Saturday, March 16, 2013

4 Tips Memilih Buku Rujukan Pelajar Jurusan Farmasi

11 comments

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Nizam Malek Blog ini masih menjadi antara media rujukan dalam bidang Farmasi di Malaysia. 

Saya sendiri mendapat banyak soalan-soalan berkaitan kursus Farmasi di Malaysia terutamanya daripada lepasan SPM dan matrikulasi malah para pelajar yang sedang menjalani kursus Farmasi ini di IPT awam dan swasta seluruh Malaysia.

Terima kasih kerana sudi membaca artikel di sini, semoga sentiasa bermanfaat dan membantu anda. Dan terima kasih juga kepada anda yang telah berkongsi link artikel-artikel berkaitan dunia Farmasi yang saya tulis dengan keluarga dan kawan-kawan anda. 

Ok dalam artikel kali ini, saya ingin berkongsikan beberapa tips untuk memilih buku rujukan bagi para pelajar jurusan Farmasi. Mesti anda nak tahu, buku apa yang terbaik dan dapat membantu proses pembelajaran dalam jurusan Farmasi yang sangat mencabar ini kan?

Sebelum saya berkongsi tips-tipsnya, suka untuk saya menekankan bahawa, buku rujukan adalah amat penting bagi seorang pelajar jurusan Farmasi. Jika anda tidak mempunyai buku rujukan yang baik, anda akan belajar secara syok sendiri. 

Bermakna, anda ingat anda sudah tahu banyak selepas keluar dari bilik kuliah dan tidak perlu membuat bacaan tambahan, tapi sebenarnya perasaan tersebut akan memakan diri anda ketika menjawab soalan peperiksaan nanti.

Antara tips yang boleh anda gunakan untuk memilih buku rujukan adalah:


1. Gunakan buku rujukan yang digunakan oleh pensyarah anda!

Belajar di sekolah adalah berbeza dengan belajar di peringkat kolej mahupun universiti. Kebiasaannya, pensyarah yang mengajar anda adalah orang yang akan membuat soalan-soalan peperiksaan dan mereka jugalah orang yang akan menanda kertas jawapan anda. 

Oleh itu, secara ringkasnya, anda perlu tahu, apakah buku rujukan yang mereka gunakan dan anda perlu gunakan buku yang sama. Ini adalah cara termudah untuk belajar dengan lebih efektif.


2. Pilih buku mengikut keselesaan anda.

Anda pasti tahu bahawa, terdapat banyak buku yang berbeza dalam topik yang sama. Contohnya, untuk subjek Pharmacology sahaja, terdapat banyak jenama buku yang popular seperti Lippincort's, Rang & Dale, Katzung's dan Medical Pharmacology at Glance. Jadi macam mana nak pilih buku yang terbaik?

Jawapannya adalah, pilih buku yang paling sesuai pada diri anda. Ada buku yang penuh dengan tulisan dari muka surat satu sehingga muka surat akhir. Ada juga buku yang mempunyai banyak gambarajah yang menarik dan berwarna-warni. 

Pilih buku yang membuatkan anda mudah memahami topik yang ingin disampaikan. Jika sekali imbas sahaja anda sudah boleh memahami beberapa baris ayat, itu satu petanda buku itu sesuai dengan anda. Sebaliknya, jika beberapa kali anda membacanya dan lihat gambar pun anda masih tidak faham, mungkin buku itu bukan yang terbaik untuk anda. 


3. Beli atau pinjam di library?

Secara idealnya, memiliki buku sendiri adalah lebih baik kerana anda boleh menggunakannya pada bila-bila masa. Malah anda boleh mencontengnya (membuat catatan ringkas) diruang-ruang yang ada apabila perlu. 

Walabagaimanapun, sudah pasti harga buku-buku rujukan tersebut adalah agak mahal. Jika anda boleh berjimat dan mengumpul duit sedikit demi sedikit atau mendapatkan bantuan, sudah pasti membeli buku adalah satu langkah yang bijak. 

Namun, jika anda masih belum berkemampuan untuk membelinya, mendapatkan buku di library masih satu pilihan yang baik. Cuma anda perlu cepat mendapatkannya kerana bilangannya juga pasti terhad.

