Tuesday, May 14, 2013

Nizam Malek Gets Married!

0 comments

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua!

11 Mei 2013, sabtu, yang lalu merupakan tarikh yang telah menjadi titik tolak yang amat besar dalam hidup saya.

Alhamdulillah, pada tarikh tersebut telah tertulisnya perihal jodoh saya di Luh Mahfuz melalui satu lafaz akad ijab-kabul. Dan kini status saya telah bertukar secara rasmi dan sahnya dari seorang lelaki bujang kepada seorang suami.

Macam tak sangka juga, dah kahwin rupanya saya, pada umur 26 tahun. Tapi inilah ketentuan Tuhan dan kita sekadar menuruti perjalanan kehendak-Nya di atas muka bumi ini. Semoga pernikahan ini akan menambahkan rahmat Tuhan dalam diri ini, isteri, keluarga dan semua.

Mesti ramai yang nak tahu, apa rasanya dah berkahwin, perasaan ketika proses nak akad nikah dan semua-semua sekalilah kan. Itu sebablah saya tulis blog post ini, untuk berkongsi serba sedikit detik-detik yang saya lalui tersebut.

Mari Kita Berkenalan!

Sebelum tu, mari kita berkenal-kenalan! Saya dipertemujodohkan dengan seorang gadis yang berasal dari Ipoh Perak. Namanya Ain Syafinas Aishah Binti Izahari, berumur setahun lebih muda daripada saya dan merupakan graduan jurusan Perubatan (MBBS). Kami mula berkenalan sejak belajar di Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS).
Ketika tahun pertama di CUCMS, pelajar jurusan Perubatan dan Farmasi belajar dalam bilik kuliah yang sama untuk beberapa subjek seperti Anatomy, Physiology, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam. Dari situ kami mula melihat antara satu sama lain.. Err, sebenarnya dia tak tengok saya pun.. Saya yang tengok dia.. =p

Minta No Telefon Daripada Kawan Si Dia

Then terasa ingin mengenali. Saya pun tanya-tanya lah kawan-kawan dia, minta no telefon. Tapi kawan dia cakap, nak no telefon minta dengan dia sendiri! Adui, kawan pun tak sporting lah.. Huhu.. Jadi terpaksalah memberanikan diri untuk meminta sendiri no telefon daripada si dia.

Cuba punya cuba, akhirnya dapatlah no telefon dan dari saat itu mula mengenali sehinggalah hari ini, telahpun sah bergelar suami isteri. Kalau tak silap berkenalan pada akhir 2007 dan berkahwin pada tahun 2013. Banyak sebenarnya dugaan dan cabaran sebelum sampai ke saat ini.

Ceritera 11 Mei 2013

Ok itu cerita masa mula berkenalan, sekarang kita jump terus ke hari-hari perkahwinan. Ramai yang tanya, macam mana, apa rasa nak kahwin? Mesti excited! Hehe.. Tapi sejujurnya, saya taklah rasa excited sangat.. Rasa biasa je.. Mungkin cuba untuk menenangkan diri di saat-saat akhir mengakhiri zaman bujang yang best itu.. =p

Tapi memang betul, nak kahwin ni stress sebenarnya. Banyak perkara bermain di minda. Ada yang takut nak melangkah dan berdepan dengan tok kadi dan bakal bapa mertua, ada juga yang takut nak berdepan dengan tanggungjawab baru sebagai suami serta isteri, dan ada masanya stress tak tahu sebab apa.. Mungkin takut juga majlis tak berjalan dengan lancar.

Pada waktu tersebut, ketenangan diri menjadi perisai diri. Kalau tiada ketenangan, pasti akan menggelabah dan kalau tak dapat tahan, mula lah akan marah-marah orang yang terdekat.. Stress sangat lah kot.. =p Pape pun, banyakkanlah senyum. Tunjukkan kita yakin dan rileks. =)

Saatnya Akad Nikah

Ok, masa berdepan tok kadi tu, tarik nafas dalam-dalam dan hembus dengan tenang. Masa tu semua mata akan terarah kepada kita. Sama ada kita dapat melaluinya dengan baik atau tidak, satu kali lafaz akad atau berkali-kali.. Jadi mestilah nerves kan? Tapi rileks je.. Steady..

