Thursday, May 31, 2012

[KISSinsights] Cara Mengelak Perasaan Mudah Berputus Asa



Hi, salam. Ok dalam ruangan KISSinsights kali ini, saya akan menjawab satu lagi soalan yang telah diterima pada 22 April 2012 yang lepas. 

Soalannya adalah: Bagaimana ingin mengelakkan perasaan mudah putus asa?

Ok, soalan ini adalah berkaitan topik motivasi diri yang sememangnya banyak saya kupas, bincangkan dan perkatakan di fanpage RahsiaMotivasi (www.facebook.com/RahsiaMotivasi). InsyaAllah kali ini, saya akan berikan beberapa tips yang boleh diamalkan untuk menghadapi perasaan mudah berputus asa tersebut.

Pertama sekali, sebelum berbicara berkenaan cara-cara mengelak perasaan mudah berputus asa, anda perlu ketahui, apakah punca-punca yang menyebabkan diri kita mudah merasa putus asa. Kerana jika anda tidak ketahui apakah penyebab perasaan mudah putus asa yang hadir dalam diri anda, ia akan terus-terusan menghantui diri anda dari semasa ke semasa.

Berikut adalah antara faktor yang menyebabkan kita mudah merasa putus asa dan cara-cara mengatasinya:

1. Impian dan target yang terlalu tinggi.

Mempunyai impian dan target yang tinggi untuk mencabar diri adalah baik. Ia melatih diri kita untuk berusaha mencapai sesuatu yang luar biasa dalam hidup ini. Walaubagaimanapun, jika impian atau target tersebut ditetapkan terlalu tinggi, ia akan memberi tekanan yang lebih besar kepada kita. Apabila merasakan impian atau target itu terlalu tinggi dan sukar dicapai, kita akan merasa cepat berputus asa.

Jika faktor ini adalah salah satu punca yang menyebabkan anda cepat merasa putus asa, cara-cara mengatasinya adalah dengan menetapkan impian atau target yang lebih realistik dengan kemampuan anda. Tiada guna membuat target yang melangkaui kemampuan anda, nanti jadi seperti 'yang dikejar tak dapat, yang digendong keciciran'.

Selain itu, anda boleh juga mengubah cara anda menghadapi sesuatu target yang tinggi. Urus cara anda menyelesaikan sesuatu target dengan menjadikannya lebih kecil. Contohnya, jika anda perlu mengumpul RM10,000 dalam tempoh 6 bulan, anda kecilkan jumlah tersebut kepada tempoh masa yang lebih kecil, iaitu anda perlu hanya perlu mengumpul sekitar RM56 sahaja sehari untuk mencapai target anda tersebut dalam tempoh 6 bulan. Dengan mengurus target anda menjadi lebih kecil, ia akan mengurangkan stress dan kecenderungan untuk mudah berputus asa.

2. Selalu membandingkan pencapaian diri sendiri dengan orang lain.

Ini adalah satu faktor yang mudah membuatkan seseorang merasa putus asa, iaitu apabila kita suka membandingkan diri kita dengan orang lain. Dalam dunia ini, kemampuan dan pencapaian manusia adalah berbeza-beza. Ada yang mendapat pencapaian yang lebih tinggi, ada yang kurang dan ada yang biasa-biasa sahaja. Begitu juga berkenaan fizikal, ada yang lebih kuat daripada kita dan ada yang lebih lemah berbanding kita.

Dalam hal ini, kita tidak sepatutnya membelenggu diri kita dengan pencapaian hebat orang lain sehingga menjejaskan diri kita. Apabila orang lain mencapai sesuatu yang hebat dan luar biasa, kita ucapkan tahniah pada mereka. Tetapi jangan pula kita membandingkan pencapaian tersebut dengan pencapaian kita.

Kita tidak perlu bersaing dengan pencapaian orang lain. Hakikat sebenar yang perlu kita fahami adalah kita bersaing dengan diri kita sendiri. Contohnya, jika dalam satu peperiksaan, kawan kita dapat A dan kita dapat C. Ia tidak lah bermakna kawan kita itu lebih pandai daripada kita atau kita lebih bodoh daripadanya. Tetapi hal yang sebenar adalah, kawan kita itu telah membuat persediaan yang rapi dan bertepatan sebelum menghadapi peperiksaan itu, sedangkan kita mungkin hanyut dalam persediaan kita.

Ini bermakna juga, persediaan kita adalah tidak cukup dan bertepatan dengan keperluan peperiksaan tersebut. Maka, apa yang perlu kita lakukan adalah kita perhalusi semula apa yang menyebabkan kita mendapat keputusan peperiksaan yang teruk sedangkan kawan kita itu mendapat keputusan yang baik.

Seterusnya, untuk peperiksaan yang seterusnya, kita berjuang semula untuk memperbaiki keputusan yang kita dapat pada peperiksaan yang lalu, iaitu C kepada B atau A. Dengan itu, usaha kita lebih objektif dan mempunyai sasaran untuk memperbaiki diri, dan bukannya untuk menewaskan orang lain.

Apabila cara kita mengurus pencapaian kita itu betul, kita akan lebih bersemangat dan tidak mudah berputus asa. Tapi jika kita selalu bersandarkan pencapaian orang lain, kita tidak akan tahu di mana kah taraf sebenar kita. Apabila kita tidak mampu menundukkan pencapaian orang lain, kita rasa putus asa, dan putaran ini akan berterusan.

Ubah cara anda melihat persaingan dan anda tidak akan mudah berputus asa lagi!

3. Sentiasa berfikiran positif.

Ok tips ini selalu orang perkatakan, iaitu berfikiran positif. Ramai yang tak percaya akan kekuatan berfikiran positif ini. Sesetengah orang berpendapat, berfikiran positif ini hanya cakap-cakap kosong. 

Sebenarnya tidak, tidak sama sekali. Dengan sentiasa berfikiran positif, minda kita akan sentiasa segar dan berdaya saing. Sematkan kata-kata positif dalam minda anda dan ulangkan sebanyak yang mungkin. 

Mungkin buat permulaan, anda tidak nampak kesannya, tapi apabila sampai sesuatu peringkat, anda akan lihat bahawa, dengan berfikiran positif, anda tidak lagi mudah berputus asa. Anda lebih cekal dan tabah menghadapi dugaan atau cabaran yang mendatang.

Dan untuk tips ini, saya akan berkongsikan satu video yang boleh menjadi inspirasi bagi anda yang mudah berputus asa.


Semoga tips kali ini dapat memberi perangsang untuk anda, agar tidak mudah berputus asa lagi.

Ingat, perjuangan anda bukan hanya untuk hari ini, tapi untuk masa hadapan. Jangan mudah berputus asa, kerana anda mungkin berada sejengkal sahaja lagi untuk mencapai kejayaan yang diimpikan.

All the best buat semua! =)

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

 

Nizam Malek Blog. Copyright 2010 All Rights Reserved Revolution theme by Brian Gardner Ft Bloganol dot com | Distributed by Deluxe Templates

Create your free online surveys with SurveyMonkey , the world's leading questionnaire tool.