Pilihan terakhir adalah dengan membeli buku second hand daripada senior-senior anda. Sdah pasti mereka tidak menggunakannya lagi dan ianya masih releven untuk anda. Dapatkan pada harga diskaun, mungkin 50% lebih murah daripada harga pasaran. 

Apapun, anda mesti ada buku rujukan. Jangan belajar tanpa buku rujukan ya. 


4. Buku mesti ada bagi pelajar Farmasi?

Polisi kerjaya Farmasi di Malaysia masih lagi ke arah klinikal. Selepas tamat belajar nanti, graduan Farmasi akan berkhidmat  di hospital-hospital kerajaan. Jadi, asas klinikal yang baik adalah amat perlu.

Jadi saya mencadangkan agar anda mesti memiliki atau biasa menggunakan buku-buku rujukan klinikal yang utama seperti Drug Information Handbook dan juga Dipiro Pharmacotherapy Handbook. 

Jika ada yang latest version lebih baik, sebab anda akan mendapat informasi terkini berkenaan dunia klinikal.


Sekian dulu tips memilih buku rujukan untuk pelajar jurusan Farmasi. Jika ada sebarang soalan, jangan segan masukkan di ruangan komen ya. =)

Wednesday, March 13, 2013

Kehilangan (Firman) Cover by Nizam Malek

2 comments

Hi, apa khabar?

Dah lama rasanya saya tak post video muzik saya.

Mesti para peminat dah lama tertunggu-tunggu.. 

Hehe, ada peminat ke?

Ok, malam ni saya sempat rakam satu video ketika saya berjamming-jamming sendiri dengan gitar Akustik Levinhand saya.

Lagu Kehilangan nyanyian asal Firman.
Chord asal lagu ni adalah guna chord family Bm sebenarnya.

Tapi saya buat modification sikit, guna chord family Am.

Nak sesuaikan dengan suara dan tune gitar.

Harap-harapnya oklah.

Ok sampai sini saja.

Semoga terhibur.. Huahua.. =p

Monday, March 11, 2013

Review : Rock Oo! Rimba Bara Kembali

6 comments

Hi, hari ini saya nak buat review pasal filem yang telah saya tonton seminggu dua yang lepas. Filem tersebut bertajuk Rock Oo! Rimba Bara Kembali yang merupakan filem sequel daripada filem Rock yang telah dihasilkan oleh pengarah Mamat Khalid lapan tahun yang lalu.

AMARAN: KEPADA SESIAPA YANG TIDAK BOLEH MENERIMA PENDAPAT DAN PANDANGAN ORANG LAIN DENGAN MATANG BERKENAAN KRITIKAN FILEM, SILA JANGAN BACA ARTIKEL INI. KOMEN MEMBINA DAN PERKONGSIAN PENDAPAT ADALAH AMAT DIALUKAN-ALUKAN. TERIMA KASIH.

Filem Rock yang dipertontonkan pada tahun 2005 itu telah menggegar arena filem komedi di Malaysia apabila komedi jenis situasi dan skrip yang kuat berjaya menarik perhatian peminat-peminat filem komedi melayu (sayalah tu antaranya.. =p)..

Bagi saya sendiri, komedi yang dipersembahkan filem Rock tersebut telah berjaya memberi kesan yang kuat sehinggakan filem sambungannya amat dinanti-nantikan. Namun tidak dinafikan, pasti filem Rock dan filem Rock Oo! Rimba Bara Kembali ini akan dibanding-bandingkan kerana ianya satu sambungan.

Nak tahu apa pandangan saya pasal filem Rock Oo! Rimba Bara Kembali ni? Jom!


Watak dan Pelakon

Sebelum ditayangkan, aura filem Rock Oo! Rimba Bara Kembali ini sangat kuat kerana hampir semua pelakon-pelakon asalnya dikekalkan. Jika ada pelakon yang berubah, pasti penonton akan merasa perbezaannya. Walaubagaimanapun, bagi saya, walaupun para pelakonnya berjaya dikekalkan, kekuatan watak pada setiap pelakon ada sedikit goyah.

Contohnya watak Amy Mat Piah yang dilakonkan oleh Que Haidhar, terasa lain. Ada sedikit perbezaan walaupun tak nampak ketara dan kadang kalanya  jelas kaku. Ia menjejaskan kekuatan filem ini kerana watak Amy Mat Piah diangkat menjadi watak utama berbanding filem Rock yang terdahulu.

