Saturday, September 7, 2013

Kenapa Ya MLM dan Kenapa Tidak MLM Part 2


Assalamualaikum, salam hormat.

Ok saya akan sambung lagi artikel yang saya tulis minggu lepas berkenaan MLM.

Beberapa hari yang lalu, ada yang bertanya kepada saya, "Nizam, kau anti-MLM ke?"

Soalan itu direct to the point.

Jawapan ringkasnya, ya betul, saya adalah seorang yang anti-MLM. Secara peribadinya, saya kurang menggemari sistem MLM dan cara menjana wang melalui MLM.

Ada beberapa sebab yang membuatkan saya cenderung untuk tidak menerima apa-apa ajakan untuk menyertai mana-mana syarikat MLM walaupun dalam artikel 'Kenapa Ya MLM dan Kenapa Tidak MLM Part 1', saya ada menyenaraikan beberapa manfaat yang akan diperolehi jika seseorang itu menyertai MLM secara aktif.

Ingin tahu kenapa saya mengatakan tidak terhadap MLM?

1. Multi Level Marketing Vs Single Level Marketing.

Secara peribadinya, saya adalah seseorang yang suka bergerak sendirian. No 1 adalah nombor yang sinonim dengan saya, iaitu, saya senang bersendirian melakukan sesuatu perancangan kerana saya berkuasa menentukan apa yang saya mahukan dan bergerak mengikut kebebasan sendiri.

Dalam MLM, pergerakan kita banyak melibatkan orang lain. Teamwork yang mantap adalah salah satu teknik untuk berkembang dengan pantas dalam sistem MLM. Ia melibatkan banyak kepala, dan sudah pasti melibatkan banyak ragam. Ragam itu menjadi lebih ketara apabila ianya melibatkan soal wang dan keuntungan.

Saya juga adalah seorang yang terlibat dengan marketing (pemasaran). Tapi pendekatan saya lebih kepada '1 to 1 business' dan saya lebih menikmati keseronokan menjana wang sebegitu berbanding perlu melibatkan orang lain untuk mendapatkan wang.

Mungkin ada yang mengatakan, networking adalah amat penting, dalam apa-apa bentuk perniagaan dan juga pelaburan. Memang betul. Saya bersetuju networking adalah penting, tetapi networking tidak bermaksud ianya perlu mengongkong pergerakan kita.

Networking sekadar satu terma yang menunjukkan kita mengenali ramai orang. Tetapi hakikat sebenar yang lebih penting dalam networking adalah leverage. Tak guna kita mengenali ramai orang, tapi mereka tidak dapat memberikan nilai tambah kepada kita.

Konsep leverage digunakan dalam Single Level Marketing, iaitu bertukar-tukar kepakaran antara satu sama lain untuk kebaikan bersama.

Bagaimana nak leverage kalau networking kurang? Mudah saja, sekarang semua ada di Internet, cari saja.

2. MLM Mengambil Masa, Tenaga dan Wang Yang Terlalu Banyak.

Saya tidak nafikan yang ada ramai orang yang buat MLM boleh menjadi kaya. Tapi bagi yang baru bermula, jalannya terlalu berliku. Banyak perkara yang perlu dikorbankan untuk hasil yang tidak seberapa.

Tak perlu saya khabarkan di sini, apa yang perlu dilakukan jika seseorang menyertai MLM, umum semua orang tahu. Yang pasti, apa yang dilakukan itu mengikat masa, tenaga dan wang kita terlalu banyak untuk hasil yang kecil.

Bagi saya, ada jalan yang lebih mudah untuk menjana wang selain bersusah payah melakukan MLM. Contohnya melakukan perniagaan melalui Internet yang kosnya sangat murah dan caranya juga sangat mudah.

Alasan tidak tahu tidak boleh lagi digunakan. Zaman sekarang zaman informasi di mana ilmu yang kita mahu boleh diperolehi dengan lebih mudah. Jadi luangkan sedikit masa untuk belajar dan mula menjana wang dengan cepat di Internet.

