Saturday, October 11, 2014

Bagaimana Untuk Mula Melabur Jika Tiada Modal?


Ramai orang beritahu saya mereka ada masalah, iaitu tiada modal untuk melabur samada dalam hartanah, saham mahupun emas.

Bagaimana untuk mengatasi masalah ini?

1. Simpanan. 

Pelabur yang hebat adalah penyimpan yang hebat. Sekiranya anda hendak menceburkan diri dalam dunia pelaburan, anda perlu belajar teknik-teknik yang berkesan untuk menyimpan wang. Secara idealnya, anda perlu simpan 10% daripada pendapatan anda ke satu akaun bank yang khas untuk simpanan (jangan campurkan wang simpanan tersebut di dalam akaun bank yang anda gunakan untuk perbelanjaan). Sudah pasti lebih banyak anda menyimpan, lebih tinggi peluang anda untuk melabur dengan lebih selesa di kemudian hari. Tapi sekiranya anda tidak dapat menyimpan 10%, simpanlah berapa sahaja yang anda boleh, asalkan anda ada membuat simpanan yang konsisten sekurang-kurangnya setiap bulan. Simpanan ini adalah amat penting untuk dilakukan sebelum kita masuk ke langkah ke dua.

2.Tambah pendapatan.

Bina kemahiran untuk menjual, kerana dengan membuat jualan, pendapatan dapat ditingkatkan. Cari apa-apa produk yang mempunyai permintaan, dapatkan pada harga kos dan jual untuk menjana keuntungan. Salah satu produk yang anda boleh jual di Internet adalah produk informasi. Sebagai contoh, katakan anda ada kemahiran untuk menjahit pakaian. Rakamkan cara-cara menjahit mengikut cara anda tersebut ke dalam bentuk video tutorial dan jualkannya. Orang yang membeli video tersebut boleh belajar cara-cara menjahit dan membolehkan mereka menjana keuntungan melalui perkhidmatan menjahit baju kurung ketika musim perayaan. Keuntungan yang terhasil daripada penjualan produk informasi video tersebut tidak boleh digunakan untuk perbelanjaan anda, sebaliknya mestilah dimasukkan ke akaun bank yang khas untuk simpanan bagi tujuan pelaburan.

3. Berbelanja dengan lebih bijak.

Perbelanjaan sebenarnya amat boleh dikawal. Kita boleh membuat pilihan yang lebih bijak setiap kali berbelanja. Ini adalah langkah yang amat penting dan sekiranya langkah ke 3 ini tidak diambil perhatian, langkah pertama dan kedua di atas boleh menjadi sia-sia. Contohnya apabila soal makanan, ada makanan yang mahal dan ada makanan yang murah. Perbezaan harga bukan hanya kerana kualiti makanan yang disediakan, tapi mungkin kerana faktor di mana makanan itu dijual. Nasi lemak yang sama mungkin jauh berbeza harganya apabila satu dijual di gerai-gerai (RM2) dan satu lagi dijual di restoran ekslusif (RM7). Jadi kita ada pilihan, maka pilihlah untuk berbelanja dengan lebih bijak.

Ada banyak lagi cara untuk mengumpul modal bagi tujuan pelaburan. 

Tapi langkah-langkah di atas adalah perkara asas yang biasanya akan disebut oleh pakar-pakar kewangan dan pelaburan.

Semua orang tahu dan boleh tahu info ini.

Tapi yang membezakan adalah orang yang membuat tindakan.

Kita buat dengan cara yang betul. insyaAllah kita boleh rasa hasilnya nanti.

-Nizam Malek

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Nizam Malek Blog. Copyright 2010 All Rights Reserved Revolution theme by Brian Gardner Ft Bloganol dot com | Distributed by Deluxe Templates

Create your free online surveys with SurveyMonkey , the world's leading questionnaire tool.