Begitu juga dengan watak Zul Kapan lakonan Soffi Jikan yang kembali bersama dengan band Malaikat Maut. Watak tersebut nampak kurang menyengat berbanding filem Rock dan gerun terhadap watak Zul Kapan ini tidak nampak di sepanjang jalan cerita, ibarat helang yang kehilangan taring kuku. (taring datang dari mana plak ni... =p).

Watak yang masih sama dan berjaya dikekalkan moodnya adalah watak Jijoe lakonan Khir Rahman. Gaya dan caranya tetap sama pada kedua-dua filem. Jika pelakon-pelakon lain berjaya melakonkan watak mereka sama dengan filem Rock, saya berpendapat filem ini akan menjadi lebih kuat dan bertenaga.
Perkembangan Cerita

Berkenaan dengan perkembangan cerita pula, terdapat elemen-elemen yang lebih kurang sama dengan filem Rock, tetapi dilihat tidak digarap dengan baik menjadikan sesuatu babak itu kadang kala tergantung begitu saja.

Ada masanya, pening dan pelik melihat sesuatu babak itu datang dan pergi begitu saja. Hal ini membuatkan penonton merasa penat untuk memikirkan babak sebelum itu apabila cerita telah pun masuk ke babak seterusnya.

Mood penonton jadi terganggu dengan perubahan babak yang kadang kala terlalu perlahan, dan kadang kala terlalu laju. Ibarat seseorang amatur yang mengedit video menggunakan software iMovie di Macbook.

Terdapat juga watak-watak yang timbul tenggelam dalam filem ini seperti pengurus mereka Abang Man dan watak yang dilakonkan oleh Saiful Apek. Malah penonton bagai tidak dapat menangkap, siapakah mereka sebenarnya. Ironinya, kedua-dua watak tersebut 'dibunuh' untuk menunjukkan band Rimba Bara tidak memiliki pengurus yang baik sebelum Amy Mat Piah diangkat menjadi pengurus mereka.

Selain itu, sebagai satu filem komedi yang cuba menyelimuti realiti (perh bahasa, tinggi tu..), filem Rock Oo! Rimba Bara Kembali ini menjadi sedikit janggal apabila band Rimba Bara dikaitkan dengan kejayaan di Anugerah Juara Lagu dan juga peristiwa pahit dunia rock iaitu rambut panjang perlu dipotong.

Ending filem ini sedikit spoil dan membuatkan penonton keluar panggung dengan perasaan 'kurang puas'.


Filem Melodrama

Berbeza dengan filem Rock, filem sequel ini lebih banyak menggunakan muzik dan lagu untuk membina mood dan suasana dalam kebanyakan situasi. Kebanyakkan babak dimasukkan lagu-lagu yang bersesuaian.

Namun bila terlalu banyak sangat lagu retro dimainkan, ada kalanya, terasa macam sedang mendengar radio Sinar fm di pawagam..

Walaubagaimanapun, permainan gitar daripada watak Slash lakonan Pekin Ibrahim memberikan kekuatan sementara kepada filem ini. Babak ini membuatkan ramai jejaka akan berangan menggoreng gitar sehebat itu.. =p
Elemen negatif dipertontonkan

Dalam filem Rock, elemen negatif seperti band Black Metal melalui figura band Malaikat Maut dapat dipertontonkan dengan cara komedi dan tidak nampak negatif. Ianya tidak menyakitkan mata.

Tetapi dalam filem Rock Oo! Rimba Bara Kembali ini, banyak elemen-elemen negatif tidak dikawal dengan baik dalam unsur komedi, contohnya babak yang menunjukkan pemain gitar meminum arak yang secara terang-terangan. Walaupun ia cuba dikomedikan, namun ia kurang menjadi, malah mungkin memberikan kesan negatif kepada para penonton.

Selain itu, terdapat satu babak yang menunjukkan bentuk badan wanita (sebelum band Rimba Bara jamming lagu Teratai di dalam studio) juga bukanlah satu perkara yang elok dimasukkan ke dalam sebuah filem komedi seperti ini.

Mungkin teknik marketing seperti 'Sex Sells' cuba dipergunakan dalam filem ini untuk menarik perhatian dan minat penonton, namun sedikit sebanyak ia boleh menjatuhkan kredibiliti pembikin filem yang mempunyai pengaruh dan pengikut yang tersendiri.


