Sunday, September 8, 2013

Persepsi Negatif Terhadap Kekayaan


Kekayaan secara ringkasnya, membawa maksud mempunyai sejumlah wang yang banyak berbanding orang lain. Bermakna, jika Ali mempunyai wang yang lebih banyak daripada orang lain di sekelilingnya, Ali adalah orang yang kaya di situ.


Kekayaan apabila dilihat dengan lebih mendalam, adalah apabila wang yang banyak itu boleh digunakan untuk apa-apa hajat atau tujuan. Jika Ali ada duit yang banyak, tetapi duit itu perlu digunakan untuk membayar hutang sehingga habis semuanya, Ali dikira tidak kaya.

Dalam masyarakat kita sejak dulu hingga kini, wang dan kekayaan dilihat sebagai simbol kejahatan. Ramai orang berpendapat, apabila seseorang itu menjadi kaya, orang itu akan menjadi lebih tamak, liar, sombong, berlagak, tidak akan bercampur gaul mesra dengan orang yang miskin dan pelbagai lagi persepsi negatif.

Akibat daripada persepsi negatif terhadap kekayaan itu, ramai di kalangan masyarakat kita lebih senang berada di tengah-tengah di antara kategori kaya dan miskin. Tidak punya lebihan wang dan tidak pula terasa ketidakcukupan wang.

Memang benar, apabila menjadi tidak kaya dan tidak miskin, malah hati senang dan cukup, itu sudah memadai untuk semua orang. Itu asas kehidupan.

Namun perlu disedari bahawa, hidup ini ada naik dan turun. Tidak sepanjang masa hidup kita ini senang sentiasa. Banyak masa dan keadaannya, kita memerlukan wang lebihan untuk menampung komitmen hidup yang semakin meningkat setiap hari.

Memiliki lebihan wang untuk digunakan adalah lebih baik berbanding memiliki wang yang cukup-cukup sahaja kerana kita perlu bersiap sedia apabila kita diuji dengan masalah-masalah harian yang memerlukan wang.

Berkenaan persepsi negatif terhadap kekayaan, mungkin ia adalah pengaruh cerita-cerita yang ditayangkan di televisyen. Televisyen banyak memaparkan watak negatif bagi orang kaya dan watak teraniaya bagi golongan miskin. 

Walaupun keadaan itu benar ada terjadi, tapi kenapa kita tidak menukar persepsi kita terhadap kekayaan menjadi lebih positif?

Dalam hidup ini sudah pasti ada orang yang kurang bernasib baik menjadi miskin dan tidak cukup makan minum dan pakaian. Alangkah baiknya jika kita mempunyai kekayaan yang dapat digunakan untuk membantu mereka.

Kekayaan itu sebenarnya adalah satu tanggungjawab. Dan kerana itu lah juga salah satu rukun Islam adalah membayar Zakat. Zakat itu adalah satu tabung khas yang mengumpul wang bagi membantu golongan-golangan tertentu yang memerlukan termasuklah fakir miskin.

Jika kita mempunyai kekayaan, lebih banyak perkara baik yang dapat kita lakukan untuk membantu orang lain dan memperkasakan agama, bangsa dan negara. Bukankah itu sesuatu yang bermanfaat untuk dilakukan?

Jika kita sekadar mempunyai cukup wang untuk kegunaan sendiri, bagaimana kita dapat membantu orang lain yang benar-benar memerlukan sokongan kewangan? Mungkin mereka adalah orang yang kita tidak kenali, tapi mungkin juga mereka yang memerlukan pertolongan itu adalah saudara kita atau keluarga kita.

Dalam banyak keadaan, kekayaan itu sebenarnya adalah perkara yang baik. Namun kekayaan perlu diseiringkan dengan nilai-nilai murni dalam ajaran Islam seperti tolong-menolong dan menyalurkan kekayaan itu kepada perkara yang bermanfaat.

Orang Islam dan Melayu masih banyak lagi yang ketinggalan dalam aspek ekonomi. Hal ini menyebabkan kita tertinggal dalam banyak bidang berbanding bangsa lain. Jika persepsi terhadap kekayaan masih lagi negatif sehingga ke hari ini, adalah sukar untuk kita bangkit menjadi bangsa yang kuat dan dihormati.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

 

Nizam Malek Blog. Copyright 2010 All Rights Reserved Revolution theme by Brian Gardner Ft Bloganol dot com | Distributed by Deluxe Templates

Create your free online surveys with SurveyMonkey , the world's leading questionnaire tool.