Tuesday, May 7, 2013

Bicara Politik & PRU13


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Apa khabar, semoga sihat wal'afiat di sana.

Dalam post kali ini, untuk julung-julung kalinya saya ingin menulis berkenaan satu topik yang kini sedang hangat diperkatakan khususnya di Malaysia.

Tidak Salah Berkongsi Pendapat

Walaupun saya bukanlah pakar dalam bidang politik, dan secara jujurnya sebelum ini amat kurang mengikuti perkembangan politik di Malaysia, tapi tidak salah rasanya untuk saya berkongsi pendapat yang berdasarkan pembacaan yang amat sedikit dan pemerhatian tentang isu semasa politik negara.

Kisah Golongan Muda dan Politik

Sebenarnya, bagi golongan muda Malaysia yang lahir pada tahun pertengahan dan akhir 80an, adalah normal bagi mereka untuk tidak mengikuti perkembangan semasa politik negara kerana sumber untuk mendapatkan informasi yang tepat adalah amat sukar.
Surat khabar melaporkan berita yang tidak enak dibaca, malah memeningkan kepala golongan muda yang membaca. Lantas ia membuatkan golongan muda menjauh dari sebarang unsur politik. Malah lebih senang untuk melabelkan politik itu kotor dan tidak berkaitan langsung dengan mereka. Keluar mengundi jauh sekali.

Golongan muda lebih gemar berbicara tentang hiburan. Jika ada yang lebih berpandangan jauh pun, lebih suka berbicara tentang peluang perniagaan seperti MLM dan perniagaan Internet. Hanya segelintir golongan muda yang galak melaungkan kepentingan terlibat dengan aktiviti politik dan mereka sekadar dilihat 'pelik'.

Masa depan politik bagi generasi muda nampak suram. Agak sukar melihat potensi golongan muda yang bakal menentukan landskap politik negara pada masa hadapan apatah lagi menerajui tampuk kepemimpinan tertinggi negara. Ia sememangnya satu senario yang mendukacitakan dan berpotensi membahayakan masa depan negara ini sendiri.

Internet Mengubah Penerimaan Terhadap Politik

Namun hal ini berubah secara drastik sejak beberapa tahun yang lalu. Dengan kemudahan Internet serta ruang media sosial yang menjadi medium utama komunikasi di kalangan golongan muda, informasi berkenaan politik dilihat lebih mudah diterima dan masuk ke benak pemikiran mereka.


Lebih banyak informasi dalam bentuk penulisan, gambar dan video sama ada benar mahupun fitnah, sama ada fakta mahupun auta menjadi hidangan golongan muda. Malah, persembahan informasi yang dijadikan dalam bentuk lucu atau troll yang segar membuatkan golongan muda lebih tertarik kepada politik.

Hal ini menyebabkan lebih ramai golongan muda yang bersedia untuk ambil tahu sedikit sebanyak berkenaan cerita politik Malaysia. Lebih ramai golongan muda yang bertindak mendaftarkan diri mereka sebagai pengundi tanpa dipaksa oleh sesiapa. 

Teruja Pengundi Pertama Kali

Malah mereka bertekad untuk menjalankan tanggungjawab keluar mengundi. Mereka percaya, bahawa satu undi yang mereka beri itu adalah amat bermakna dan boleh memberi kesan kepada sejarah politik Malaysia melalui saluran pilihan raya.
Rasa gembira dan teruja menjadi pengundi pertama kali jelas dapat dilihat dengan perkongsian status keadaan hari mengundi serta gambar jari telunjuk kiri yang dicalit dakwat biru di media sosial seperti Facebook. Perasaan seperti hari pertama melangkah masuk ke alam persekolahan.

Golongan muda berbangga kerana mereka menjadi entiti yang terlibat dengan proses pembentukan kerajaan Malaysia yang akan meneraju tampuk kepemimpinan negara untuk 5 tahun yang seterusnya.

Mula Mengenal Senario Sebenar Politik Malaysia

Namun segala rasa seronok tersebut bagai direncat apabila dakwat biru yang dikatakan kekal itu hilang bersih apabila sekadar dibasuh menggunakan sabun basuh pinggan di dapur. Terasa ralat, adakah benar pilihan raya sebenar yang ditunggu-tunggu itu, atau ia sekadar mimpi kosong belaka?

Bagi golongan muda yang dulunya tidak mempercayai cerita-cerita yang meragui kredibiliti dan integriti badan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini telah melihat dengan mata kepala mereka sendiri apa yang terjadi. 

Berbeza dengan kebanyakan pengulas dan ahli panel analisa PRU13 di TV1 dan TV3 (pada pukul 9 malam 5 Mei 2013) yang bangga menunjukkan dakwat biru masih ada di jari telunjuk kiri mereka (mungkin di rumah mereka tiada sabun basuh pinggan..). Ini semua hanyalah sandiwara di kaca televisyen semata-mata.

Seterusnya, banyak lagi isu yang dibangkitkan berkenaan SPR seperti isu blackout dan pengundi Bangla. Walaupun tidak berada ditempat kejadian, gambar dan video yang dikongsikan di Facebook menjadi saluran yang paling pantas penyebaran informasi tersebut.

