Monday, January 6, 2014

The Art of Asking Questions (Versi Bahasa Melayu)


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Di Nizam Malek Blog, saya menerima banyak soalan berkenaan isu-isu yang saya tulis. Kebanyakannya berkenaan dunia kerjaya Farmasi.

Antara yang bertanya soalan adalah para pelajar lepasan SPM, mereka yang mahu sambung belajar dalam bidang Farmasi, pelajar Diploma Farmasi dan juga lepasan graduan Farmasi yang bakal menjalani latihan sebagai Provisionally Registered Pharmacist (PRP).


Terima kasih dan tahniah kepada anda yang bertanya soalan, kerana dengan bertanya soalan, kita akan mendapat informasi baru yang dapat membantu kita menyelesaikan masalah-masalah yang kita hadapi.

Berbeza dengan orang yang tidak bertanya soalan, mereka akan terus berada dalam ruang ketidaktahuan sedangkan orang lain telah pun bergerak maju ke hadapan.

Saya rasa seronok menerima soalan daripada anda di Nizam Malek Blog ini, dan semoga jawapan yang saya berikan sedikit sebanyak memberi pencerahan kepada anda.

Cuma dalam banyak-banyak soalan yang saya terima, saya dapat menilai cara orang bertanya soalan. Ada soalan yang saya rasa bersedia untuk memberikan jawapannya dan ada juga soalan yang membuatkan saya rasa, tak perlulah saya berikan jawapan yang terbaik.

Semua ini kerana bertanya soalan ada seninya.

Tahukah anda, bertanya soalan adalah sesuatu perkara yang boleh dilakukan secara percuma. Anda tidak perlu membayar apa-apa untuk bertanya soalan.

Malah anda mendapat keuntungan apabila menerima informasi atau maklumat yang anda perlukan dari sesi soal jawab tersebut secara percuma.

Jika kena pada caranya, anda boleh mendapatkan informasi berbayar yang bernilai tinggi secara percuma!

Inilah perkara yang ramai orang tidak tahu. Mereka bertanya soalan sesuka hati, tanpa seninya, membuatkan informasi dan maklumat yang diperlukan itu tidak sampai kepada mereka.

Apabila kita bertanya soalan dengan cara yang tidak berseni, orang yang mempunyai jawapan yang kita perlukan, akan berkira-kira untuk memberi jawapan tersebut.

Sebaliknya, apabila kita bertanya soalan mengikut seni dan mengelak pantang larangnya, hidup kita akan menjadi lebih mudah dan kita akan mampu bergerak ke arah kejayaan dengan lebih pantas lagi.

Di kesempatan ini saya nak berkongsikan dengan anda, beberapa seni untuk bertanya soalan.

1) Mulakan dengan kata-kata bunga

Sebelum bertanya soalan, kita perlu mendekati orang tersebut dengan cara yang terbaik.

Perkara yang anda boleh lakukan adalah dengan memberikan salam yang baik kepadanya seperti Assalamualaikum, Salam sejahtera atau Salam hormat.

Apabila kita menegur dan mendekati orang dengan cara yang baik, mereka akan lebih menyenangi kita dan bersedia untuk mendengar kata-kata atau soalan kita yang selanjutnya.


2) Elakkan menggunakan tulisan semua huruf besar.

Apabila bertanya soalan menggunakan teks atau tulisan, peribadi kita dalam bertanya soalan terserlah pada bentuk tulisan yang kita gunakan.

Jika kita menulis dengan menggunakan semua huruf besar, ia memberi tanggapan yang kita sedang marah atau mengecam seseorang.

Menulis dengan menggunakan semua huruf besar tidak menggambarkan kita bertanya soalan dalam keadaan teruja (excited), sebaliknya, ia membuatkan orang yang mempunyai jawapan yang anda mahukan itu menjadi lebih defensif dan tidak mahu memberikan jawapan kepada soalan penting anda itu.


3) Elakkan menggunakan perkataan-perkataan berbentuk sindiran (sarcasm).

Dalam seni bertanya soalan, kita perlu 'direct to the point'. Menggunakan perkataan yang berkalis berbentuk sindiran adalah tidak digalakkan dan ianya bagai merendahkan maklumat yang boleh dikongsikan oleh orang yang ditanya.

Orang yang bertanya sewajarnya mengangkat orang yang ditanya lebih tinggi dan menghargai jawapan yang akan diberikan.

Kalau anda kerap menyindir-nyindir orang yang ditanya, anda akan lihat jawapan yang diberikan akan kurang berkualiti dan kurang penjelasan yang membolehkan anda mendapat manfaat daripadanya.


4) Tidak salah menyatakan pendapat sendiri, tapi..

Apabila kita bertanya soalan, kita mahu mendapatkan jawapan, informasi dan maklumat daripada orang yang ditanya, dan bukannya kita yang lebih-lebih pula memberikan pendapat kita.

Apabila pendapat kita berbeza dengan pendapat orang yang ditanya, hormati pendapat mereka dan walaupun kita mempunyai pandangan yang berbeza, kita tidak perlu gunakan masa tersebut untuk menunjukkan yang kita betul dan orang itu salah.


5) Ucapkan terima kasih.

Sentiasa murah dengan ucapan terima kasih. Hargai jawapan yang diberikan dan tunjukkan yang anda belajar sesuatu daripada jawapan tersebut.

Apabila kita mengucapkan terima kasih selepas seseorang memberikan jawapan pada soalan yang kita lontarkan, ia memberi kita ruang untuk bertanya soalan seterusnya dengan lebih mudah kerana orang yang ditanya itu akan lebih bersikap terbuka dengan kita.


Sekian saja 5 tips seni bertanya soalan yang dapat saya kongsikan buat masa ini. Semoga ianya memberi manfaat buat anda yang membaca.

Selamat maju jaya! =D

2 comments:

Siti Munirah on January 6, 2014 at 5:24 PM said...

tips yang baik! :)

Nizam Malek on January 7, 2014 at 8:19 AM said...

Terima kasih. Jemput share. =D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

 

Nizam Malek Blog. Copyright 2010 All Rights Reserved Revolution theme by Brian Gardner Ft Bloganol dot com | Distributed by Deluxe Templates

Create your free online surveys with SurveyMonkey , the world's leading questionnaire tool.