First sekali, tok kadi tu berikan satu fail. Dalam tu ada satu borang semak, 25 list soalan untuk pengantin lelaki. Antara soalannya adalah mengucap 2 kalimah syahadah berserta maksudnya, rukun iman, rukun Islam, rukun solat, tanggungjawab suami, tanggungjawab isteri, perihal haid dan nifas dan bermacam-macam lagi. Tok kadi tu suruh jawab satu-satu..

Dalam hati saya, "gila ka? Mana aku ingat satu-satu tok kadi oi.." Time tu memang cemas, maksud 2 kalimah syahadah hilang dalam fikiran, rukun iman bercampur dengan rukun Islam, tetiba terkeluar rukun negara.. Memang lawak lah! Tapi semua tu dalam hati lah.. Kat luar, senyum gelak je..

Bila tok kadi tanya, jawab je, memang tak ingat semua. Bukan tak tahu, tapi tak ingat.. Time tu terasa menyesal tak habiskan sekolah agama sampai darjah khas.. Wuwu.. =p

Then rileks je, sebab tok kadi tu mula lah bagi khutbah nikah dan kahwin. Dari situ tok kadi terangkan semula pasal semua aspek yang penting dalam nikah dan kahwin.

Khutbah Nikah Yang Bermakna

Memang lama, dekat 40 minit. Semua ahli keluarga yang tunggu rasa bosan dan penat. Tapi saya mendengar dengan khusyuk dan jelas, sebab semua tu penting. 

Bukan untuk sesiapa, tapi untuk saya sendiri dan bakal isteri. Terima kasih tok kadi atas peringatan dan nasihat itu semua.

Then lepas khutbah nikah, tok kadi tu minta ditunjukkan mas kahwin iaitu sekeping dinar emas serta perhiasan hantaran untuk isteri iaitu cincin dan rantai loket. 

Dia boleh dok ajuk pula, "ni dinar emas ngan loket ni ori ke beli kat Mydin? =P" Dalam hati aku, "eh tok kadi ni buat lawak pulak.. =P" Huhuhu..

Untuk akad nikah, lafaz ijab dan kabul dilakukan sendiri oleh wali pengantin perempuan, iaitu ayahnya. Masa tu masih rasa ok, tak lah nerves sangat sebenarnya.

Eksklusif - Video Lafaz Akad Nikah

Cuma risau juga kalau tak lepas akad tu. Tapi yakin kan diri dan make my mind clear. Alhamdulillah, akad terima dilafazkan sekali dan disahkan oleh kedua-dua wali.

Berdoalah tok kadi diiringi amin oleh semua yang hadir. Saat itulah saya mula bergelar suami kepada Ain Syafinas.
Terserahlah semua bebanan tanggungjawab yang dahulunya dipikul oleh si ayah, kepada saya seorang.

Semoga tanggungjawab ini dapat ditunaikan dengan sebaik-baiknya, insyaAllah.

Selepas akad nikah, satu lagi lafaz yang dilakukan oleh suami adalah bacaan lafaz janji talaq Khuluk (tebus talak) yang akan menjadi pelindung isteri jika suami tidak menjalankan tanggungjawabnya dengan seperti yang seharusnya.

Demikianlah berakhirnya sesi akad nikah. Alhamdulillah, selesai dan dipermudahkan. Restu keluarga menjadi sandaran utama, cinta dan hormat menjadi pengikat kasih.

Terima Kasih Semua!

Terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan ikatan suci ini. Saya dan isteri amat menghargainya, selamanya. Terlalu banyak sebenarnya ucapan tahniah yang diterima di Facebook terutamanya dan tak dapat saya balas satu persatu. Tapi saya nak anda tahu, yang saya baca wish dan LIKE tersebut semuanya. Terima kasih tak terhingga. =)

Majlis Resepsi di Johor Bahru

Kepada yang tidak berkesempatan atau terlepas informasi berkenaan dengan majlis kenduri kahwin kami di Ipoh, Perak tempoh hari, jangan berdukacita, sebab insyaAllah Majlis Resepsi untuk belah keluarga pengantin lelaki (saya) akan diadakan pada 29 Jun 2013 bertempat di Dewan Johor Jaya, Johor Bahru.

Kad jemputan akan diedarkan pada bulan Jun dan insyaAllah fb event invitation untuk Majlis Resepsi tersebut akan dipublish pada masa yang sesuai nanti. Mohon tuan dan puan untuk stay tune di Facebook untuk mendapatkan informasi berkenaan Majlis Resepsi tersebut.