Persoalannya, jika ada jalan yang lebih mudah, kenapa MLM juga yang dipilih?

2. MLM Bukan Satu Perniagaan, Tapi Ia Satu Pekerjaan.

MLM selalunya digambarkan sebagai satu perniagaan, sedangkan sesiapa yang termasuk dalam sistem MLM itu sebenarnya mengembangkan empayar seseorang individu yang berada bertingkat-tingkat di atas mereka.

Ramai yang melakukan MLM telah menyalahgunakan definisi untuk kepentingan sendiri. MLM adalah satu sistem yang memberikan komisyen apabila sesuatu produk berjaya dijual. Komisyen pula pada skala yang amat kecil seperti 3%, 6%, 9%, 12% sehinggalah ke 21% sahaja daripada jumlah jualan yang dilakukan.

Hakikatnya, komisyen adalah komisyen, dan bukannya keuntungan. Komisyen hanyalah satu jumlah yang kecil daripada keseluruhan harga jualan. Ia diberi sebagai upah.

Malah, dengan mempromosikan produk MLM, kita sebenarnya nyata bekerja dengan syarikat MLM tersebut yang menggunakan kita sebagai tentera promosi mereka sepanjang masa.

Saya pernah melakukan perniagaan dan pemasaran di Internet untuk produk perkhidmatan membuat design banner ketika di zaman universiti beberapa tahun dahulu. Jumlah keuntungan saya adalah 100% daripada jumlah harga yang saya sendiri tetapkan.

Dengan itu, sayalah boss, saya yang bekerja, sayalah yang menerima bayaran dan sayalah yang menikmati keuntungan penuh daripada transaksi tersebut. Dengan kemahiran menutup jualan yang ada, saya dapat meningkatkan margin keuntungan mengikut kemahuan saya.

Bagi saya, itu sekurang-kurangnya jauh lebih menarik berbanding MLM.

3. MLM Mengajar Seseorang Untuk Berpura-pura dan Terdedah Kepada Penipuan.

Memandu kereta mewah seperti BMW, melancong ke tempat-tempat menarik di luar negara dan bermacam-macam imej kekayaan selalunya perlu ditonjolkan oleh mereka yang bergiat aktif dalam MLM.

Yelah, kalau kata dapat buat beribu-ribu ringgit melalui MLM, tak kan tak mampu beli kereta mewah kan? Hakikatnya, kereta mewah yang dibeli, walaupun mungkin mereka mampu, sebenarnya adalah satu cara yang digunakan untuk menarik perhatian orang untuk menyertai sistem MLM mereka.

Sudah menjadi budaya manusia, mudah tertarik dengan wang tunai yang banyak dan kereta mewah. Jadi elemen ini dipergunakan sepenuhnya oleh mereka yang melakukan MLM dengan tujuan mengaburi mata prospek untuk menyertai mereka.

Kereta mewah ditunjuk-tunjuk, kononnya berjaya dibeli hasil wang yang dijana melalui MLM. Ia tiada tujuan lain kecuali untuk memperdayakan prospek. Malangnya, ramai orang terpedaya..

4. Saya Mempunyai Matlamat Perancangan Kewangan Lain Yang Lebih Jelas.

Jika ada kawan-kawan yang mengajak saya menyertai mereka dalam apa-apa program MLM yang mereka lakukan, saya memang akan mencari jalan untuk menolaknya dengan cara yang baik.

Bukan bermakna saya nak mengatakan bahawa apa yang mereka lakukan itu salah atau tidak akan berjaya. Saya boleh nampak, memang ramai yang menjadi kaya dengan membuat MLM.

Tapi saya menolaknya kerana saya sudah pun menceburi sesuatu bidang yang pada pendapat saya lebih baik dan bersesuaian dengan diri saya berbanding MLM iaitu Pelaburan Hartanah.

