Friday, October 18, 2013

Review: KL Gangster 2 Bukan Sekadar Filem Gangster


Assalamualaikum dan salam sejahtera, salam jumaat!

Hari ni saya nak menulis satu review berkenaan movie terbaru yang saya tonton iaitu filem KL Gangster 2 yang telah diarahkan oleh pengarah muda berbakat Malaysia, Syamsul Yusof.

KL Gangster 2 Tersebar Secara Haram

Sebelum saya memberi review berkenaan movie ini, KL Gangster 2 menjadi isu besar yang mengecewakan dalam industri perfileman negara apabila filem ini telah 'bocor' di Internet dan pasaran cetak rompak sebulan sebelum tarikh tayangan rasmi di pawagam akibat daripada perbuatan tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab.

Sebagai tanda sokongan pada Syamsul Yusof yang membuat filem ini dengan penuh cabaran dan kesukaran, saya tidak berminat langsung untuk mendownload atau membeli VCD cetak rompak KL Gangster 2 dan hanya menontonnya di pawagam.

Sudah pasti menonton di pawagam dan menonton di Internet atau VCD cetak rompak ada bezanya. Dan seperti dijangka, KL Gangster 2 amat tidak mengecewakan dari segi mutu persembahannya.

Kembali Ke Waktu Yang Dulu

Menarik berkenaan filem arahan Syamsul Yusof ini, KL Gangster 2 menceritakan perkara-perkara yang berlaku sebelum KL Gangster (filem yang pertama).

Sorotan ceritanya memberi jawapan kepada persoalan-persoalan yang terdapat dalam filem KL Gangster seperti apakah punca Malik (lakonan Aaron Aziz) masuk penjara dan siapakah King, Shark, Ajib dan lain-lain.

Komen Tentang Pelakon Dan Watak

Dalam KL Gangster 2, perkembangan karektor dalam setiap watak adalah jelas dan ia tidak tertumpu kepada Malik, Shark atau sesiapa sahaja. Semuanya seimbang dan menonjol membuatkan ceritanya lebih nampak real dan penonton dapat menyelami jalan cerita dari setiap watak.
Berbeza daripada KL Gangster yang sebelumnya, Syamsul Yusof yang melakonkan watak Shark kelihatan kurang berbisa, menunjukkan yang Shark pada waktu itu masih belum merupakan nama besar dalam dunia gangster di Kuala Lumpur.

Penghasilan KL Gangster 2 ini juga dilihat amat halus kerana pelakon-pelakon dan cara persembahan adalah sama dengan filem KL Gangster yang sebelumnya, membuatkan KL Gangster 2 ini betul-betul ibarat satu kesinambungan yang kemas.

Tailong Kurang Menyengat

Cuma, pada pendapat saya, watak Tailong yang digambarkan sebagai gangster paling besar dan ganas di Kuala Lumpur yang dilakonkan oleh Rosyam Nor agak kurang sesuai.
Dalam filem ini, saya melihat susuk tubuh Rosyam Nor agak kecil berbanding Aaron Aziz dan membuatkan scene pergaduhan mereka nampak kurang seimbang.

Antara contohnya apabila satu scene di mana Malik dan Jai bersama-sama menyerang Tailong secara serentak, tapi kedua-duanya gagal menumbangkan Tailong.

Pada pendapat saya, watak Tailong lebih sesuai dibawakan oleh pelakon lain yang mempunyai susuk badan yang lebih besar dan nampak gagah, ganas dan jahat.

KL Gangster 2 Bukan Sekadar Filem Gangster

Walaupun KL Gangster 2 digambarkan sebagai sebuah filem yang memaparkan dunia kumpulan gangster di Kuala Lumpur, tapi pada pandangan saya, KL Gangster 2 mempunyai jalan cerita yang tersendiri dan bukan sekadar untuk memaparkan dunia gangster yang kotor semata-mata.

KL Gangster 2 sebenarnya bagi saya mengisahkan tentang keluarga Malik iaitu beliau, Jai, ibunya dan adik perempuannya yang hidup dalam kesempitan dan kesusahan.

Hal tersebut menyebabkan Jai terpaksa terlibat dengan dunia gangster kerana ianya dapat memberikan beliau wang untuk membayar hutang-hutang yang ditinggalkan oleh ayah mereka dan membantu menyara kehidupan keluarga.

Jai dilihat sebagai anak yang jahat dan mengecewakan hati ibunya. Begitu jugalah yang terjadi kepada Malik yang terpaksa menyertai kumpulan gangster King untuk mendapatkan wang bagi membiayai kos perubatan ibunya.

Kasih Sayang Pada Keluarga Lebih Dari Segalanya

Pokoknya, apa yang dapat saya simpulkan di sini, filem ini mengangkat cerita manusia yang terpaksa terlibat dalam dunia yang kotor kerana keterpaksaan.

Kesusahan hidup dan terdesak membuatkan manusia sanggup melakukan apa sahaja atas dasar cinta dan kasih sayang terhadap keluarga walaupun terpaksa membahayakan diri sendiri.

Ramai yang berpendapat, dialog dan cerita dalam KL Gangster amat teruk dan akan merosakkan minda golongan muda. Memang betul, KL Gangster 2 tidak sesuai ditonton oleh remaja bawah umur yang masih belum matang dan tidak dapat menilai sesuatu secara kritis dari sudut yang lebih positif yang dapat memberi pengajaran kepada diri sendiri.

Tapi KL Gangster 2 bukan sekadar cerita gangster semata-mata, ianya sarat dengan persoalan-persoalan tentang kehidupan di antara 2 dunia yang berbeza.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

 

Nizam Malek Blog. Copyright 2010 All Rights Reserved Revolution theme by Brian Gardner Ft Bloganol dot com | Distributed by Deluxe Templates

Create your free online surveys with SurveyMonkey , the world's leading questionnaire tool.