Juga kepada yang memerlukan kad jemputan, jangan lupa untuk berikan alamat kepada saya melalui Facebook Message atau email di mizamio87@yahoo.com. InsyaAllah anda semua adalah dijemput. Jangan tak datang pula tau. =)

Ok sampai sini dulu perkongsian saya kali ini. Saya tinggalkan anda dengan beberapa gambar ketika majlis di Ipoh, Perak. =)

P/S: Sila klik pada gambar untuk paparan yang lebih besar dan jelas.
Di majlis malam berinai.

 Pre Wedding (time ni belum kahwin lagi..)
Steady tok kadi~
 Melangkah menuju ke medan tempur.
 Banner ni digunakan untuk majlis di Ipoh dan Johor Bahru.

 7 dulang hantaran untuk pengantin perempuan.
 9 dulang hantaran untuk pengantin lelaki.
Nizam Malek: Err, tok kadi, mana surat nikah sementara saya??
Tok kadi: Haa tunggu lah dulu.. Saya balik tidor dulu.. Nanti saya bagi..
Nizam Malek: Errr.. @_@'
Cincin tanda sudah berpunya.
 Bersiap sedia untuk majlis bersanding.
 Ruang makan untuk menjamu hadirin yang datang. 
Terima kasih, susah-susah datang dari jauh. =')
 Satu lagi banner, untuk kedua-dua majlis resepsi.
 Gelagat Raja Sehari.
 Senorita Salz yang gembira.
 Terima kasih, terima kasih.
Outdoor photography session di Kellie's Castle, istana lama berhantu.. Wuhuu..
 Honeymoon kami, di Cameron Highland.
Merasa Teh Cameron di Cameron Valley
 Tak nak turun ke ladang teh, nanti kasut kotor.. Tengok dari jauh saja.. =p
 Teh berkualiti tinggi dari tanah tinggi Cameron Highland.
Isteri yang bancuhkan teh susu ni. =)
Kenangan bersama, berdua.

Thursday, May 9, 2013

Status 34

0 comments

F.E.A.R : Forget Everything And Run
Or
F.E.A.R : Face Everything And Rise

The Choice Is Yours..

Tuesday, May 7, 2013

Bicara Politik & PRU13

0 comments

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Apa khabar, semoga sihat wal'afiat di sana.

Dalam post kali ini, untuk julung-julung kalinya saya ingin menulis berkenaan satu topik yang kini sedang hangat diperkatakan khususnya di Malaysia.

Tidak Salah Berkongsi Pendapat

Walaupun saya bukanlah pakar dalam bidang politik, dan secara jujurnya sebelum ini amat kurang mengikuti perkembangan politik di Malaysia, tapi tidak salah rasanya untuk saya berkongsi pendapat yang berdasarkan pembacaan yang amat sedikit dan pemerhatian tentang isu semasa politik negara.

Kisah Golongan Muda dan Politik

Sebenarnya, bagi golongan muda Malaysia yang lahir pada tahun pertengahan dan akhir 80an, adalah normal bagi mereka untuk tidak mengikuti perkembangan semasa politik negara kerana sumber untuk mendapatkan informasi yang tepat adalah amat sukar.
Surat khabar melaporkan berita yang tidak enak dibaca, malah memeningkan kepala golongan muda yang membaca. Lantas ia membuatkan golongan muda menjauh dari sebarang unsur politik. Malah lebih senang untuk melabelkan politik itu kotor dan tidak berkaitan langsung dengan mereka. Keluar mengundi jauh sekali.

Golongan muda lebih gemar berbicara tentang hiburan. Jika ada yang lebih berpandangan jauh pun, lebih suka berbicara tentang peluang perniagaan seperti MLM dan perniagaan Internet. Hanya segelintir golongan muda yang galak melaungkan kepentingan terlibat dengan aktiviti politik dan mereka sekadar dilihat 'pelik'.

Masa depan politik bagi generasi muda nampak suram. Agak sukar melihat potensi golongan muda yang bakal menentukan landskap politik negara pada masa hadapan apatah lagi menerajui tampuk kepemimpinan tertinggi negara. Ia sememangnya satu senario yang mendukacitakan dan berpotensi membahayakan masa depan negara ini sendiri.

Internet Mengubah Penerimaan Terhadap Politik

Namun hal ini berubah secara drastik sejak beberapa tahun yang lalu. Dengan kemudahan Internet serta ruang media sosial yang menjadi medium utama komunikasi di kalangan golongan muda, informasi berkenaan politik dilihat lebih mudah diterima dan masuk ke benak pemikiran mereka.