Kenapa Pelaburan Hartanah lebih baik berbanding MLM? Mungkin saya boleh tulis satu lagi artikel perbandingan berkenaannya. =)

5. Saya Tidak Nampak Bagaimana MLM Boleh Menjadikan Seseorang Financially Free.

Keuntungan adalah perkara asas yang utama untuk difikirkan apabila sesuatu bidang diceburi. Sudah pasti tidak ada gunanya melakukan sesuatu jika ia tidak mendatangkan keuntungan yang diinginkan.

Mereka yang melakukan MLM mengatakan bahawa MLM boleh menjadikan seseorang itu mencapai tahap Financial Freedom. Sejujurnya, saya suka akan sesuatu sistem atau pelaburan yang boleh membuatkan saya mencapai status Financial Freedom.

Namun setakat hari ini, saya masih lagi belum nampak hala tuju MLM yang boleh menjadikan seseorang itu mendapat status Financial Free.

Jika boleh pun mendapat status Financially Free, ia adalah hasil memakan komisyen orang-orang yang di bawah. Tak mungkin kita mendapat duit daripada satu perniagaan yang menjual produk, tapi kita tidak menjualnya secara terus melainkan kita mengambil sebahagian kecil komisyen daripada penjualan produk yang dilakukan oleh downline kita (yang ramai itu).

Apa yang lebih mendukacitakan, kebanyakan mereka yang melakukan MLM tidak tahu pun apa itu maksud sebenarnya Financial Freedom. Mereka cuma copy dan paste apa yang mereka dengar daripada upline atau speaker yang berucap ketika meeting larut malam mereka.

6. Masalah Halal Dan Haram.

Saya tidak mengkaji status halal dan haram sistem MLM secara mendalam. Tapi secara umumnya, sistem MLM itu amat terdedah kepada satu sistem yang cenderung berlawanan dengan syariat Islam.

Hal ini banyak diperdebatkan beberapa tahun lalu melibatkan mereka yang melakukan MLM dengan para alim ulamak dan ustaz. Sudah tentu soal halal haram ini amat penting kerana rezeki yang kita perolehi perlulah diberkati.

Saya tak pasti sistem MLM mana yang halal, tapi yang saya agak pasti, syarikat MLM StormReaders adalah satu program MLM yang berlandaskan syariah dan dipercayai kerana mempunyai panel penasihat syariah yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut.

Saya secara mudah, tidak mahu pening dan menyerabutkan kepala. Jika ia terdedah kepada unsur yang ditolak Islam, saya akan cuba untuk menjauhkan diri daripadanya.

Nak untung tu untunglah juga, tapi kalau keuntungannya itu berlandaskan sesuatu yang haram, ia menjadi tidak bermakna lagi. Mungkin point ini sukar untuk difahami oleh mereka yang bukan beragama Islam, tapi bagi mereka yang beragama Islam, sepatutnya tiada kompromi.

Saya jadi lebih jelak jika ada di kalangan mereka yang melakukan MLM ini lantang menyatakan yang MLM yang mereka lakukan itu halal sedangkan mereka tidak mempunyai authoriti untuk menentukannya.

Ada juga satu video yang saya tonton di Youtube, seorang Medical Doktor yang melakukan MLM berucap dalam satu majlis, dan beliau mengatakan bahawa syarikat MLM yang disertainya itu satu mandat daripada Tuhan.

Tolonglah jangan terlalu taksub dengan MLM sehingga bercakap sesuka hati dan melibatkan agama dan Tuhan pula..

Kebiasaannya begitu, orang MLM akan cakap apa saja untuk mengatakan produk, sistem dan syarikat MLM mereka adalah yang paling bagus dan betul di dunia sehingga sanggup bercakap melampaui batas dan membuta tuli.

Sebagai manusia yang waras, saya tidak dapat menerimanya. Tak tahulah orang lain macam mana..

7. MLM Hanya Panas Bermusim.

Apabila seseorang kawan saya datang mempromosikan syarikat MLM yang disertainya, antara pointnya adalah, syarikat MLM ini adalah sangat kukuh dan 'well established' sejak berbelas atau berpuluh tahun yang lalu.

