Assalamualaikum dan salam sejahtera semua,
Salam jumaat yang penuh keberkatan.
Dah lama juga saya tak update blog, tiada masa + tiada mood. Hahah.
Ok hari ni saya nak tulis-tulis sikit, topiknya Kaya Vs Miskin.
Sebelum tu, mari kita baca kisah seorang ayah dan anaknya.
Cerita ni saya dapat dari satu group whatsapp.
Mari baca ceritanya ya;
Pada satu hari, seorang ayah yang kaya-raya membawa anak lelakinya keluar berjalan-jalan. Si ayah mahu menunjukkan kepada anaknya, betapa miskin seseorang itu boleh jadi.
Mereka meluangkan masa di sebuah taman kebun yang didiami oleh sebuah keluarga yang miskin.
Dalam perjalanan pulang ke rumah, si ayah bertanya:
"Wahai anak, adakah kamu melihat betapa miskinnya mereka? Apa yang kamu telah pelajari hari ini?"
Si anaknya berkata:
"Kita memiliki kolam, mereka memiliki sungai."
"Kita memiliki lampu yang menerangi waktu malam, mereka mempunyai bulan dan bintang."
"Kita membeli makanan, mereka membuat makanan mereka sendiri."
"Kita memiliki dinding batu untuk melindungi kita, mereka mempunyai kawan-kawan."
"Kita mempunyai buku-buku dan eksiklopedia, mereka mempunyai Al-Quran."
Kemudian si anak menambah:
"Terima kasih ayah kerana menunjukkan betapa miskinnya kita."
Di akhir cerita tersebut disertakan satu pengajaran yang boleh kita ambil iktibar, iaitu;
[Wang tidak membuatkan kita kaya, tapi kesederhanaan dan memiliki Allah SWT dalam kehidupan kitalah yang akan membuatkan kita menjadi kaya.]
Demikian cerita yang saya nak kongsikan pada hari ini, cuma ada beberapa pendapat yang saya nak utarakan di sini berdasarkan cerita di atas berkenaan isu kaya dan miskin.
1. Niat si ayah berbuat demikian bukanlah untuk menghina sesiapa yang hidup dalam kategori miskin.
2. Niat si ayah hanyalah untuk membuka minda anaknya agar sedar tentang erti kehidupan yang melibatkan perkataan kaya dan miskin. Kenapa seseorang boleh jadi miskin dan kenapa seseorang yang lain boleh jadi kaya.
3. Langkah si ayah itu adalah satu langkah awal yang amat baik, tapi malangnya, cenderung disalah tafsir.
4. Ilmu tentang kewangan bukanlah ilmu yang jahat. Ia adalah ilmu yang sangat berguna dan bermanfaat. Si ayah mahu memberi pendedahan awal kepada anaknya tentang aspek pengurusan kewangan yang boleh mengelakkannya termasuk dalam golongan miskin.
5. Cerita di atas memberi kesedaran yang orang kaya mungkin boleh lupa dan alpa tentang kekuasaan Allah SWT lantaran kesenangan yang dikecapi. Tapi jangan lupa, orang miskin juga cenderung untuk mempersoalkan keadilan Tuhan sehingga terjebak dengan perlakuan perkara-perkara yang bertentangan dengan agama.
6. Kenapa kekayaan selalu dikaitkan dengan kelalaian pada agama? Sewajarnya kekayaan dikaitkan dengan kekuatan ummah.
7. Malangnya, masyarakat kita melihat kekayaan dari aspek materialistik semata-mata.
8. Jika ada caranya untuk menjadi seseorang yang kaya, disamping dekat dan taat pada perintah Allah, bukankah itu sesuatu yang amat baik.
9. Soalnya bukan pada wang dan kekayaan semata-mata. Orang yang belajar tentang kewangan dan kekayaan sedar, wang itu bukan segala-galanya. Ia cuma alat yang digunakan untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik. Mereka sedar yang segalanya dikuasai oleh yang Maha Berkuasa. Tapi malangnya, poin ini gagal dilihat oleh mereka yang tidak mempelajari tentang kewangan. Apa yang mereka nampak cumalah, orang yang belajar tentang kewangan, perniagaan dan kekayaan adalah orang yang gila mengejar keseronokan dunia semata-mata.
Realitinya, masyarakat Melayu Islam di Malaysia masih jauh ketinggalan dari aspek ekonomi domestik dan antarabangsa.
Dan kerana masalah inilah yang membuatkan masyarakat Melayu Islam gagal bersaing dengan masyarakat lain secara lebih kompetitif.
Hakikatnya mentaliti, penetapan minda (mind setting) dan sikap memainkan peranan yang amat penting dalam menghadapi masalah ekonomi masyarakat ini.
Jika minda masih belum terbuka untuk menerima kekayaan, sudah pasti kekayaan itu tidak akan hadir. Jika tidak mahu jadi kaya, janganlah komplain selalu tiada duit dan hidup susah.
Jika minda masih belum terbuka untuk menerima kekayaan, sudah pasti kekayaan itu tidak akan hadir. Jika tidak mahu jadi kaya, janganlah komplain selalu tiada duit dan hidup susah.
Kesimpulannya, menjadi kaya atau miskin, adalah pilihan masing-masing.
Tidak perlu tanya orang lain, tanya diri sendiri, apakah pilihan anda?
Tidak perlu tanya orang lain, tanya diri sendiri, apakah pilihan anda?
0 comments:
Post a Comment