Lebih banyak informasi dalam bentuk penulisan, gambar dan video sama ada benar mahupun fitnah, sama ada fakta mahupun auta menjadi hidangan golongan muda. Malah, persembahan informasi yang dijadikan dalam bentuk lucu atau troll yang segar membuatkan golongan muda lebih tertarik kepada politik.

Hal ini menyebabkan lebih ramai golongan muda yang bersedia untuk ambil tahu sedikit sebanyak berkenaan cerita politik Malaysia. Lebih ramai golongan muda yang bertindak mendaftarkan diri mereka sebagai pengundi tanpa dipaksa oleh sesiapa. 

Teruja Pengundi Pertama Kali

Malah mereka bertekad untuk menjalankan tanggungjawab keluar mengundi. Mereka percaya, bahawa satu undi yang mereka beri itu adalah amat bermakna dan boleh memberi kesan kepada sejarah politik Malaysia melalui saluran pilihan raya.
Rasa gembira dan teruja menjadi pengundi pertama kali jelas dapat dilihat dengan perkongsian status keadaan hari mengundi serta gambar jari telunjuk kiri yang dicalit dakwat biru di media sosial seperti Facebook. Perasaan seperti hari pertama melangkah masuk ke alam persekolahan.

Golongan muda berbangga kerana mereka menjadi entiti yang terlibat dengan proses pembentukan kerajaan Malaysia yang akan meneraju tampuk kepemimpinan negara untuk 5 tahun yang seterusnya.

Mula Mengenal Senario Sebenar Politik Malaysia

Namun segala rasa seronok tersebut bagai direncat apabila dakwat biru yang dikatakan kekal itu hilang bersih apabila sekadar dibasuh menggunakan sabun basuh pinggan di dapur. Terasa ralat, adakah benar pilihan raya sebenar yang ditunggu-tunggu itu, atau ia sekadar mimpi kosong belaka?

Bagi golongan muda yang dulunya tidak mempercayai cerita-cerita yang meragui kredibiliti dan integriti badan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini telah melihat dengan mata kepala mereka sendiri apa yang terjadi. 

Berbeza dengan kebanyakan pengulas dan ahli panel analisa PRU13 di TV1 dan TV3 (pada pukul 9 malam 5 Mei 2013) yang bangga menunjukkan dakwat biru masih ada di jari telunjuk kiri mereka (mungkin di rumah mereka tiada sabun basuh pinggan..). Ini semua hanyalah sandiwara di kaca televisyen semata-mata.

Seterusnya, banyak lagi isu yang dibangkitkan berkenaan SPR seperti isu blackout dan pengundi Bangla. Walaupun tidak berada ditempat kejadian, gambar dan video yang dikongsikan di Facebook menjadi saluran yang paling pantas penyebaran informasi tersebut.

Ada golongan muda yang mempercayainya, dan ada juga menidakkannya tanpa sebarang soal.

SPR, Telus atau Tidak?

Walaupun sebelum pilihan raya, kelihatan gelombang kebangkitan rakyat melalui kempen pilihan raya daripada parti pembangkang nampak hebat dan menggerunkan, tapi realitinya, kelihatan nombor dan angka keputusan PRU13 yang diumumkan SPR lebih menyebelahi Barisan Nasional (BN) dan akhirnya dinobatkan sebagai pemenang akhir dan membolehkan untuk membentuk kerajaan pemerintah.

Ketelusan SPR tidak diragui secara keseluruhannya. Jika SPR 100% tidak telus, mana mungkin Gelang Patah, Johor dimenangi oleh calon Democracy Action Party (DAP) iaitu Lim Kit Siang, mana mungkin calon (Parti Keadilan Rakyat) PKR Nurul Izzah dapat mengalahkan calon BN iaitu Raja Nong Chik dan Ketua Menteri Melaka yang banyak berjasa kepada negeri Melaka iaitu Datuk Seri Mohd Ali Rustam tewas kepada calon PKR.

Jika SPR benar tidak telus, sudah pasti mereka boleh memenangkan semua calon BN tanpa masalah. Memang benar, SPR telah berlaku telus pada asasnya, tapi terdapat beberapa keraguan pada aspek-aspek tertentu seperti isu blackout dan pengundi bangla yang membolehkan kemenangan berpihak kepada calon BN di sesetengah kawasan.