Ada golongan muda yang mempercayainya, dan ada juga menidakkannya tanpa sebarang soal.

SPR, Telus atau Tidak?

Walaupun sebelum pilihan raya, kelihatan gelombang kebangkitan rakyat melalui kempen pilihan raya daripada parti pembangkang nampak hebat dan menggerunkan, tapi realitinya, kelihatan nombor dan angka keputusan PRU13 yang diumumkan SPR lebih menyebelahi Barisan Nasional (BN) dan akhirnya dinobatkan sebagai pemenang akhir dan membolehkan untuk membentuk kerajaan pemerintah.

Ketelusan SPR tidak diragui secara keseluruhannya. Jika SPR 100% tidak telus, mana mungkin Gelang Patah, Johor dimenangi oleh calon Democracy Action Party (DAP) iaitu Lim Kit Siang, mana mungkin calon (Parti Keadilan Rakyat) PKR Nurul Izzah dapat mengalahkan calon BN iaitu Raja Nong Chik dan Ketua Menteri Melaka yang banyak berjasa kepada negeri Melaka iaitu Datuk Seri Mohd Ali Rustam tewas kepada calon PKR.

Jika SPR benar tidak telus, sudah pasti mereka boleh memenangkan semua calon BN tanpa masalah. Memang benar, SPR telah berlaku telus pada asasnya, tapi terdapat beberapa keraguan pada aspek-aspek tertentu seperti isu blackout dan pengundi bangla yang membolehkan kemenangan berpihak kepada calon BN di sesetengah kawasan.

Begitulah Keputusan Rasmi PRU13

Walaubagaimanapun, keputusan rasmi telah diumumkan. Rata-rata golongan muda di Facebook menerima kemenangan BN dengan hati terbuka dan mengucapkan tahniah kepada BN atas kejayaan memenangi pilihan raya secara keseluruhannya dan boleh membentuk kerajaan baru.


Jika adapun yang masih berdukacita dengan kekalahan parti pembangkang, sekadar bertindak menukar profile picture Facebook kepada warna hitam yang melambangkan isu blackout, matinya demokrasi berpelembagaan di Malaysia dan hakikat hitam kotornya politik Malaysia yang baru mereka ketahui dan lihat sendiri.

Namun, hakikatnya, jika SPR bukanlah watak utama dalam senario politik Malaysia, rakyat Malaysia sendirilah yang perlu bertanggungjawab terhadap keputusan majoriti yang telah dibuat.

Jika memang benar BN yang dipilih majoriti rakyat Malaysia untuk diberi mandat sebagai pemimpin Malaysia, esok lusa janganlah 'bising-bising' jika harga minyak petrol terus naik, harga barang keperluan terus naik, peluang sambung belajar yang makin terhad, peluang pekerjaan yang semakin sempit, peluang untuk membeli rumah semakin tipis kerana harga rumah yang melambung dan harta tanah di Malaysia terjual kepada orang luar seperti warga Singapura; kerana rakyat Malaysia lah yang memilih untuk terus berada di bawah tampuk kepemimpinan yang sama seperti dahulu.

"Gigi yang sakit/rosak/berlubang perlu dicabut. Jika tidak dicabut, hiduplah anda dengan kesakitan dan kerosakan yang ada.." -Doktor Gigi Anonymous

Akhir kata, kesimpulannya..
Akhir kata, semangat golongan muda yang baru berminat untuk berkawan dengan politik boleh terhakis kerana ketidakkepercayaan. Semangat dan impian besar untuk melihat Malaysia baru yang lebih segar boleh terpadam dalam diri golongan muda dan mungkin saja membuatkan mereka makin menjauh.

Akibatnya, negara Malaysia tercinta ini juga yang akan menanggung akibatnya. Tiada yang betul dan salah dalam politik. Ia umpama permainan yang amat berisiko tinggi. Siapapun pemimpin Malaysia bukan soalnya, tapi amanah, agama dan keadilan berpanjangan perlu dijaga sentiasa.

Assalamualaikum, salam hormat. Terima kasih kerana membaca artikel ini sehingga akhirnya.

P/S: Artikel di atas adalah sekadar daripada pengamatan dan pendapat penulis. Penulisan berkenaan politik amat terdedah kepada perbezaan pendapat. Penulis menghargai perbezaan pendapat yang ada di kalangan pembaca. Dipersilakan untuk berkongsikan pendapat anda di ruangan komen. Namun komen yang melangkaui batas perkongsian pendapat seperti penggunaan bahasa kesat dan sinis serta bersifat perkauman adalah dilarang dan akan didelete oleh admin blog.

Disclaimer: Penulis dan Nizam Malek Blog tidak bertanggungjawab, dan menafikan semua liabiliti untuk sebarang kerosakan yang timbul daripada penggunaan, merujuk kepada, atau pergantungan ke atas mana-mana maklumat yang terkandung dalam artikel dan laman webblog ini. Tiada jaminan diberikan bahawa maklumat yang diberikan di sini adalah tepat, lengkap dan up-to-date.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

 

Nizam Malek Blog. Copyright 2010 All Rights Reserved Revolution theme by Brian Gardner Ft Bloganol dot com | Distributed by Deluxe Templates

Create your free online surveys with SurveyMonkey , the world's leading questionnaire tool.