Secara keseluruhannya, sebagai peminat filem Rock, saya berpendapat, filem sequel Rock ini agak mengecewakan dari beberapa aspek dan ianya seharusnya boleh dibuat dengan lebih baik lagi.

Apa-apapun, dari aspek komedinya, filem Rock Oo! Rimba Bara Kembali ini mempunyai elemen komedi yang tersirat. Jika anda tidak gelak semasa menontonnya buat kali pertama, anda akan tergelak besar apabila menontonnya sekali lagi sendiri. Itulah yang berlaku dalam filem-filem komedi arahan Mamat Khalid seperti Rock dan Zombie Kampung Pisang.

Sekian review filem kritikal daripada saya buat kali ini.

Terima kasih. Senyum selalu, peace!

Thursday, February 28, 2013

[Qualaroo] Kerjaya Sebagai Pegawai Penguatkuasa Farmasi

9 comments

Assalamualaikum dan salam sejahtera, 

Dah lama rasanya saya tidak menulis di Nizam Malek Blog ini. Kebelakangan ini saya hanya update dengan short blog post atau video sahaja. Mesti anda semua ternanti-nanti tulisan terbaru daripada saya, hehe.. 

Untuk blog post kali ini, saya akan menjawab satu respond daripada pembaca Nizam Malek Blog yang telah dimasukkan ke dalam kotak Qualaroo pada 13 Februari 2013 yang lalu.
Respondnya adalah berbunyi begini:

"I want to know your jobs story.. Hehe.. Can you tell more about that.. TQ.."

Ok terima kasih kepada yang telah meminta saya menulis berkenaan kerjaya saya. Mungkin anda yang bertanya ini ingin mengetahui dengan lebih mendalam apakah sebenarnya ruang kerja sebagai seorang Pegawai Penguatkuasa Farmasi. 

Memang kurang sebenarnya artikel yang ditulis berkenaan kerjaya ini. Jika berkata tentang Farmasi, kebiasaannya masyarakat lebih mengenali Pegawai Farmasi di Hospital, Klinik Kesihatan ataupun kedai retail Farmasi.

Tapi sebenarnya, kerjaya dalam bidang Farmasi adalah lebih daripada itu, merangkumi juga aspek pengurusan dan juga penguatkuasaan.

InsyaAllah dalam tulisan kali ini, saya akan berkongsikan serba sedikit informasi berkenaan kerjaya ini dengan anda. Walaupun mungkin sedikit confidential apabila berbicara tentang dunia penguatkuasaan, tapi anggap saja ia sekadar satu perkongsian dan pengetahuan umum.

Ok, bidang tugas sebagai seorang Pegawai Penguatkuasa Farmasi adalah amat berbeza dengan tugas seorang Pegawai Farmasi di peringkat Hospital, Klinik Kesihatan mahupun kedai retail Farmasi yang lebih kepada aspek perkhidmatan kepenggunaan, iaitu terlibat dalam rawatan pesakit dan juga kaunseling ubat-ubatan. 

Tugas seorang Pegawai Penguatkuasa Farmasi adalah untuk memastikan semua undang-undang atau akta-akta berkaitan Farmasi seperti Akta Racun 1952, Akta Ubat (Iklan dan Jualan) 1956 dan lain-lain dapat dikuatkuasakan dengan sempurna di negara ini agar semuanya berada dalam keadaan terkawal dan selamat. 

Dalam Jabatan Penguatkuasaan (Enforcement) sendiri, terdapat unit-unit kecil yang memainkan peranan tersendiri dalam memastikan matlamat penguatkuasaan itu dapat dicapai. Antaranya adalah Unit Kawalan Pintu Masuk, Unit Perlesenan, serta Unit Risikan dan Operasi.

Di Unit Kawalan Pintu Masuk, Pegawai Farmasi bertugas untuk mengawal kemasukkan konsainmen dan produk-produk yang datang dari luar negara seperti dari Singapura, Taiwan, US, Indonesia, Korea dan lain-lain. 

Bermakna, jika terdapat syarikat atau individu yang cuba membawa masuk produk-produk farmaseutikal dari luar negara yang disyaki tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, Pegawai Farmasi dari Unit Kawalan Pintu Masuk akan menasihatkan pihak Kastam Diraja Malaysia untuk membuat penahanan konsainmen bagi produk-produk tersebut. 