Begitulah Keputusan Rasmi PRU13

Walaubagaimanapun, keputusan rasmi telah diumumkan. Rata-rata golongan muda di Facebook menerima kemenangan BN dengan hati terbuka dan mengucapkan tahniah kepada BN atas kejayaan memenangi pilihan raya secara keseluruhannya dan boleh membentuk kerajaan baru.


Jika adapun yang masih berdukacita dengan kekalahan parti pembangkang, sekadar bertindak menukar profile picture Facebook kepada warna hitam yang melambangkan isu blackout, matinya demokrasi berpelembagaan di Malaysia dan hakikat hitam kotornya politik Malaysia yang baru mereka ketahui dan lihat sendiri.

Namun, hakikatnya, jika SPR bukanlah watak utama dalam senario politik Malaysia, rakyat Malaysia sendirilah yang perlu bertanggungjawab terhadap keputusan majoriti yang telah dibuat.

Jika memang benar BN yang dipilih majoriti rakyat Malaysia untuk diberi mandat sebagai pemimpin Malaysia, esok lusa janganlah 'bising-bising' jika harga minyak petrol terus naik, harga barang keperluan terus naik, peluang sambung belajar yang makin terhad, peluang pekerjaan yang semakin sempit, peluang untuk membeli rumah semakin tipis kerana harga rumah yang melambung dan harta tanah di Malaysia terjual kepada orang luar seperti warga Singapura; kerana rakyat Malaysia lah yang memilih untuk terus berada di bawah tampuk kepemimpinan yang sama seperti dahulu.

"Gigi yang sakit/rosak/berlubang perlu dicabut. Jika tidak dicabut, hiduplah anda dengan kesakitan dan kerosakan yang ada.." -Doktor Gigi Anonymous

Akhir kata, kesimpulannya..
Akhir kata, semangat golongan muda yang baru berminat untuk berkawan dengan politik boleh terhakis kerana ketidakkepercayaan. Semangat dan impian besar untuk melihat Malaysia baru yang lebih segar boleh terpadam dalam diri golongan muda dan mungkin saja membuatkan mereka makin menjauh.

Akibatnya, negara Malaysia tercinta ini juga yang akan menanggung akibatnya. Tiada yang betul dan salah dalam politik. Ia umpama permainan yang amat berisiko tinggi. Siapapun pemimpin Malaysia bukan soalnya, tapi amanah, agama dan keadilan berpanjangan perlu dijaga sentiasa.

Assalamualaikum, salam hormat. Terima kasih kerana membaca artikel ini sehingga akhirnya.

P/S: Artikel di atas adalah sekadar daripada pengamatan dan pendapat penulis. Penulisan berkenaan politik amat terdedah kepada perbezaan pendapat. Penulis menghargai perbezaan pendapat yang ada di kalangan pembaca. Dipersilakan untuk berkongsikan pendapat anda di ruangan komen. Namun komen yang melangkaui batas perkongsian pendapat seperti penggunaan bahasa kesat dan sinis serta bersifat perkauman adalah dilarang dan akan didelete oleh admin blog.

Disclaimer: Penulis dan Nizam Malek Blog tidak bertanggungjawab, dan menafikan semua liabiliti untuk sebarang kerosakan yang timbul daripada penggunaan, merujuk kepada, atau pergantungan ke atas mana-mana maklumat yang terkandung dalam artikel dan laman webblog ini. Tiada jaminan diberikan bahawa maklumat yang diberikan di sini adalah tepat, lengkap dan up-to-date.

Saturday, May 4, 2013

Universal Studio Singapore 2.0

0 comments

Assalamulaikum dan salam sejahtera,

Hope semua sihat dan sentiasa bergembira di samping keluarga tercinta.

Pada 24 Julai 2012 yang lalu, saya ada menulis satu artikel berkenaan pengalaman saya bercuti di Universal Studio Singapore (USS). Sejak dari itu, ramai pelawat telah singgah di blog saya ini untuk membaca artikel tersebut. Malah artikel tersebut adalah artikel kedua paling popular di Nizam Malek Blog sehingga kini.


Tak sangka, ramai juga yang nak tahu cara nak ke USS dan banyak soalan yang saya terima dari semasa ke semasa. Sampai ada soalan yang saya tak dapat nak jawab. 

Tapi untuk tidak menghampakan anda yang bertanya soalan berkenaan USS ni, semalam saya sempat untuk ke Tune Hotel Johor Bahru untuk mendapatkan info terkini cara-cara untuk ke USS. 

