Sunday, May 27, 2012

[KISSinsights] Cinta Di Bangku Sekolah?


Dalam edisi KISSinsights kali ini, saya akan meluangkan masa untuk menjawab satu soalan yang agak menarik untuk diperbincangkan. 

Soalan ini juga kerap menjadi persoalan bagi para pelajar sama ada di peringkat sekolah mahupun kolej atau universiti. Soalan ini telah saya terima pada tarikh 17 April 2012.


Soalannya berbunyi begini:

"Assalamualaikum, saudara, boleh saya tahu, salahkah apabila menjalinkan hubungan cinta ketika di bangku sekolah? Tapi dengan niat ingin menikahi si dia dan ingin bina keluarga bahagia di bawah landasan Islam yang sebenar.. Ikhlas kerana Allah.. Adakah benar tindakan ini? Mohon komentar.. =)"

Pertama sekali, terima kasih atas soalannya, insyaAllah saya cuba menjawabnya mengikut pengalaman dan pengamatan saya.

Bagi saya, persoalan sebegini boleh dikatakan agak kritikal, kerana setiap orang mempunyai pendapat dan pandangan yang berbeza bagi menjawabnya. Contohnya saya pernah ajukan soalan yang sama seperti di atas, di ruangan Facebook wall saya, dan mendapat respond yang pelbagai. Ada yang setuju, ada yang membantah, dengan alasan dan hujah masing-masing.

Baiklah, untuk persoalan pertama, iaitu, salahkah jika menjalinkan hubungan cinta ketika di bangku sekolah? 

Errm, macam senangkan soalan ni, tapi macam susah juga nak jawab.. Tapi ya, secara terus terangnya, saya berpendapat, menjalin hubungan cinta ketika di bangku sekolah adalah tidak digalakkan, dan mungkin juga boleh jatuh ke dalam kategori salah untuk dilakukan.

Kita (adik-adik terutamanya), perlu sedar bahawa sekolah adalah medium pertama dimana kita menerima pelajaran secara formal. Pelajaran di sekolah adalah amat-amat penting dalam membentuk peluang-peluang pelajaran dan pembentukan karier yang lebih pada masa hadapan.

Perkara yang paling penting dilakukan di sekolah adalah belajar, belajar dan belajar. Walaupun ayat saya dilihat nampak agak menekan, tapi ya, sememangnya itulah tujuan utama kita ke sekolah. Menimba ilmu asas akademik untuk ke peringkat yang seterusnya.

Berbalik kepada persoalan, berkenaan cinta ketika di zaman persekolahan. Bagi saya, ia adalah perasaan normal bagi lelaki dan perempuan untuk menyukai satu sama lain. Ketika di sekolahlah kita mula mengenali golongan gender yang berlainan daripada kita.

Perasaan suka dan meminati mungkin akan hadir tanpa dipaksa. Walaupun kita tak tahu mengapa, perasaan itu mempengaruhi tindakan kita.. Seperti sentiasa ingin melihat si dia, rasa ingin tahu di mana si dia berada dan ke mana si dia ingin pergi. 

Segala tentang si dia menarik perhatian kita.. Cara dia bercakap atau ketawa, cara dia menulis sama ada tangan kanan atau kidal, dan juga cara dia berjalan, semuanya bagaikan magis, menarik perhatian kita dan melekat di minda kita..

Begitulah rasanya bila sudah tersuka pada seseorang.. Dan iya, ia boleh berlaku di zaman persekolahan.. (cakap macam ada pengalaman je.. =p)..

Walaubagaimanapun, saya berpendapat, rasa dan minat itu perlu dikawal.. Di zaman persekolahan, para pelajar masih dikira belum matang sepenuhnya berkenaan cinta dan perhubungan..

Apa yang ada lebih kepada kesukaan dan keterujaan.. Perkara inilah yang perlu diambil perhatian yang serius kerana ia mungkin sahaja menjerumuskan seseorang pelajar itu ke lembah kesilapan yang sukar ditarik kembali..

Seperti kita sedia maklum melalui berita-berita di dada-dada akhbar mahupun di laman-laman sesawang di Internet yang memaparkan gejala sosial yang berlaku di kalangan pelajar sekolah.

Salah satu puncanya adalah bermula daripada hubungan cinta yang tidak dikawal di kalangan para pelajar lantaran media komunikasi terkini yang membolehkan para pelajar berlainan gender berhubung dengan lebih kerap dan terbuka.

Ia nampak negatif bila ditulis secara negatif, namun itulah realiti yang sedang berlaku.. Dan kerana itu jugalah hubungan cinta di zaman persekolahan amat ditentang dan saya sendiri suka untuk mengkategorikannya sebagai salah..

