Tuan Nizam, saya baru hendak bermula dalam dunia pelaburan, boleh berikan sedikit nasihat untuk saya?
Saya selalu ditanya soalan-soalan seperti di atas. Ini sedikit tips daripada saya berkenaan pelaburan.
1. Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah untuk mendapatkan ilmu. Ilmu tentang medium pelaburan yang ingin diceburi.
Ketahui apakah kelebihan dan kelemahan sesuatu medium pelaburan dan adakah ia bersesuaian dengan minat kita.
2. Pilih medium pelaburan yang kita minati. Setiap orang adalah berbeza. Bukan semua orang suka melabur dalam hartanah dan bukan semua orang juga suka melabur dalam saham.
Pastikan anda lakukan pelaburan yang anda minati. Bila anda lakukan sesuatu yang anda minati, anda akan lebih memahami apa yang akan berlaku pada wang anda.
3. Mula menyimpan. Pelaburan adalah satu aktiviti menggerakkan wang untuk menghasilkan lebih banyak wang. Untuk menghasilkan lebih banyak wang, anda memerlukan wang terlebih dahulu. Ia disebut sebagai modal.
Saya kurang setuju sekiranya ada yang berkata pelaburan tidak memerlukan modal. Pelaburan hakikatnya memerlukan modal. Soalnya banyak atau sedikit bergantung kepada kemampuan kita.
Fokus pada simpanan. Lebih banyak kita mampu menyimpan, lebih berkuasa kita di medan pelaburan.
4. Fokus lakukan sesuatu pelaburan sehingga berjaya. Jangan belajar banyak medium pelaburan dan lakukannya dalam masa yang sama.
Pilih satu medium pelaburan dan fokus. Jangan dengar orang melabur hartanah bagus, kita pun nak buat juga. Jangan dengar orang untung melabur saham, kita pun tergesa-gesa nak melabur dalam saham.
Pilih satu dan fokus. Apabila telah berjaya dalam sesuatu medium pelaburan, barulah ceburi medium pelaburan yang lain pula.
5. Cari mentor. Mentor yang baik adalah mentor yang telah melakukan perkara yang ingin kita lakukan dengan berjayanya.
Mentor yang baik juga adalah mentor yang berjaya membantu orang lain mencapai perkara yang sama seperti apa yang telah dicapainya. Mentor yang baik juga adalah mentor yang sudi untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya kepada kita. Mencari mentor yang baik adalah sukar, kerana ramai penyangak yang bertopengkan perwatakan sebagai mentor di luar sana.
Oleh itu jika anda jumpa mentor yang benar-benar bagus, bersedialah untuk membayarnya untuk mendapatkan ilmu dan pengalamannya. InsyaAllah graf kejayaan anda dalam dunia pelaburan akan meningkat dengan sangat pantas.
6. Kuasa tindakan. Impian, matlamat dan cita-cita hanya akan terlekat pada coretan kertas sekiranya tidak disertai dengan tindakan yang bersungguh-sungguh.
Hasil yang diperolehi setiap orang adalah berbeza mengikut tindakan yang dilakukannya. Kuasa tindakan adalah luar biasa, kerana melalui tindakan, hasil tercipta. Tanpa tindakan, kita tidak akan ke mana-mana.
7. Jangan mudah berputus-asa. Dalam perjalanan belajar dan menceburi dunia pelaburan, anda akan rasa sakitnya gagal dan rugi. Semua orang pasti melaluinya.
Tapi janganlah mudah berputus asa jika anda menghadapi dugaan dalam pelaburan. InsyaAllah jika anda teguh berusaha dan tidak berhenti apabila gagal, anda akan bertemu dengan kejayaan yang anda cari dalam dunia pelaburan.
Ok setakat ini dulu 7 tips pelaburan yang boleh saya kongsikan buat masa ni.
Jom solat maghrib!
-Nizam Malek