Tuesday, August 30, 2011

Salam Kemerdekaan 2011!


31 Ogos 1957 merupakan tarikh bersejarah bagi seluruh rakyat Malaysia kerana pada tarikh tersebutlah kita telah bebas daripada penjajahan negara-negara luar yang datang mengambil kesempatan di negara kita.

Kemerdekaan ini besar ertinya kerana ianya membolehkan kita membina negara ini dengan acuan sendiri dan terbebas daripada genggaman penjajahan yang amat memeritkan.

Sudah pasti, saya, rakan sebaya serta generasi muda yang lain tidak dapat merasai perjuangan yang telah dicurahkan oleh para pemimpin dan pejuang kemerdekaan Tanah Melayu pada zaman tersebut.

Tetapi harapnya, ia tidak menjadi penghalang untuk kita sama-sama menghargai dan menghayati segala kesusahan yang mereka telah tempuhi untuk membolehkan kita menikmati kemerdekaan pada hari ini.

Pada tahun 2011 ini, Malaysia menyambut tahun kemerdekaan yang ke 54 dengan bertemakan '1 Malaysia: Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera' dan akan disambut pada 16 September 2011 bersamaan dengan Hari Malaysia kerana pada 31 Ogos 2011 ini masa terlalu dekat dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri (Kena lah ambil tahu sikit-sikit hal semasa, kalau tak asyik kena 'ketuk' je ngan abah.. hehe.. =p).

Selama 54 tahun ini, tidak dinafikan, banyak perkembangan positif telah dinikmati oleh rakyat Malaysia dan taraf hidup kita boleh dikatakan baik dan sederhana walaupun ada banyak isu-isu dan masalah politik semasa. Alhamdulillah Malaysia masih lagi kekal sebagai sebuah negara yang aman dan damai di samping kehidupan masyarakat yang berbilang bangsa dan agama.

Saya secara peribadi berasa amat bertuah kerana lahir di bumi Malaysia yang bertuah ini. Seperti kata pepatah, "Hujan Emas di Negeri Orang, Hujan Batu di Negeri Sendiri. Lebih Elok di Negeri Sendiri". Memang betul, sebagai seorang muslim, saya berasa amat selesa dengan persekitaran Malaysia yang berteraskan agama Islam.

Begitu juga peluang untuk para penganut agama lain bagi mempraktikkan agama mereka menjadikan Malaysia sebuah negara yang wajar dicontohi dan dibanggakan.

Walaubagaimanapun, masih banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki dan dipertingkatkan untuk memastikan Malaysia terus unggul dan berjaya. Kalau kita lihat pada sejarah, wilayah Hiroshima dan Nagasaki yang telah musnah teruk akibat serangan nuklear bom atom berlaku pada 1945 iaitu beberapa tahun lebih awal daripada tahun kemerdekaan Malaysia, tetapi 2 wilayah ini telah berkembang pesat membangun dan lebih maju berbanding Malaysia secara relatifnya.

Bukanlah nak membandingkan secara terus atau menghukum, tetapi realitinya, masih banyak perkara yang boleh diusahakan untuk menjadikan Malaysia lebih maju, berdaya saing serta aman dan damai tanpa mempertaruhkan keselamatan dan kebajikan rakyat.

Selain itu, ada juga pendapat yang mengatakan metodologi penjajahan masa kini adalah melalui penjajahan minda. Memang benar, kerana minda yang terjajah ini boleh meruntuhkan perkembangan positif minda generasi muda. Cara untuk mengelakkannya adalah dengan menilai dan memahami sesuatu perkara yang datang menggunakan pemikiran yang kritis dan terbuka serta sentiasa kembali kepada tafsiran sebenar Alquran, alhadis serta para ulama'.

Jadi inilah tanggungjawab dan amanah bagi golongan generasi muda seperti saya dan kita semua untuk memastikan Malaysia terus unggul pada masa hadapan. Usahlah dijadikan perpecahan sebagai agenda dan permusuhan sebagai permainan. Lebih banyak lagi usaha murni yang perlu dicurahkan khas buat negara Malaysia kita yang tercinta ini.

Akhir kata, Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan buat seluruh rakyat Malaysia. Semoga nikmat kemerdekaan ini terus menjadi milik kita semua sampai bila-bila. =)

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

 

Nizam Malek Blog. Copyright 2010 All Rights Reserved Revolution theme by Brian Gardner Ft Bloganol dot com | Distributed by Deluxe Templates

Create your free online surveys with SurveyMonkey , the world's leading questionnaire tool.