua-dua ibubapa. 

Memberi sejumlah wang kepada ibubapa setelah mula bekerja adalah satu amalan yang amat mulia. 

Sebenarnya, ibubapa tidak mengharapkan kita memberi wang kepada mereka, tapi dengan memberi wang, ia menjadi tanda kita menghargai jasa dan budi mereka yang telah bersusah payah membesarkan kita, memberi pelajaran sehinggalah kita berjaya mencapai cita-cita dan beroleh kerjaya yang baik. 

Menjadi anak yang berbakti pada kedua-dua ibubapa akan menjadikan rezeki yang diperolehi lebih diberkati. InsyaAllah, duit yang sikit akan terasa banyak dan cukup. Seperti teknik Pay Yourself First, cuba berikan sedikit wang kepada ibubapa anda secara konsisten setiap bulan.


3. Jangan berbelanja melebihi apa yang anda terima.

Ramai yang tersilap langkah kerana berbelanja melebihi gaji yang diterima. Contohnya, gaji yang diterima adalah RM2000, cukup besar nampaknya kan? Tapi belanjanya melebihi RM2000. Beli smartphone baru saja berharga RM2100, tak dikira lagi belanja kawan-kawan makan, shopping baju dan seluar baru, aksesori kereta yang tak perlu dan bermacam-macam lagi.

Ini adalah peraturan yang nyata. Pastikan anda tidak melakukan kesilapan yang sama. Berbelanjalah mengikut keperluan dan perhatikan perbelanjaan, agar tidak melebihi apa yang anda ada untuk bayar.

Jika anda ingin membeli sesuatu barang yang mahal, kumpul lah duit terlebih dahulu. Mungkin setelah 3 bulan gaji, barulah anda membelinya, dan pastikan anda mempunyai baki wang untuk keperluan hidup.


4. Kad kredit, bagus atau tidak?

Jerat kad kredit adalah salah satu yang menyebabkan ramai orang muda jatuh muflis. Kenapa begitu? Jika benar, lebih baik jangan daftar untuk sebarang kad kredit, dan berbelanja menggunakan wang tunai sahaja.

Hakikat sebenarnya adalah, kad kredit adalah satu cara untuk berbelanja dengan lebih mudah, kerana kita tidak perlu membawa keluar wang tunai dalam jumlah yang banyak. Setelah bil kad kredit keluar, kita boleh membuat pembayaran menggunakan perbankan online seperti Maybank2u atau CIMBClicks. Sudah pasti kad kredit amat memudahkan.

Boleh saja jika anda ingin menggunakan kad kredit, tapi pastikan anda mempunyai wang yang cukup untuk membayarnya. Sebaiknya, hadkan penggunaan kad kredit kepada urusan transaksi tertentu sahaja seperti untuk mengisi minyak petrol, pembelian online yang memerlukan penggunaan kad kredit seperti membeli tiket kapal terbang ataupun untuk membuat pembayaran hotel ketika melancong.

Jika anda tidak yakin dapat mengawal perbelanjaan menggunakan kad kredit, jadi tidak perlulah anda menggunakannya. Tiada masalah berkenaannya.


5. Memilih kereta yang lebih ekonomi.

Kereta adalah satu 'harta' yang amat suka dibeli oleh mereka yang baru memulakan kerjaya. Bagi kebanyakan golongan muda, kereta adalah bukti bahawa mereka telah berjaya. Membeli kereta yang agak mewah, mahal dan menawan akan menerbitkan keyakinan diri mereka di kalangan ahli keluarga dan juga masyarakat.

Namun ia adalah persepsi yang amat salah. Kereta bukanlah bukti kejayaan yang sebenar. Kereta secara asasnya adalah alat yang digunakan untuk membantu kita bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain dengan lebih pantas dan mudah.

