Friday, August 23, 2013

5 Tips Cara Menyimpan Wang


Hi, Assalamualaikum kawan-kawan,

Hari ini saya nak menulis satu lagi artikel berkenaan pengurusan kewangan selalu kita dengar iaitu berkenaan cara-cara untuk menyimpan wang.

Kenapa menyimpan wang itu penting? Menyimpan wang adalah amat penting kerana dengan menyimpan wang, wang yang anda peroleh akan menjadi lebih kuat dan bertenaga. Tak percaya?

Benar, wang itu boleh menjadi kuat dan lemah. Wang yang lemah apabila ia berada berasingan, sebaliknya wang menjadi amat kuat apabila ia berkumpul. Apabila wang anda berkumpul pada satu tempat, anda akan dapat melihat nilainya menjadi lebih besar berbanding jika anda meletakkan wang anda di merata-rata tempat.

Jika anda mempunyai hanya satu keping duit RM10, ia adalah tidak kuat. Tetapi apabila 100 keping duit RM10 dikumpulkan, ia akan menjadi RM1000 dan anda sendiri dapat melihat bagaiman wang itu memberikan kesan yang kuat kepada diri anda.

Oleh itu, untuk menjadikan wang anda kuat dan bertenaga, anda perlu mengumpul dan menyimpan sedikit wang yang anda ada secara konsisten dari semasa ke semasa.

Tapi ada juga yang berkata "Saya tak boleh lah nak menyimpan wang. Duit sentiasa tidak cukup untuk dibelanjakan. Kalau berjaya menyimpan pun, sekejap saja duit terkumpul tu akan habis kerana digunakan. Bila ada duit banyak saja, mesti ada kecenderungan untuk berbelanja lebih besar. Apa perlu saya buat?"

Sebenarnya, amalan menyimpan wang adalah asas kepada pengurusan kewangan seseorang. Jika menyimpan wang pun tidak mampu dilakukan, ia akan mencerminkan ketidakbolehan untuk menahan diri daripada berbelanja mengikut nafsu, ketidaksanggupan untuk membayar balik hutang apatah lagi untuk menggandakan wang anda melalui apa-apa medium pelaburan yang ada.

Jika anda mempunyai masalah untuk menyimpan wang, apa kata anda gunakan tips yang saya kongsikan ini:

1. Buka satu akaun khas untuk simpanan.

Untuk menyimpan dengan efektif, anda perlu mempunyai satu akaun simpanan yang khas. Jangan campurkan wang simpanan anda dengan wang yang anda gunakan untuk keperluan seharian kerana ia akan menyebabkan anda terguna semua wang yang ada.

Jika anda menggunakan akaun Maybank untuk kegunaan perbelanjaan anda, apakata anda buka satu akaun lain untuk simpanan anda, contohnya buka satu akaun CIMB pula. Akaun CIMB dikhaskan sepenuhnya untuk simpanan anda. Banyak atau sikit itu tidak penting, yang penting anda memasukkan wang ke akaun tersebut untuk tujuan simpanan.

Tips pertama ini sesuai dilakukan walaupun anda kini sedang belajar di kolej atau universiti.

2. Tetapkan matlamat simpanan.

Ramai yang tidak dapat menyimpan dengan banyak secara konsisten kerana tidak mempunyai matlamat simpanan. Hakikatnya, apabila kita menyimpan wang tanpa sebab-sebab yang jelas, kita akan cenderung untuk menggunakannnya apabila jumlah wang tersebut kelihatan banyak.

Dengan mempunyai matlamat simpanan, anda akan lebih fokus untuk menyimpan wang dan tidak akan dengan mudahnya mengeluarkan wang simpanan anda untuk tujuan yang tidak sepatutnya.

Malah dengan mempunyai matlamat simpanan yang spesifik dan jelas, anda akan mengutamakan perancangan simpanan anda agar anda mencapai matlamat anda dengan lebih cepat.

Anda akan dapat lihat yang menyimpan RM100 sebulan adalah tidak cukup cepat, dan anda akan mempunyai motivasi yang lebih tinggi untuk menambah jumlah simpanan yang lebih, contohnya RM200 sebulan atau RM300 sebulan. Semuanya disebabkan anda nampak matlamat simpanan anda.

Apa itu matlamat simpanan? Matlamat simpanan bermaksud anda menetapkan sesuatu tujuan yang ingin dicapai melalui amalan simpanan yang anda buat. Contohnya, anda menyimpan RM500 sebulan untuk target membeli rumah pada akhir tahun.

Matlamat simpanan setiap orang adalah berbeza. Begitu juga anda. Jangan ikut orang lain. Orang nak beli kereta, anda pun nak beli kereta. Orang nak beli rumah, anda pun nak beli rumah. Pastikan anda kumpul duit untuk membeli sesuatu yang anda mahukan, dan pastikan apa yang anda beli itu adalah aset, dan bukannya liabiliti.