Untuk yang masih belum pasti di manakah tempat untuk membeli tiket USS, anda boleh membelinya di bangunan Tune Hotel Johor Bahru. 

Di sana, terdapat sebuah premis agen pelancongan iaitu Odyssey Prestige Coaches yang menjual tiket untuk ke USS termasuk dengan transportation pergi balik menaiki bas. Jangan risau, bas nya Super VIP, bukan Geng Bas Sekolah. =p

Berkenaan dengan harga tiketnya, yang ni ada berita menarik sikit. Anda perlu membayar harga RM198 dan anda akan menerima:
  • 1x tiket masuk ke USS untuk sehari
  • 1x voucher makan tengah hari
  • 1x voucher snek (makanan ringan)
  • 1x voucher bernilai $5 untuk membeli cenderahati di dalam USS
  • Tiket bas pergi dan balik
  • 1x kupon letak kereta harian PERCUMA
Berbaloi juga pakej tiket USS kali ini. Tahun lepas saya pergi kena bayar RM210 untuk dapat 1 tiket masuk ke USS dan 1 tiket bas pergi balik sahaja. 

Anda perlu membeli tiket ke USS ini di premis tersebut sekurang-kurangnya sehari sebelum hari anda bertolak ke USS.

Bas akan bertolak dari Tune Hotel pada pukul 7.30 pagi dan bertolak balik dari USS ke Johor Bahru pada pukul 7.30 malam. Pastikan anda membawa passport bersama anda.

Ada juga yang bertanya pada saya, kalau kita tertinggal bas semasa di USS macam mana? Daripada info yang saya dapat, kita boleh membeli tiket pulang ke Johor Bahru pada harga $5 di basement USS. Jadi tiada masalah kalau tertinggal bas pulang, yang penting mesti ada fulus. =p


Mana lebih baik, naik kereta atau bas ke USS?

Ada yang merancang untuk ke USS menaiki kereta sendiri. Katanya lebih bebas dan mudah, betul ke? Terpulang sebenarnya pada cara masing-masing.

Bagi yang tidak familiar dengan jalan-jalan di Singapore, pasti anda akan menghadapi kesukaran kerana jalan di Singapura tidak seperti jalan-jalan di Malaysia. Malah peraturannya yang sangat strict dan imigresen yang sangat teliti mungkin membuatkan anda tersangkut di mana-mana.

Jadi pada pendapat saya, jika hanya ingin ke USS dan menikmati perjalanan yang lancar, lebih elok untuk anda menaiki bas pergi dan balik. Dari Tune Hotel Johor Bahru, anda akan terus dibawa ke basement parking USS dalam tempoh lebih kurang 45 minit sahaja.

Boleh ke bawa makanan masuk ke USS?

Ada juga saya terima soalan macam ni. Then saya tanya agen pelancongan Odyssey tu. Diorg cakap, kalau setakat bawa air mineral dan roti/snek sikit tu boleh je. Tapi kalau bawa bekal makanan macam nak berkelah tu tak boleh lah.

Dalam USS tu pun ada jual makanan. Kalau pelawat bawa makanan sendiri, rugilah diorg kan. Jadi mestilah diorg restrict kan kemasukan makanan ke dalam USS. Tapi ya, makanan dalam tu harganya memang mahal. Jadi bersiap sedia lah sikit. =)


Begitulah sedikit sebanyak info terkini yang saya dapat berkenaan cara-cara ke USS. Tapi promosi harga berserta voucher-voucher ini bukan untuk selama-lamanya. Kalau tak silap sehingga 30 Jun 2013 sahaja.

Untuk keterangan lanjut, boleh hubungi Odyssey Prestige Coaches di talian 07-2323092 atau agen mereka iaitu Khai di talian 012-7660172 dan Yan di talian 019-7525077.

Odyssey Prestige Coaches merupakan The Winner of Best In Best Integrated Resort TTG Travel Awards 2011 & 2012.

Selain itu, jika anda tidak mahu membeli tiket USS melalui Odyssey Prestige Coaches, anda boleh membelinya melalui Erwin Travel Sdn Bhd yang terletak di bangunan luar berdekatan Tune Hotel Johor Bahru.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Nizam Malek Blog. Copyright 2010 All Rights Reserved Revolution theme by Brian Gardner Ft Bloganol dot com | Distributed by Deluxe Templates

Create your free online surveys with SurveyMonkey , the world's leading questionnaire tool.