Ramai yang 'menderma' duit kepada bank kira-kira RM1600 sebulan tanpa gagal setiap bulan kepada pihak bank hanya untuk sebuah kereta yang bakal menjadi besi buruk suatu hari nanti. Walaupun ayat di atas ini agak kejam dan dilihat agak menekan, itulah hakikatnya bagi yang mempelajari aspek pengurusan kewangan dengan mengikut peraturan yang betul.

Bagi anda yang baru memulakan kerjaya, sudah pasti anda memerlukan kenderaan untuk ke tempat kerja dan pulang ke rumah. Tidak salah untuk membeli kenderaan, tapi pastikan anda membeli kereta yang tidak menyedut wang anda terlalu banyak. 

Jika setiap bulan anda hanya perlu membayar RM600 untuk kereta A, ia pasti lebih baik daripada anda perlu membayar RM1000 untuk kereta A yang mungkin lebih bergaya. Dengan memilih kereta A, anda telah berjimat RM400 dan boleh digunakan untuk keperluaan lain.

3 tips membeli kereta bagi yang baru memulakan kerjaya:


  • Lebih baik beli kereta baru daripada kereta 2nd hand yang mungkin cenderung untuk rosak dan terus rosak sehingga menyusahkan anda.
  • Jangan terus membeli kereta idaman yang mahal, walaupun anda dilihat berkemampuan mengikut slip gaji. Belilah kereta yang lebih berpatutan dan tidak membebankan.
  • Jangan terlalu mengikut gaya dan cakap-cakap orang. Anda yang perlu membayar kereta anda, bukan mereka!



6. Pelajari dan ketahui ruang-ruang untuk melakukan pelaburan wang terbaik!

Ketika anda memulakan kerjaya, anda tidak perlu terus melakukan pelaburan, kerana anda dikira masih belum mempunyai simpanan (capital) yang kukuh dan juga pengalaman yang diperlukan untuk melabur.

Mungkin dalam 3 bulan pertama, anda boleh gunakan masa tersebut untuk membuat kajian berkenaan bentuk pelaburan terbaik masa kini. Antaranya adalah simpanan Amanah Saham Berhad (ASB), pelaburan emas dan silver, permainan saham, pelaburan hartanah dan sebagainya.

Semua jenis pelaburan mempunyai potensi dan risiko yang tersendiri. Oleh kerana itu, anda perlu memahami dan mendalaminya melalui pembacaan dan lebih baik jika anda mempunyai mentor yang baik dalam bidang pelaburan tertentu. Pilih bentuk pelaburan yang bersesuaian dengan diri anda dan fokus terhadap perancangan pelaburan yang anda lakukan. 

Elakkan terlibat dengan skim pelaburan haram yang akan meleburkan wang anda dalam sekelip mata. Oleh sebab itu, ilmu berkenaan pelaburan adalah amat penting. Jangan terikut-ikut dengan kata-kata kawan-kawan yang tidak tahu pun berkenaan selok belok sesuatu pelaburan itu, agar anda tidak membuat kesilapan yang membahayakan diri anda sendiri.


Pengurusan kewangan adalah amat penting dan bakal menentukan perjalanan kehidupan anda pada masa akan datang. Tanpa pengurusan kewangan yang baik, anda akan kesempitan pada waktu memerlukan dan bakal menyusahkan pasangan anda dan juga keluarga anda.

Ketika semuanya masih baik, pastikan anda tidak melakukan kesilapan berkenaan pengurusan kewangan dan elakkan menggunakan emosi ketika membuat keputusan berkenaan apa saja yang akan menyebabkan wang kita mengalir keluar.

Semoga 6 tips ringkas pengurusan kewangan yang saya kongsikan pada kali ini akan membantu anda yang baru saja memulakan kerjaya. Semoga berjaya! =)

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

 

Nizam Malek Blog. Copyright 2010 All Rights Reserved Revolution theme by Brian Gardner Ft Bloganol dot com | Distributed by Deluxe Templates

Create your free online surveys with SurveyMonkey , the world's leading questionnaire tool.