3) Teknik 'Pay Yourself First'.

Salah satu cara yang betul untuk menyimpan wang adalah dengan menggunakan teknik 'Pay Yourself First'. Setiap kali apabila anda menerima wang (gaji, bonus dan sebagainya..), pertama sekali yang anda perlu lakukan adalah, anda menolak 10% daripada jumlah yang anda terima itu ke akaun simpanan anda.

Jadikan tabiat untuk menolak 10% dahulu. Bayar diri anda terlebih dahulu sebelum membayar hutang-hutang atau perbelanjaan anda.

Jika anda tidak mampu untuk membuat teknik yang mudah ini, selamanya anda tidak akan berjaya untuk menyimpan wang dengan betul. Akibatnya, duit anda tidak pernah dapat terkumpul, kebanyakannya akan berkeliaran ke tempat-tempat lain yang tak sepatutnya.

Ingat, setiap kali anda terima wang, 'Pay Yourself First', ok?

4) Alihkan yang tidak perlu kepada simpanan!

Sebagai manusia yang normal, kita ada kemahuan dan keinginan. Kita selalu rasa nak makan yang sedap-sedap atau membeli terutamanya apabila menerima tawaran yang menarik.

Cuma, tahu kah anda, hampir 60-70% wang yang kita keluarkan untuk membeli barang itu kita gunakan untuk membeli barang-barang yang kita sebenarnya tidak perlukan langsung.

Pernahkah anda beli sesuatu yang anda rasa bermanfaat, akhirnya ia menjadi sampah kerana tidak digunakan? Ia mungkin CD lagu penyanyi kegemaran kita, basikal baru, ataupun casing handphone yang cantik-cantik tu?

Selalunya, kita terlalu menurut emosi ketika membeli. Akhirnya kita rasa menyesal kerana membeli sesuatu yang kita tidak perlukan.

Jadi untuk itu, setiap kali anda bercadang untuk membeli sesuatu barang, pastikan yang ianya memang akan digunakan.

Sebaliknya, sebagai contoh, jika anda mendapat satu tawaran pembelian yang menarik berharga RM100, cantas emosi membeli anda itu dan terus salurkan RM100 yang anda rancang untuk digunakan untuk membeli itu ke akaun simpanan anda!

Lakukan teknik ini setiap kali anda ingin membeli sesuatu. Jika tidak perlu saja, duit itu telah menjadi milik akaun simpanan anda.

Anda akan lihat, dengan menggunakan teknik menyimpan versi Nizam Malek ini, rumah anda tidak akan bersepah atau bersemak dengan barang-barang yang anda tidak perlukan, malah akaun simpanan untuk matlamat kewangan masa hadapan anda akan bertambah dengan mendadak!

Teknik ini tidak mustahil. Cuba dulu dan jadikan tabiat. Baru anda tahu hebatnya kuasa menyimpan wang dengan cara yang betul. =)

5) Menyimpan menggunakan online banking!

Ohya, sebelum kita pergi terlalu jauh, pastikan anda menggunakan sistem online banking untuk menyimpan wang.

Jika anda sudah ada satu akaun penggunaan harian, dan satu akaun simpanan, saya galakkan anda agar memasukkan wang melalui online transfer dari akaun penggunaan harian (contohnya Maybank) ke akaun simpanan anda (contohnya CIMB).

Ini adalah penting kerana anda perlu merasakan bahawa amalan menyimpan wang ini tidak susah. Ia sebenarnya amat mudah, hanya di hujung jari jemari anda yang halus itu.

Jika anda terpaksa ke Cash Deposit Machine (CDM) setiap kali anda ingin menyimpan wang, anda akan terasa menyimpan wang itu adalah susah dan akhirnya anda akan membuat alasan terlupa ke CDM untuk menyimpan wang.

Gunakan online transfer kerana ia memudahkan anda menyimpan dan anda tidak perlu menghabiskan masa dan petrol untuk keluar mencari CDM. Lagipun, kos transfer dari akaun bank berlainan kini hanyalah RM0.10 sahaja. Murah sangat untuk memudahkan usaha anda menyimpan wang bukan?


Demikianlah 5 tips cara menyimpan wang yang dapat saya kongsikan dalam artikel kewangan pada kali ini. Cubalah amalkan tips-tips yang saya kongsikan ini kerana ia adalah teknik-teknik yang mudah dan praktikal.

Yang paling best, anda akan dapat belajar menguruskan kewangan anda dengan lebih baik bermula dari amalan menyimpan wang dengan cara yang betul.

Semoga artikel kali ini bermanfaat dan jemputlah SHARE artikel ini dengan keluarga dan kawan-kawan anda.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

 

Nizam Malek Blog. Copyright 2010 All Rights Reserved Revolution theme by Brian Gardner Ft Bloganol dot com | Distributed by Deluxe Templates

Create your free online surveys with SurveyMonkey , the world's leading questionnaire tool.