Pada saya, tidak salah untuk menyukai seseorang, ingin mendekati dan berkawan dengan si dia, tapi tetapkan dalam hati bahawa, setiap sesuatu dalam perhubungan ada batasnya dan jika boleh dielakkan, lebih baik elakkan..

Kemudian, soalannya berlanjutan lagi.. Tapi dengan niat ingin menikahi si dia dan ingin bina keluarga bahagia di bawah landasan Islam yang sebenar.. Ikhlas kerana Allah.. Adakah benar tindakan ini?

Membaca soalan ini, saya teringat kisah saya di sekolah menengah dahulu, ada seorang cikgu menyatakan kepada saya yang, cinta di zaman sekolah biasanya tidak berpanjangan sehingga ke alam rumah tangga.. Kata-kata cikgu tersebut masih segar di telinga dan minda saya sehingga kini.. Tak tahu kenapa.. =p

Mungkin, masa di zaman persekolahan, bila kita dah suka seseorang, kita rasa sangat mencinta dan dicintai, kita rasa dialah segala-galanya, dan kita ingin dia jadi milik kita, berkahwin dan hidup bahagia..

Yup, itu saja yang ada dalam minda kita, bahagia.. Apa yang kita nampak ketika itu, adalah senyuman dan gembira sahaja..

Tapi mungkin kita tidak tahu, yang pernikahan itu adalah sesuatu yang lebih besar lagi dalam hidup.. Ia merupakan satu fasa yang amat berbeza dalam peringkat kehidupan kita..

Memang bagus ada niat untuk menikahi, ikhlas kerana Allah SWT, namun bagi saya, masanya masih belum sesuai.. Selalu orang-orang tua akan kata "pergi perhabis belajar dulu...".

Di zaman persekolahan, semuanya masih belum tentu untuk kita.. Apakah masa depan kita..? Apakah yang boleh kita berikan kepada si dia..? dan apa akan jadi 10 ke 15 tahun akan datang..? 

Jadi jika niat dan tindakan yang diambil tersebut terlalu drastik, ia pasti akan memberi kesan yang juga drastik kepada kita.. Malah, jika kesan itu drastik kepada kita seorang sahaja tak mengapa lagi.. Tapi lebih teruk, ia juga akan memberi kesan drastik yang menekan pasangan yang kita nikahi tersebut.. 

Jika semua persoalan tersebut gagal di tangani dengan baik, apakah ada erti bahagia dan keseronokan lagi..? Mungkin sahaja ia akan berubah menjadi satu mimpi yang amat ngeri pula buat kita...

Satu peringatan saya buat yang bertanya soalan ini adalah, hidup ini hanya sekali dan kita perlu membuat perancangan yang baik untuk kehidupan kita.. Jika kita masih di alam persekolahan, sebenarnya masa kita masih panjang.. Masih banyak perkara yang perlu ditempuh terlebih dahulu..

Tumpuan dan fokus kita perlu diutamakan pada perkara yang lebih penting lagi iaitu pelajaran dan pembinaan sahsiah diri.. Rasa cinta yang hadir perlu dikawal..

Dan akhir sekali, adakah salah tindakan tersebut?

Secara jujurnya, jika tindakan untuk menikahi ketika di zaman persekolahan, saya boleh jawab ianya salah. Tidak perlu sampai begitu kan? Komen juga telah saya berikan panjang lebar di atas..

Akhir sekali, pesan saya adalah, jadilah pemuda pemudi harapan negara, bangsa dan agama.. Binalah kredibiliti kita dengan ilmu dan kemahiran di dada.. Di zaman persekolahan inilah, bermulanya pengharapan ibu bapa amat tinggi untuk melihat anak-anak mereka berjaya menongkah arus hidup yang akan terus-terusan mencabar di masa akan datang..

Itulah amanah yang mereka berikan kepada kita di zaman persekolahan.. Hargailah pengharapan mereka dan jika kita ikhlas kerana Allah, lakukan lah amanah kita terhadap ibu bapa ini terlebih dahulu..

Jika amanah pada ibu bapa pun masih belum mampu kita laksanakan atau penuhi, apakah mungkin boleh kita melaungkan keikhlasan kerana Allah SWT untuk menikahi seseorang tanpa kita sendiri memiliki apa-apa?

Persoalan-persoalan ini saya lontarkan semula untuk difikir secara mendalam.. 
Semoga anda yang bertanya dapat menerima hujah-hujah yang saya berikan ini dengan hati terbuka dan positif.. =)

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

 

Nizam Malek Blog. Copyright 2010 All Rights Reserved Revolution theme by Brian Gardner Ft Bloganol dot com | Distributed by Deluxe Templates

Create your free online surveys with SurveyMonkey , the world's leading questionnaire tool.