Dulunya, panas nama syarikat Luxor (sekadar menyebut satu nama) dalam arena MLM, tapi kini, saya tidak mendengar tentangnya di mana-mana lagi. Mungkin syarikat MLM seperti ini masih lagi bergerak aktif secara underground, saya pun tak tahu dan tak berminat untuk ambil tahu.

Begitu jugalah dengan syarikat-syarikat MLM yang lain. Panas sekejap dan selepas itu surut tak kedengaran lagi.

Apa nasib orang-orang yang menyertai MLM ini sebelum ini? Saya pun tak pasti sama ada mereka masih lagi memandu kereta mewah BMW atau sudah kembali ke kereta Kancil dalam zaman inflasi yang makin ketara kini.


Demikian 7 point daripada banyak lagi point yang boleh saya kongsikan dalam artikel kali ini. Apa yang saya nak tekan kan adalah, untuk menyertai dan melakukan MLM adalah pilihan masing-masing.

Ada orang yang suka melakukan MLM dan orang itu amat berjaya dalam bidang tersebut. Saya tidak mengatakan mereka membuat sesuatu yang salah. Tapi mereka sendiri yang dapat menjawab secara jujur sama ada MLM adalah sesuatu yang baik atau tidak.

Point-point yang saya utarakan di atas adalah pendapat peribadi saya yang tidak menggemari sistem MLM dan tidak merujuk kepada sesiapa yang melakukan MLM. Bagi saya, diri sendiriyang menentukan pilihan apa kah yang ingin dilakukan dalam hidup masing-masing.

Kepada kawan-kawan yang suka berMLM, teruskan dengan apa yang anda lakukan asalkan ia tidak menyusahkan orang lain. Secara umumnya, susahkan diri sendiri tak mengapa, yang penting jangan sampai ianya menyusahkan atau melibatkan orang lain pula.

Jika saya diberi pilihan untuk memilih cara untuk menjana wang selain MLM, jawapan saya adalah:

  • Perniagaan Internet
  • Pelaburan Hartanah
  • Kerja dengan lebih bersungguh-sungguh
  • Bersedekah kerana ianya akan menambahkan rezeki
Ok sekian sahaja artikel saya kali ini.

Terima kasih kerana membaca dengan minda yang terbuka. =)

3 comments:

Unknown on September 8, 2013 at 2:25 AM said...

Yup, the point is right. Kalau nak kaya dalam MLM perlu banyak korban usaha, tenaga,masa dan wang. Kalau pendirian mantap akan tetap di MLM,klo tak bye2 laa. then sebenarnya point yang memandu kereta mewah tu betul pasal semakin mewah penggunaan harta semakin banyak hutang yang diorang tanggung dan akhirnya diorang ni kosong je (sebab pernah nak pinjam rm50 untuk makan pon kedekut! alasannya sbb bisness xboleh pinjam? watdacrook?)lepas tu kena kerja susah2 dan penat yang dpt untungnya orang upline? then kena manage org bwhan klo tak diorang lari,how to keep them if we don't have money? In conclusion, MLM is not all suitable to everyone.

Nizam Malek on September 8, 2013 at 8:04 AM said...

Terima kasih Miss Nia kerana berkongsi pendapat.

Jemput share artikel ini dengan kawan-kawan sebab mungkin masih ramai yang tak faham kenapa MLM tidak sesuai untuk semua orang.. =)

kerja sendiri on October 28, 2015 at 6:41 AM said...

Saya sendiri tak nampak di mana kebaikan MLM ni? Lebih baik buat perniagaan tanpa MLM dapat untung untuk diri sendiri. Lagi banyak jual lagi banyak untung untuk diri sendiri. Penat pun terasa berbaloi..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

 

Nizam Malek Blog. Copyright 2010 All Rights Reserved Revolution theme by Brian Gardner Ft Bloganol dot com | Distributed by Deluxe Templates

Create your free online surveys with SurveyMonkey , the world's leading questionnaire tool.