Peranan Pegawai Farmasi di Unit Kawalan Pintu Masuk adalah amat penting bagi memastikan kemasukan produk-produk farmaseutikal (termasuk juga kosmetik) yang mungkin membahayakan 'end user' iaitu para pengguna di Malaysia dapat dibendung.

Di unit Perlesenan pula, secara asasnya Pegawai Farmasi akan bertindak memproses permohonan mendapatkan lesen daripada syarikat-syarikat yang ingin membawa masuk produk-produk farmaseutikal untuk diproses dan dijual di Malaysia.

Sudah pasti, segala dokumen, keperluan dan kelayakan farmaseutikal perlu dipenuhi untuk mendapatkan lesen daripada Bahagian Perkhidmatan Farmasi ini. Dalam fasa ini, Pegawai Farmasi di unit Perlesenan berkhidmat dengan individu-individu yang baru hendak bermula mendapatkan dan mendaftarkan lesen.

Di unit Risikan dan Operasi pula, sekumpulan Pegawai Farmasi akan bergerak membuat risikan bagi mengenalpasti 'sarang-sarang' penyalahgunaan dadah dan juga penjualan produk-produk farmaseutikal dan kosmetik yang melanggar akta.

Apabila mendapat aduan atau kepastian sesuatu premis (seperti kedai retail Farmasi, kedai Jamu/Tradisional, klinik-klinik) itu melanggar atau menyalahi akta, kumpulan Pegawai Farmasi dari unit ini akan membuat operasi ke premis-premis yang berkenaan. Antara perkara yang dilakukan adalah memberikan penerangan tentang kesalahan yang dilakukan oleh pemilik premis dan jika kesalahan yang dilakukan adalah berat, penahanan produk akan dilakukan.

Dengan kebanjiran produk-produk Farmaseutikal di pasaran pada masa kini, peranan Pegawai Penguatkuasa Farmasi adalah amat penting untuk memastikan sekurang-kurangnya keselamatan pengguna dapat dikawal.

Secara peribadi, saya berpendapat, bidang Penguatkuasaan Farmasi adalah satu bidang yang menarik untuk diterokai oleh Pegawai Farmasi masa kini di Malaysia. 

Namun, jika seseorang itu mempunyai minat yang mendalam pada dunia Farmasi Klinikal, bidang Penguatkuasaan Farmasi mungkin bukan satu bidang yang sesuai untuknya kerana kebiasaannya, kemahiran klinikal seseorang Pegawai Penguatkuasa Farmasi akan berkurangan dari semasa ke semasa, kerana kemahiran klinikal tersebut akan kurang digunakan di bidang Penguatkuasaan Farmasi.

Masih banyak boleh dikupas berkenaan kerjaya sebagai seorang Pegawai Penguatkuasa Farmasi, namun secara ringkasnya, begitulah antara peranan dan fungsi Pegawai Penguatkuasa Farmasi.

Saya pun masih dikira baru dalam bidang Penguatkuasaan Farmasi, jadi tulisan ini adalah sekadar apa yang saya tahu pada waktu ini. Mungkin dalam blog post seterusnya, saya akan dapat berkongsi lebih banyak pengalaman berkhidmat dalam bidang Penguatkuasaan.

Ohya, selain itu, jawatan seorang Pegawai Penguatkuasa Farmasi adalah Penolong Pengarah Farmasi, bukan lagi sekadar Pegawai Farmasi. Selain bidang tugas yang berbeza, seorang Penolong Pengarah Farmasi di bidang Penguatkuasaan Farmasi akan mempunyai kad kuasa yang membolehkan ia membuat serbuan di premis-premis dan juga meminta pemilik premis menunjukkan lesen yang berkaitan. 

Ok sampai sini saja perkongsian buat kali ini. 

Semoga bermanfaat! 

P/S: Kalau ada kemusykilan, jangan segan tinggalkan soalan di ruangan komen. Peace! =)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Nizam Malek Blog. Copyright 2010 All Rights Reserved Revolution theme by Brian Gardner Ft Bloganol dot com | Distributed by Deluxe Templates

Create your free online surveys with SurveyMonkey , the world's leading questionnaire tool.